Ibadah

Keistimewaan 10 Hari Pertama Bulan Zulhijjah

Tinggal dua hari sahaja lagi kita akan memasuki bulan Islam yang baru iaitu Bulan Zulhijah. Bulan ini antara bulan yang menjadi perhatian umat Islam di seluruh dunia kerana adanya ibadah haji yang akan diadakan pada setiap tahun.

Jemaah yang akan menunaikan Haji dari Malaysia rata-ratanya telah berangkat lebih awal bagi mempersiapkan diri dan keperluan untuk menunaikan haji pada tanggal 10 hingga 13 Zulhijah nanti. Bagaimana pula buat umat Islam yang tinggal – yang masih tidak berperluang menunaikan haji. Apa amalan yang boleh kita lakukan di sini?

Keistimewaan 10 Hari Pertama Di Bulan Zulhijah

Selain daripada ganjaran besar bagi mereka yang dapat menunaikan rukun Islam yang kelima, Allah juga memperuntukkan waktu yang istimewa buat umat Islam yang lain mendapat fadhilat dan ganjarannya.

Imam Al-Bukhari telah meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibnu Abbas R.A, Daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ؟ قَالَ : وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ.

Maksudnya : “Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini-baginda memasukkan: 10 hari terawal Zulhijah-.”Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda, “Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.” – Riwayat al-Bukhari (969), Abu Daud (2438), Ibn Majah (1727),al-Tirmizi (757).

BACA:  Tazkirah Ringkas : Persiapan Menjelang Bulan Ramadan

Allah juga berfirman dalam Surah Al-Fajr, ayat 1 hingga 3 yang menyatakan;

وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ وَالشَّفْعِ وَالْوَتْر

“Demi fajar, dan malam yang sepuluh, dan yang genap dan yang ganjil”

Imam At-Tobari menafsirkan kalimah “Wa layaalin ‘asr” (malam yang sepuluh) sebagai malam-malam sepuluh hari terawal dalam bulan Zulhijah berdasarkan kesepakatan hujah dari ahli tafsir. (rujuk Jami’ Al Bayan fi Ta’wil Al Quran – 7/514).

Apabila Allah telah bersumpah dengan malam yang sepuluh, maka ia menunjukkan bahawa besarnya fadilat yang disediakan pada 10 hari tersebut.

Ibnu Abbas, Ibnu Al Zubair, Mujahid, dan beberapa ulama salaf dan khalaf berkata bahawa ia adalah sepuluh hari pertama Zulhijah. Ibnu Kathir membenarkan pendapat ini. (Rujuk Tafsir Ibnu Kathir, 8/413)

Manakah Yang Lebih Afdhal – 10 Hari Pertama Di Bulan Zulhijah Atau 10 Malam Terakhir Di Bulan Ramadan?

Ibnul Qayyim rahimahullah dalam kitab zaadul Ma’ad telah memberikan pendapat yang menarik berkaitan persoalan ini.

Beliau rahimahullah berkata, “Sepuluh malam terakhir bulan Ramadan lebih utama dari sepuluh malam pertama dari bulan Zulhijah. Dan sepuluh hari pertama Zulhijah lebih utama dari sepuluh hari terakhir Ramadan. Dari penjelasan keutamaan seperti ini, hilanglah kerancuan yang ada. Jelaslah bahwa sepuluh hari terakhir Ramadan lebih utama ditinjau dari malamnya. Sedangkan sepuluh hari pertama Zulhijah lebih utama ditinjau dari hari (siangnya) kerana di dalamnya terdapat hari nahr (qurban), hari ‘Arofah dan terdapat hari tarwiyah (8 Zulhijah).”

Amalan Yang Boleh Dilakukan Sepanjang 10 Hari Pertama Zulhijah

1. Memperbanyakkan Zikir Menyebut Nama Allah

“Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu…” (Surah Al-Haj : 28).

BACA:  Jadikan Politik Sebagai Satu Ibadah

Kata Ibnu Abbas RA, ‘pada hari tertentu’ bermaksud hari-hari yang sepuluh terawal dalam bulan Zulhijjah.

2. Bertahlil, Bertakbir Dan Bertahmid

مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللهِ، وَلا أَحَبُّ إِلَيْهِ مِنْ الْعَمَلِ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ الْعَشْرِ، فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ
(رواه أحمد 5446-صحيح)

Maksudnya: “Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid.” (Riwayat Ahmad, no. 5446 – Hadis sahih)

3. Berpuasa

Sunat berpuasa dalam tempoh 9 hari terawal dalam bulan Zulhijah. Diberitakan bahawa antara individu yang biasa berpuasa dalam tempoh tersebut ialah Abdullah bin Umar RA.

Dari Hunaidah bin Kholid, dari istrinya, beberapa istri Nabi SAW mengatakan,

عَنْ بَعْضِ أَزْوَاجِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَصُومُ تِسْعَ ذِى الْحِجَّةِ وَيَوْمَ عَاشُورَاءَ وَثَلاَثَةَ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ أَوَّلَ اثْنَيْنِ مِنَ الشَّهْرِ وَالْخَمِيسَ.

“Rasulullah SAW biasa berpuasa pada sembilan hari awal Zulhijah, pada hari ‘Asyura’ (10 Muharram), berpuasa tiga hari setiap bulannya…”

Kemudian, puasa yang lebih istimewa dalam tempoh 10 hari terawal bulan Zulhijah pula pastilah puasa pada hari Arafah iaitu pada 6 hingga 8 Zulhijah.

4. Berdoa Sebanyaknya Kepada Allah

Dari ‘Amr bin Syu’aib dari ayahnya dari atuknya, Nabi SAW bersabda,

خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ

“Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arofah.”

Amalan-amalan sunat ini tidak terhad hanya kepada amalan yang disebutkan di atas. Seperti yang terdapat dalam kandungan hadis pada permulaan artikel, kesemua amalan soleh dikira termasuklah bersedekah, membaca Al-Quran, menunaikan solat sunat dan ibadah-ibadah yang lain. Allah telah membukakan pintu rahmat yang istimewa buat semua umat Islam dalam tempoh tersebut, maka ambil lah peluang sebanyaknya.

BACA:  Orang Beriman Sebagai Penolong

 

Sumber: tzkrh.com 

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *