Jiwa baru selepas proses madrasah Ramadan
September 6th, 2011 | 3:20 pm | Akidah, Ibadah | 8 responses
ALHAMDULILLAH, dapat lagi kita merayakan Aidilfitri yang mulia. Kali ini semuanya baru; pakaian baru, rumah baru tetapi yang lebih penting ialah jiwa baru selepas melalui proses tarbiah daripada madrasah Ramadan lalu.
Semoga puasa, sedekah, solat sunat Tarawih, bacaan al-Quran kita berjaya menjadi perisai kepada hati yang keras ini daripada sebarang bentuk musibah dan bahaya.
Sebagai muhasabah dalam merayakan Lebaran ini, kejayaan puasa kita sebenarnya diukur selepas kita melewati bulan Ramadan. Ada orang sepanjang Ramadan pergi ke masjid dan surau, tetapi selesai Ramadan, perkara itu tidak lagi dilakukan maka itu namanya ‘hamba Ramadan’ bukannya hamba Allah.
Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi menyatakan, jadilah kamu hamba-hamba Allah dan jangan kamu menjadi hamba Ramadan. “Kun rabbaniyyan wala takun ramadhaniyyan” maksudnya berbuat baik bukan hanya bermusim.
Pergi masjid bukan ikut selera kita atau melihat orang ramai ke sana kita pun pergi. Kenapa kita hanya bersemangat pada bulan Ramadan? Oleh itu, marilah kita jadikan semangat serta kesungguhan di bulan Ramadan sebagai ‘percikan’ bagi meneruskan kerajinan pada 11 bulan mendatang.
Dalam suasana berhari raya di mana rumah terbuka sedang rancak di sana sini janganlah pula rumah Allah tertutup. Pada Syawal ini juga disediakan ‘pakej’ pahala pelengkap kepada puasa Ramadan.
Pakej ini menggambarkan kelebihan umat Muhammad s.a.w, iaitu boleh mendapat kelebihan seolah-olah berpuasa setahun. Dalam satu hadis Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya. “Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan lalu diiringinya dengan puasa enam hari pada Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang masa. (Hadis riwayat Imam Muslim).
Hadis berkenaan menjelaskan kepada kita bahawa berpuasa pada bulan Ramadan dan diikuti pula dengan puasa sunat enam pada bulan Syawal, seolah-olah kita berpuasa sepanjang masa, iaitu selama satu tahun.
Justeru, umat Islam perlu merebut peluang ini kerana kelaziman amalan sunat dilakukan bertujuan menampal sebarang amalan yang berkurangan atau cacat dalam amalan fardu.
Menurut hukum fiqah, kita boleh memulakan puasa enam pada mana-mana hari sepanjang Syawal sama ada secara berterusan atau berselang seli.
Namun, afdalnya ialah pada hari kedua Syawal dan dilakukan secara berterusan sehingga hari ketujuh. Bagi wanita yang tidak dapat berpuasa penuh pada Ramadan, puasa enam memberi peluang kepada mereka untuk menggantikannya di samping mendapat pahala puasa sunat.
Rasulullah s.a.w mensyaratkan `berpuasa Ramadan’ terlebih dulu, kemudian barulah mengiringinya dengan enam hari pada Syawal. Jika ada puasa Ramadan ditinggalkan, ia perlu diqada terlebih dulu kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.
Selain itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan daripada memberi sedekah sunat yang menganjurkan kita untuk menyegerakan amal kebajikan.
Berikut beberapa panduan kekal amalan baik selepas Ramadan antaranya:
Cuba mencari pertolongan Allah untuk membimbing anda berada di jalan lurus dan tetap teguh di landasan kebenaran. Mengenai perkara ini elok diperhatikan ayat 8 Surah Ali-Imran, maksudnya: (Mereka berdoa dengan berkata): Ya Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberian-Nya.
Tekun mengerjakan ibadat (wajib) dengan penuh tanggungjawab.
Rajin mengerjakan ibadat sunat dan menjadikannya kebiasaan walaupun sedikit. Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: “Amalan terbaik kepada Allah ialah yang berterusan, walaupun ia sedikit.”
Baca al-Quran yang dipelajari ketika mengerjakan solat dan amalkan membacanya sekerap yang boleh.
Banyak berzikir (mengingati Allah) dan memohon keampunan daripada Allah. Amalan ini mungkin nampak kecil, tetapi jika selalu diamalkan, ia akan meningkatkan keimanan dan memberikan kekuatan kepada jiwa.
Berwaspada terhadap setiap perkara yang boleh memesongkan hati daripada jalan kebenaran.
Paling penting ialah taubat, iaitu menyesal atas kesalahan lalu kepada Allah dan bertekad tidak akan menyimpang daripada landasan kebenaran lagi. Allah suka apabila hamba-Nya kembali kepada-Nya dengan taubat yang sebenar-benarnya.



















responded on March 2nd, 2012 at 8:10 am
Puasa merosakkan badan seperti perut sakit, kelaparan, kehausan dan badan lemah. Keadaan ini menyebab kerja lambat dan kurang productiviti. Puasa sesuai untuk orang yang tiada kerja dan orang miskin. Pada zaman modern ini yang penuh saingan haruslah kita lebih rajin dan bertenaga sepanjang masa. Janganlah percaya ajaran kuno yang tidak sesuai dizaman ini.
responded on March 8th, 2012 at 12:08 pm
saudara peace, ada berada pada kesesatan yang nyata.. ya Allah, berilah hidayah kepada saudara peace.. amin
responded on August 10th, 2012 at 5:27 pm
Kasihah peace. Peach tak pernah puasa kot. So tak dapat rasa hakikat dan rahsia puasa. Sejarah telah membuktikan umat islam menang dalam peperangan dengan musuh yang lebih ramai dan tidak berpuasa. Ya Allah! Berikanlah hidayah pada saudara peach…
responded on March 27th, 2012 at 3:32 pm
saudara peace,adakah anda benar2 org islam? sedarkah saudara apa yg dikatakan itu? istighfar la….
responded on March 29th, 2012 at 12:08 pm
Yalah puasa tak baik. Merosakan badan dan kerja
responded on March 29th, 2012 at 12:11 pm
Yalah puasa merosak badan dan kerja.
responded on June 26th, 2012 at 8:22 pm
semoga saudara peace diberi hidayah oleh Allah s.w.t, Aamiin Ya Rabb. Berpuasa memiliki banyak hikmah dan manfaat untuk tubuh, ketenangan jiwa, dan kecantikan. Semasa berpuasa, organ-organ tubuh dapat beristirehat dan sel dalam tubuh boleh berkumpul untuk bertahan. Puasa juga boleh mengeluarkan kotoran, toksin/racun dari dalam tubuh, meremajakan sel-sel tubuh dan menggantikan sel-sel tubuh yang sudah rosak dengan yang baru serta untuk memperbaiki fungsi hormon, menjadikan kulit sihat dan meningkatkan daya tahan tubuh kerana manusia mempunyai kemampuan terapi secara semulajadi. Puasa juga dapat mendidik hati
responded on July 11th, 2012 at 7:53 am
Puasa baik saya dapat jimat makan dan jimat duit. Semasa Ramadan saya boleh malas kerja boss pun tak akan marah ! Inilah kebaikan puasa menyebab saya boleh malas kerja dan dapat siang balik ! Kerja rajin bukan mati boleh bawa pergi. Cukup makan sudahlah ! Kuat sembahyang lagi baik daripada kerja. Kuat sembahyang suatu hari kita pasti dapat ke Surga ! Di Surga tak payah kerja….