Jangan risau apa orang kata

January 24th, 2012 | 1:52 pm | Tazkirah | 10 responses

Senario A

Anda baru berpindah ke lokasi yang baru. Persekitarannya sangat berbeza kerana majoriti adalah komuniti Melayu yang agak ‘westernised’ tetapi rata-ratanya akrab di antara satu sama lain. Anda perlu bergaul dengan mereka kerana tugasan yang ada menyebabkan masing-masing sangat memerlukan di antara satu sama lain. Tudung ataupun hijab adalah suatu yang sangat janggal dan mereka semua memandang serong dengan anda yang berpakaian sedemikian. Apa rasa hati anda ?

Senario B

Sebagaimana teman sejawatan yang lain di pejabat, anda telah diwajibkan untuk menghadiri mesyuarat penting jabatan yang dikendalikan oleh bos anda. Dia adalah seorang Muslim dan merupakan seorang ketua yang tegas dan serius. Mesyuarat yang bermula sejak jam 3 petang nampaknya belum nampak tanda akan berakhir walaupun jam telah menunjukkan pukul jam 6.30 petang. Agenda yang paling penting untuk mesyuarat ini kini mencapai kemuncaknya dan terus dibincangkan dengan penuh penumpuan oleh rakan-rakan sejawatan. Anda gelisah kerana belum lagi bersolat asar sedangkan waktu maghrib semakin hampir. Apa mereka akan kata kalau anda keluar untuk bersolat pada ketika ini?

Senario C

Anda menyertai rakan-rakan mahasiswa yang menginsafi bahawa anak bangsa anda adalah mereka yang perlu disedarkan. Ramai teman-teman sebaya anda yang terlibat dengan gejala yang tidak sihat seperti lepak, berpeleseran antara siswa dan siswi, kurang bermotivasi dan memang jelas tidak berwawasan. Namun mereka pula menganggap anda sebagai ketinggalan zaman, anti-sosial, ber-IQ rendah, pemecah-belah dan pelbagai ejekan dan tohmahan yang lain. Anda rasa tertekan dengan kata-kata mereka. Apa yang akan anda lakukan ?

Janganlah risau dengan apa yang orang kata…

Sebenarnya kita tidak perlu untuk menyebabkan diri kita sangat risau bagaimana orang lain memandang kita tetapi kita harus memberikan fokus bagaimana kita melihat dan menilai diri kita sendiri.

Kalau kita benar-benar meyakini bahawa apa yang kita buat adalah berdasarkan prinsip yang betul, maka kita harus bertegas dengannya. Namun elokkan sekiranya kita cuba untuk menjelaskan kenapa kita membuat sesuatu keputusan atau tindakan kepada mereka yang terlibat sekiranya mereka mahu mendengar atau berbincang dengan cara yang terbuka.
Kalau mereka menolak cara hidup atau amal kebaikan kita yang berlandaskan syariat ini, maka itu pilihan mereka. Kita hanya perlu menyampaikan dengan cara yang terbaik mungkin disamping berdoa supaya Allah membuka hati-hati mereka agar mereka jua diberikan petunjuk.

Jangan pula kita berkompromi dengan meninggalkan sesuatu yang benar ini kerana takut kehilangan kawan atau pun takut digelar sebagai kolot, ekstrimis, anti-sosial dan sebagainya. Kita perlu meletakkan fokus dan mengambil berat terhadap persiapan kita sebelum bertemu Allah swt.

Saidina Umar al-Khattab pernah berkata:

Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab. Timbanglah amalan kamu sebelum kamu ditimbang. (Kitab: Tahzib Madarij al-Salikin).

Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud:

Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak). (Riwayat al-Tarmizi).

Seorang pecinta kebaikan seharusnya beristiqamah dengan akhlak dan amalan yang baik sehingga kemurnian peribadinya terserlah kepada persekitarannya. Perilakunya yang tegas dengan kebenaran boleh menjadi pintu kepada hidayah Allah swt walaupun beliau mungkin berhadapan dengan rintangan daripada persekitarannya. Kita hanyanya berusaha yang terbaik sedangkan hasilnya adalah ketentuan yang bakal diberikan Allah di satu masa kelak.

Adalah menjadi resam dalam perjuangan hidup bahawa setiap amalan dan seruan kebaikan pasti mendapat tentangan sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud:

“Dan seperti itulah telah Kami adakan bagi tiap-tiap Nabi, musuh dari orang-orang yang berdosa. Dan cukuplah Rabbmu menjadi pemberi petunjuk dan penolong”. (Surah al-Furqan: ayat 31).

Jadi, kita perlu bersama dengn istiqamah mendidik diri bagi merasai bahawa kita menitik-beratkan pandangan Allah tetapi bukan apa yang orang lain kata terhadap diri kita.

Saudaraku…

  • Teruskanlah perjuangan di mana jua anda berada dan sibukkanlah dirimu dengan amalan yang bermanfaat buat umat ini.
  • Janganlah risau dengan apa yang orang kata tetapi kita harus risau dengan apa yang Allah kata.

By: Dr Zainur Rashid Zainuddin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,

Responses so far...(10)

  1. 1

    Ramai dikalangan kita mengalami situasi ini.. begitu juga saya, apa pun situasi yg di alami kita kena berpegang pada kata2 ini “Janganlah risau dengan apa yang orang kata tetapi kita harus risau dengan apa yang Allah kata”.. tulisan ringkas dan menarik.. :-)

  2. 2

    Sesiapa yg ikhlas dan melakukan segalanya kerana Allah Ta’ala, Allah akan melancarkan segala urusannya dan dia tidak akan rasa risau dengan cakapan manusia. :)
    Daripada pengalaman saya, saya selalu mengamalkan doa ini:
    Allahumma yassir wa la tu’assir ya Kareem – Ya Allah, permudahkanlah dan janganlah Engkau menyukarkan, wahai Tuhan Yang Maha Mulia. Dan di usul dengan Ayat Seribu Dinar yg dibaca 3x yg bermaksud
    “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah,
    nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.
    Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya.
    Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah,
    nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya.”
    Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendaki-Nya.
    Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”
    Dan setiap kali di mana saja saya membacanya, Allah telah mempermudahkan segala urusan saya. Subhanallah. :)

  3. 3

    semoga Allah mempermudahkan segala pekerjaan kita bagi mendekatkan diri kita kepadaNya

  4. 4

    mintak share…saya tertarik dengan artikel ni..memang betul apa yang disampaikan.kita tak perlu mendengar apa yang orang lain kata jika melibatkan larangan-larangan Islam.Kita tahu apa yang dilarang dan diperintah oleh Islam agama yang indah supaya kita tak terpesong dari -NYA

  5. 5

    Dalam dunia ni mmg susah kalau kita terlalu memikirkan apa yg orang lain kata. mmg kita tak boleh bergerak jauh kalau kita ikut cakap2 org lain. yg paling penting kita tidak menyimpang dari jalan Allah, tidak becanggahan.

  6. 6

    assalamualaikum..

    sy sekarang sedang menuntut di sebuah kolej d negeri johor..
    untuk mencapai cita2 sy terpaksa berpisah dgn keluarga..
    sebaik sampi d kolej sy agak terkejut dengan kehidupan remaja disekeliling sy..
    tiap kali ke kolej semua orang akan nampak sy dn “mengumpat”
    pertama rsa sedih juga tapi akhrnya sy terfikir “alaa..jan peduli cakap orang..apa yg pentng sy ttp dgn pndrian sy..”
    mdh2an Allah memberi kesabaran kpd dri ini..
    huhu

    • 7

      Salam Aisha,

      Bershukur dan bersabarlah kerana sesiapa yg bershukur Allah akan menambahkan nikmat padanya – Itu adalah Janji Allah.
      Setiap manusia diberikan ujian dan ini adalah ujianmu. Dan Allah tidak memberikan ujian melebihi keupayaan hambaNYA ~ Surah Al Baqarah.
      Sesiapa yg mengumpat adalah dosa besar dan mereka akan menanggung dosa orang yg mereka mengumpat itu, maka dari itu berbanyaklah bershukur. Dan doakan mereka diberi petunjuk dan hidayah daripada Allah.
      Setiap ujian yg dijalani oleh hambaNYA dengan keihlasan hati dan bersikap dan sifat tawaduk, akan diberikan syurga :)
      Cuba amalkan doa yg saya tulis seperti di atas dan doa Nabi Yunus. :)
      Semoga Allah merahmatimu sekeluarga di dunia dan di akhirat, amin

  7. 8

    Benar sekali, tak usah terlalu risau dengan apa kata orang, yang penting Allah mempermudahkan segala pekerjaan kita bagi mendekatkan diri kita kepadaNya.

  8. 9

    Selagi namanya manusia, tidak akan terlepas dari apa jua cubaan, anda kenalah tabah dalam menghadapinya dengan penuh tulus, iklas dan sabar dan berusahalah memohon pertolongan dgn berdoa dan beriktiar, wassalam

  9. 10

    Saya pernah dalam senario B, sbb dapat bos bukan muslim..mmg kalau iman tak kuat, solat asar tu tak buat dan qada’ jawabnya..kadang2 buat solat asar tu lewat dan beberapa minit nak masuk solat maghrib..sedih lihat org kita memandang ringan ttg solat termasuk diri saya sendiri..itu tak kira soal halal haram lagi…Alhamdullilah, berkat doa dan kesabaran, saya dapat tawaran kerja yg lebih baik dan mudah utk saya bersolat..orang bukan islam nie akan faham dan respect kita kalau kita istiqamah dalam mengamalkan ajaran islam dan sentiasa menunjukkan kebaikan di mana2 sahaja kita berada..malah kadang2 mereka ingatkan kita waktu solat, halal haram pulak..malunya..
    Haz recently posted..Wabak Akhir Zaman, Hilangnya Keyakinan Terhadap Syariat Allah

Leave a Reply

CommentLuv badge