Isu Semasa

JAIS Perkenal Kad Daftar Ibu-Anak Susuan

SELANGOR menerusi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menjadi negeri pertama memperkenalkan kad khas bagi bayi yang menyusu daripada wanita bukan ibu kandung bagi mengelak masalah kekeliruan nasab.

Kad MyRadha’ah itu bertujuan merekodkan pendaftaran anak dan ibu susuan supaya anak susuan itu tidak berkahwin dengan saudara sesusuan selain memperkenalkan identiti mereka serta menjaga keturunan umat Islam melalui proses nikah yang sah.

Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim berkata, pendaftaran kad itu dibuka bermula hari ini sebagai projek perintis dan anak susuan boleh mendaftar sekiranya mematuhi syarat ditetapkan.

“Kita akan memberi Kad MyRadha’ah itu yang boleh digunakan dalam borang perkahwinan sebagai semakan pada masa akan datang.

“Selain ibu berkahwin, ada umat Islam di negeri ini yang belum berkahwin turut menyusukan anak. Jadi, mereka wajib didaftarkan bagi mengelak perkara tidak sepatutnya selain ‘trend’ memberi susu mereka kepada tabung hospital tertentu.

“JAIS akan membuka pendaftaran di setiap Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) bagi menggalakkan pendaftaran itu dibuat yang diharap dapat menjaga dan memelihara nasab atau keturunan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Simposium Radha’ah 2018 yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Amirudin Shari di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, hari ini.

Yang turut hadir, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Datuk Dr Khalid Ibrahim.

Haris berkata, kad itu diperkenalkan selaras saranan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Al-Bakri pada 2016 berikutan belum ada mana-mana agensi kerajaan di Malaysia dan negara lain melaksanakan perkhidmatan pendaftaran ibu susuan atau anak susuan.

BACA:  Wabak Akhir Zaman, Hilangnya Keyakinan Terhadap Syariat Allah

“JAIS sudah mengadakan Diskusi Meja Bulat bagi membincangkan keperluan mewujudkan kad khas itu pada era globalisasi dengan menjemput pelbagai pihak dan agensi berkaitan supaya mengelak kecuaian masyarakat mengenai kesan penyusuan susu ibu kepada bukan anak kandung dari aspek mahram perkahwinan.

“Pelbagai isu ditimbulkan oleh peserta diskusi antaranya isu penjualan susu ibu yang berleluasa, isu hukum mahram disebabkan susuan, isu kewujudan bank susu di luar negara, isu keperluan susu ibu untuk bayi pra matang dan isu ‘trend’ ibu berkongsi susu perahan dengan rakan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menyambut baik kempen penyusuan susu ibu oleh Kementerian Kesihatan dan menjalin kerjasama dengan JKNS dalam memberi maklumat atau bimbingan mengenai penyusuan susu ibu dan kepentingan merekodkan aktiviti penyusuan susu ibu yang menyusukan bayi orang lain.

Dalam pada itu, kata Haris, penganjuran simposium itu bertujuan meningkatkan kesedaran kepada masyarakat selain memberi maklumat tepat mengenai prosedur pendaftaran Radha’ah dan menambah baik persepsi golongan ibu mengenai amalan penyusuan dari segi konsep klinikal, etika serta perkongsian susu badan.

 

Sumber: www.hmetro.com.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!