Kesihatan, Lifestyle, Nasihat

Jaga Kesihatan Mental Anda, Awas Dengan ‘Public Shaming’ Di Media Sosial

Masalah seperti stres dan kemurungan (depression) semakin hari semakin menjadi bual mulut orang ramai terutamanya di media sosial. Masyarakat umum semakin mengetahui bahawa masalah ini memang wujud dan perlu diambil perhatian.

Namun kesedaran bahawa masalah mental ini boleh berpunca dari gaya hidup yang tidak sihat masih lagi kurang. Dalam erti kata lain, ramai yang tahu bahawa masalah ini penting tapi tidak sedar sebenarnya gaya hidup yang dijalani ketika ini rupanya tidak sihat, dan mampu mengheret diri kedalam masalah kemurungan.

Artikel kali ini akan mengenengahkan isu penggunaan media sosial secara tidak sihat yang mampu memberi kesan kepada kesihatan mental .

Kerap kali apabila menggunakan media sosial seperti Twitter atau Facebook, kita akan menjumpai perbualan yang berbaur kecaman yang menghina dan memalukan seseorang.

Apabila orang ramai tidak bersetuju dengan kenyataan atau pendapat yang diutarakan oleh figur-figur tertentu contohnya, mereka mula ‘berkicau’ di Twitter dan menyerang peribadi orang tersebut dengan kata-kata kesat dan memalukan. Hal-hal aib yang diketahui dibuka, diceritakan dan dibualkan beramai-ramai.

Tindakan ‘public shaming’ dan ‘cyber-bullying’ ini seolah-olah menjadi budaya yang semakin merebak di media sosial. Masyarakat bagaimana sebenarnya yang telah terbentuk daripada budaya yang tidak sihat ini?

Jangan Jadikan Public Shaming Perkara Biasa

“Aku nak sedarkan dia sikit! Dia tak layak nak nasihat orang!”

Sesetengah orang mungkin berpandangan bahawa mereka hanya mengemukakan pendapat, atau untuk memberi kesedaran, dan bukan dengan niat untuk memalukan. Jika benar seperti yang dikatakan dan betul caranya maka tidak menjadi masalah.

Tetapi jika tidak, anda mungkin sebenarnya sedang menghancurkan kehidupan orang lain dengan kata-kata yang dikeluarkan. Tanya pada diri-

BACA:  Tak payah lama-lama. Tidur 5 minit pun cukup. Doktor ini kongsi tips elak microsleep.

“Apa sebenarnya niat aku tulis begini?”

“Adakah apa yang aku tulis akan mengubah keadaan menjadi lebih baik?”

“Adakah apa yang aku tulis akan menyakiti orang yang membaca?”

“Betul ke cara ini akan selesaikan masalah atau akan bertambah buruk?”

Bahaya Lidah Kepada Diri Dan Orang Lain

Sungguh benar peringatan Rasulullah SAW tentang bahaya lidah. Satu jalan yang boleh mengheret seseorang ke neraka adalah kerana lidah yang tidak dijaga. Dia menyakiti saudara muslim yang lain malah berasa gembira saudaranya terluka dengan kata-katanya.

Aktiviti kita di media sosial juga tidak terkecuali daripada bahaya lidah meskipun kita hanya ‘menaip’. Apa yang diucap oleh lidah dan apa yang ditaip dengan jari, kedua-duanya bermula dari tempat yang sama iaitu hati. Mudarat tangan, kesannya mampu kita lihat. Mudaratnya kata-kata, hanya hati yang dapat merasa.

“Sesungguhnya ada seorang hamba benar-benar berbicara dengan satu perkataan yang ia tidak mengetahui secara jelas maksud yang ada di dalam perkataan itu, namun dengan sebab satu perkataan itu dia terhumban di dalam neraka lebih jauh dari antara timur dan barat”
(Hadis sahih-HR Muslim, no. 298)

Betapa berat bahana lidah yang tidak dijaga, hatta hanya dengan satu perkataan yang kita tidak tahu benar atau tidak, mampu mengheret kita ke lubang neraka. Peringatan ini bukan semata-mata untuk menakutkan kita dengan ancaman atau hukuman dari Tuhan, tetapi untuk menyedarkan kita betapa pentingnya menjaga tindakan supaya tidak memudaratkan dan menyakiti orang.

Satu syarat taubat apabila kesalahan yang dilakukan dengan manusia yang lain, adalah dengan meminta maaf sendiri kepada orang yang telah kita sakiti. Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud:

BACA:  Apakah Hukum Berjaga Sehingga Lewat Malam?

“Tidak akan lurus iman seorang hamba sehingga lurus pula hatinya, dan tidak akan lurus hatinya hingga lurus pula lidahnya. Dan seorang hamba tidak akan masuk syurga selagi tetangganya tidak aman dari kejahatannya”
(HR Ahmad, No 12636) –Hadis dinilai hasan

Teknologi sememangnya memudahkan kita untuk berhubung dan mengetahui perkembangan semasa. Namun perlu diingati bahawa kita berada di zaman fitnah berleluasa. Gunakanlah kemudahan media sosial dengan jalan yang terbaik. Kita pasti tidak mahu menjadi salah seorang yang menyumbang kepada tersebarnya keburukan dan runtuhnya institusi masyarakat yang sihat dan aman.

 

Sumber: Tazkirah.net 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!