Nasihat

Jadilah Yang Menyebarkan Kebaikan, Bukan Menagih 1001 Kebaikan

Pertemuan petang tadi mengingatkan saya tentang satu perkara. Tentang bagaimana kita sedaya upaya untuk menjadi seorang yang realistik dan rasional.

Perbualan dengan Mira pada petang tadi benar-benar membuatkan saya berfikir panjang. Mira mengeluh;

“Saya rasa dah penat sangat dengan sikap dia. Kami sering tidak sefahaman, sering bergaduh tentang perkara-perkara kecil. Dia tidak pernah memenuhi kehendak saya dan tidak kisah dengan perasaan saya. Bila saya ajak untuk berbincang, dia sering mengelak. Kalau pernah berbincang pun, perangainya masih sama dan tidak berubah. Susah sangat ke nak faham apa yang saya mahukan?”

Air milo panas dihadapannya dikacau perlahan. Saya hanya menatap wajah buntu Mira bersama keluhan panjangnya.

Perlahan saya bersuara sambil menunjukkan segelas cawan yang berada di hadapan saya;

“Mira, boleh tak alihkan cawan ni?”

Lalu Mira mengambil cawan tersebut dan meletakkannya di hadapannya dengan berwajah keliru. Lalu saya bertanya kembali;

“Mira rasa boleh tak saya ubah sendiri cawan tadi?”

Mira hanya mengangguk, tanda mengiyakan. Soal saya lagi;

“Tapi kenapa saya tak ubah sendiri cawan tu, kan lebih mudah?”

Mira hanya berdiam dan menggeleng kepala tanda tidak tahu.

“Macam tu juga dalam hidup kita. Jika kita sentiasa fokus untuk mengubah diri seseorang, mengubah sikapnya, kita akan penat. Tapi apa yang kita boleh ubah? Diri kita, cara kita berfikir, cara kita berhadapan dengan seseorang. Cara kita mengendalikan emosi dan situasi. Diri kita, dalam kawalan kita. Namun, diri orang adalah diluar kawalan kita.”

Saya menyambung lagi;

“Mira masih ingat tentang perkongsian saya mengenai konsep REBT (Rational Emotive Behavioural Therapy) tempoh hari? Ada tiga asas utama tentang pemikiran yang tidak rasional.”

BACA:  Rumah terbuka medan erat silaturahim, bukan tempat bermegah

 

#1 – Merasakan Semua Perlu Sempurna

Kita mahukan kehidupan dan diri kita, malah orang di sekeliling juga perlu sempurna. Apa kesan corak pemikiran tersebut terhadap tindakan kita?

Kita mula bersikap memaksa,berkeras serta bertindak untuk mengawal keadaan. Maka pemikiran serta tindakan kita sudah tidak lagi rasional.

#2 – Mengharapkan Orang Lain Berbuat Baik Sentiasa

Kita menganggap bahawa orang lain perlu berbuat baik pada kita dan kita meletakkan ‘expectation’yang tinggi terhadap orang lain.

Hakikatnya, sekiranya seseorang itu membalas kebaikan kita dengan kebaikan, ianya satu rahmat buat kita. Namun realitinya, tidak semua orang akan membalas kebaikan dengan kebaikan juga.

Singkap kembali bagaimana hikmahnya dakwah para Rasul terhadap umat mereka. Namun,adakah segala kebaikan dan ajakan mereka diterima dengan tangan terbuka?

Tidak,bukan? Begitu jugalah keadaannya kita.

#3 – Mengharapkan Keadilan Sentiasa

Kita sering katakan bahawa hidup ini mestilah adil,mengikut apa hasil yang selayaknya kita usahakan.

Walhal,sebagai seorang muslim kita sentiasa percaya bahawa setiap sesuatu itu berlaku dengan keizinan Allah. Sekiranya Dia berkehendak,maka terjadilah ia.

Namun,sebijak mana pun kita merancang, sedalam mana pun kita meneliti perancangan kita, jika Dia tidak mengizinkan,maka semua itu takkan terjadi.

Masih ingatkah kita ayat Al-Quran yang diturunkan sebagai teguran kepada Nabi Muhammad SAW?

Baginda menjanjikan wahyu yang akan diturunkan kepada mereka (orang kafir) yang bertanya perihal Ashabul Kahfi. Lalu, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud;

Dan janganlah kamu sesekali mengatakan tentang sesuatu, ’Sesungguhnya aku akan mengerjakan ini esok pagi’, kecuali dengan mengatakan) ’InsyaAllah’. Dan ingatlah kepada TuhanMu apabila engkau lupa dan katakanlah, ’Mudah-mudahan Tuhanku akan memberikan aku petunjuk agar aku lebih dekat (kebenarannya) kepada ini.’
Surah Al-Kahfi 23-24

BACA:  Profesor Masuk Islam Karena Keajaiban al-Quran

Lihatlah bagaimana Allah menegur dan mendidik kita tentang apa yang kita rancang.

Kehidupan kita pada minit yang akan datang pun tidak kita ketahui, apatah lagi tentang perancangan kita pada hari esok.

Rancanglah dengan barakah, dengan mengharapkan keizinan Allah. Maka, fikiran kita akan aman daripada menganggap kehidupan dunia ini selayaknya dalam genggaman dan pengetahuan kita.

”Jadi Mira, belajar menerima kemampuan seseorang dan kurangkan ‘expectation’. Tidak salah sekiranya kita mempunyai keinginan dan impian. Berbincanglah, merancanglah ke arah kemajuan. “

Namun perlu diingatkan juga tentang realiti keperluan dan kemampuan badan. Yang menjadikan rumah tangga itu sakinah adalah dengan toleransi.

Rumah tangga menjadi mawaddah adalah dengan cinta dan tanggungjawab dan yang menjadikan rumah tangga itu ada rahmah bila adanya sikap menghormati dalam perbezaan.

Moga Allah sentiasa beri kekuatan, sakinah, mawaddah dan rahmah dalam kehidupan kita. Seringkali kita momokkan diri kita perihal pentingnya memenuhi tanggapan serta ‘expectation’ masyarakat disekeliling kita.

Sehinggakan kita terlupa hakikat sebenar di dalam diri kita adakah kita benar-benar bahagia mengejar kejayaan yang dicipta oleh orang lain?

Kesannya,hidup kita sentiasa tertekan dengan pencapaian yang tidak seberapa,kekurangan serta kelemahan orang-orang disekeliling kita.

Akhirnya membawa kita kepada satu sifat tamak,tidak merasa cukup apa adanya kita, bahkan kita sehingga terlupa menghargai setiap detik dan insan-insan disekeliling kita. Alangkah ruginya kita!

 

Sumber: Tazkirah.net 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *