Tokoh Islam

Istiqamah Membaca Al-Quran, Salah Satu Sifat Johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa

Bukan mudah untuk mendidik diri agar mencintai dan mempelajari Al-Quran dengan baik, sama ada dari sudut tajwid, hafazan mahupun tarannum.

Namun, berbeza dengan remaja 19 tahun ini, Nur Farhatul Fairuzah binti Panut yang telah mendalami ilmu Al-Quran dengan baik sehingga diangkat sebagai johan qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1440.

Selain itu, beliau juga telah dinobatkan sebagai johan yang termuda dalam kategori Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) yang ke-61. Malah, baru-baru ini beliau telah berjaya menamatkan pengajian tingkatan enam dengan memperoleh keputusan yang membanggakan di Sekolah Menengah Perempuan Agama Labu, Negeri Sembilan.

Beliau merupakan anak bongsu daripada lima orang adik-beradik dan arwah bapanya merupakan bekas qari, iaitu Allahyarham Haji Panut Markum, begitu juga dengan ibunya yang merupakan seorang qariah, iaitu Hajah Jaliah Simin.

Yang menariknya, kelima-lima adik-beradiknya sangat aktif dalam bidang Al-Quran sehingga pernah mewakili negeri dan peringkat kebangsaan dalam pelbagai anjuran, bukan sahaja di sekolah.

Belajar Tarannum Sejak Lima Tahun

Beliau telah mula mempelajari Al-Quran sejak berumur lima tahun dan didedahkan dengan pertandingan tilawah bermula dari sekolah rendah lagi.

Beliau juga telah mewarisi sifat cintakan Al-Quran daripada orang tuanya dengan menelaah kitab suci itu setiap kali selepas solat.

Hobi beliau yang suka mendengar lagu-lagu Arab juga merupakan salah satu pemangkin utama kepada kejayaannya dan mampu menambah lagi minatnya terhadap bahasa syurga itu.

Antara sikap yang boleh dicontohi daripada beliau ialah tidak mudah putus asa dan sentiasa bersabar dalam setiap apa yang diceburi. Beliau juga istiqamah dalam melatih diri sendiri bertarannum dengan tidak meninggalkan rutin membaca Al-Quran setiap kali selepas solat.

BACA:  Kisah Haji Pertama Dan Terakhir Rasulullah Pada Bulan Zulkaedah

Untuk menghafaz Al-Quran memerlukan usaha yang sangat besar dan tidak mudah mengalah. Al-Quran itu merupakan sebuah kitab yang bukan calang-calang orang mampu mendalaminya.

Namun, disebabkan kecintaan beliau terhadap Al-Quran, kesungguhan dan kegigihannya berjaya dibuktikan apabila beliau mula menjadi johan dalam pertandingan yang diceburi sama ada di peringkat sekolah mahupun negeri.

Malah, usaha murninya untuk turut menyebarkan cinta Al-Quran terhadap orang lain dilihat sangat positif apabila beliau sering membuat kelas pengajian Al-Quran sama ada mengenai tajwid atau tarannum melalui laman Instagram beliau.

Banyak komen positif yang ditonjolkan oleh warga net melalui perkongsian ini kerana secara tidak langsung mereka boleh belajar membaca Al-Quran dengan baik.

Pandai tarannum tidak membuktikan cinta anda kepada Al-Quran, namun yang paling penting ialah istiqamah dalam membacanya. Jadikan Al-Quran sebagai salah satu rutin agar hati kita sentiasa tenang dan kehidupan menjadi berkat.

Wallahu a’lam.

 

Sumber: tzkrh.com 

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *