Doa, Tazkirah

Inilah 3 Golongan Orang yang Mustajab Doanya

Doa adalah permohonan seorang hamba kepada Tuhannya. Hakikat doa sebenarnya menzahirkan kefakiran, kerendahan hati serta pengharapan seorang manusia yang menyedari bahawa Allah lah yang menyusun atur kehidupan yang serba luas ini.

Setiap orang yang berdoa mengharapkan agar doanya diperkenankan oleh Allah SWT. Maka, perlunya kita tahu doa itu mempunyai masa yang mustajab atau masa yang tidak akan tertolaknya doa. Selain itu, Allah juga menyatakan adanya golongan yang doa mereka akan dikabulkan.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ عَلَى وَلَدِهِ

Dari Abu Hurairah ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Ada tiga jenis doa yang akan dikabulkan yang tidak ada keraguan padanya; doa orang yang dizalimi, doa musafir, dan doa orang tua untuk anaknya.”
(HR Tirmizi No: 1828, Status Hasan)

#1- Doa Orang Yang Dizalimi

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعَثَ مُعَاذًا إِلَى الْيَمَنِ فَقَالَ اتَّقِ دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ فَإِنَّهَا لَيْسَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ

Dari Ibnu ‘Abbas R.anhuma bahawa Nabi SAW mengutus Mu’adz ke negeri Yaman lalu bersabda: “Takutlah (berhati-hatilah) kamu terhadap doa orang yang dizalimi kerana antara doanya dan Allah tidak ada apa-apa penghalang” (HR Bukhari,No. 2268)

Bercakap tentang doa orang yang dizalimi, saya teringat satu istilah yang kerap kali diguna oleh ramai orang iaitu ‘karma’. Ia suatu kepercayaan dalam agama Hindu dan juga Buddha tentang ’cause and effect’ atau sebab dan akibat. Secara mudahnya setiap perkara itu ada akibatnya. Jika kita melakukan kejahatan dan keburukan kepada orang, kita juga akan ditimpa kejahatan yang sama.

BACA:  6 Rahsia Di Sebalik Surah Al-Fatihah

Namun, dalam Islam. Tidak ada konsep karma. Tetapi ada hukum alam yang jauh lebih berkuasa iaitu ‘Allah itu adil’. Kita percaya bahawa balasan Allah itu ada dan jauh lebih hebat. Tidak ada yang terlepas dari pandangan Allah. Keadilan Allah boleh berlaku dalam banyak bentuk contohnya seperti dalam hadis di atas, ‘doa orang yang dizalimi makbul’ dan ianya tidak boleh dianggap remeh kerana tidak ada batasan di antara doa orang yang dizalimi dan Allah.

#2- Doa Orang Yang Dalam Perjalanan (Musafir)

Golongan kedua yang disebut dalam hadis merupakan golongan yang mustajab doa mereka ialah doa orang yang sedang bermusafir. Biasanya ketika menaiki kereta, bas atau kapal terbang ke tempat-tempat jauh, ramai yang menghabiskan masa dengan mendengar lagu atau menonton cerita bagi mengisi masa lapang. Apa kata, selitkan juga doa serta hajat kita kepada Allah.

Waktu musafir adalah waktu yang istimewa di sisi Allah hinggakan diberi keringanan untuk memendek dan menghimpunkan solat, keringanan untuk berbuka puasa, malah kita menjadi orang yang istimewa yang diterima doanya.

Antara doa yang dibaca oleh Nabi SAW apabila ingin memulakan perjalanan ialah,

Daripada Ibn Umar RA berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا اسْتَوَى عَلَى بَعِيرِهِ خَارِجًا إِلَى سَفَرٍ، كَبَّرَ ثَلَاثًا، ثُمَّ قَالَ: سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا، وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ، وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ، اللهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى، وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى، اللهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا، وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ، اللهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ، وَالْخَلِيفَةُ فِي الْأَهْلِ، اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ، وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ، وَسُوءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالْأَهْلِ

BACA:  3 Peristiwa Sedih Didalam Hidup Rasulullah Sebelum Peristiwa Israk Mikraj

Maksudnya: “Adapun Rasulullah SAW apabila Baginda duduk di atas tunggangannya dengan tujuan untuk keluar bermusafir, Baginda akan bertakbir sebanyak tiga kali (Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Allah Maha Besar!) Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali.

Ya Allah! Kami mohon kepadaMu agar permusafiran kami ini di atas kebaikan dan ketaqwaan, dan ia dikira sebagai amalan yang Engkau redhai. Ya Allah! kami mohon agar permusafiran ini menjadi mudah ke atas kami, Engkau lipatkanlah jaraknya (supaya menjadi pendek). Ya Allah! Engkaulah Peneman ketika permusafiran dan Penjaga bagi ahli keluarga (yang ditinggalkan). Ya Allah! aku mohon berlindung daripadaMu agar Engkau peliharalah kami daripada kesusahan ketika musafir, pemandangan yang mendukacitakan dan kepulangan yang buruk pada harta dan keluarga kami.” (Riwayat Muslim, No. 1342)

#3- Doa Orang Tua Untuk Anaknya

Golongan yang ketiga yang mustajab doa mereka ialah ibu bapa kita. Jika ibu bapa kita masih hidup, ambil lah peluang untuk berbakti kepada mereka. Minta mereka doakan yang baik-baik untuk kita.

Jika komitmen kerja dan kehidupan sendiri menghalang untuk kita meluangkan masa yang banyak dengan mereka, maka berbincanglah dengan adik beradik yang lain. Minta maaf kepada ibu bapa atas kekurangan dan kelemahan kita dalam menjaga mereka. Mereka pasti memahami.

Bagi mereka yang ibu bapanya sudah tiada, kita masih boleh berbakti kepada mereka dengan doa, sedekah bagi pihak mereka dan juga menyambungkan silaturahim dengan teman-teman mereka yang masih ada.

Jika kita pula sudah menjadi ibu bapa, maka doakanlah yang baik-baik juga untuk anak-anak. Usah sebut yang buruk-buruk kerana kata-kata itu juga umpama doa. Sebagaimana orang tua kita pernah bersabar membesarkan kita, kelak akan tiba masa kita pula melangkah ke usia senja dan anak-anak kita pula berada di tempat kita sebagaimana dahulunya.

BACA:  Doa Ibu Lebih Dahsyat dari Doa Ulama, bahkan Wali Sekalipun

Hakikatnya, orang di sekeliling atau diri kita sendiri besar kemunginannya pernah atau akan termasuk dalam tiga golongan yang disebutkan ini. Kita mungkin pernah dizalimi, kita pasti pernah bermusafir dan kita juga mempunyai ibu bapa atau akan menjadi ibu bapa kelak.

Di saat Allah mengurniakan kita peluang menjadi seorang yang istimewa yang tidak akan ditolak doanya, maka berdoalah dengan penuh beradab dan rendah hati memohon kebaikan daripada Allah.

 

Sumber: tzkrh.com 

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *