Ibadah

Ihsan Terhadap Haiwan – Hikmah Penyembelihan Dari Sudut Sains Dan Rohani

Islam mengajar umatnya untuk bersifat ihsan terhadap makhluk sama ada sesama manusia atau kepada haiwan. Ihsan sendiri membawa maksud kesempurnaan atau terbaik yang datang daripada kalimah Arab, iaitu حسن (hasana).

Ia juga membawa maksud yang mendalam, iaitu beribadah dan melakukan setiap perbuatan di atas muka bumi ini seolah-olah Allah sentiasa melihat kita dan kita juga melihatNya walaupun pada mata kasarnya, tidak.

Lawan kepada ihsan ialah isa’ah, iaitu berbuat keburukan dan kemudaratan. Kita dianjurkan untuk berbuat baik kepada diri sendiri dan juga makhluk sekeliling.

Salah satu ihsan yang dianjurkan adalah berbuat baik kepada binatang. Jika terjumpa haiwan di jalanan, bantulah sekadar yang termampu, jika ada kucing yang datang merengek dan meminta makanan, berilah sedikit sekadar untuk mengenyangkan perutnya dan jika ingin menyembelih haiwan sebagai sumber makanan, sembelihlah dengan penuh ihsan.

ﺇِﻥَّ ﺍﻟﻠَّﻪَ ﻛَﺘَﺐَ ﺍﻟْﺈِﺣْﺴَﺎﻥَ ﻋَﻠَﻰ ﻛُﻞِّ ﺷَﻲْﺀٍ ﻓَﺈِﺫَﺍ ﻗَﺘَﻠْﺘُﻢْ ﻓَﺄَﺣْﺴِﻨُﻮﺍ ﺍﻟْﻘِﺘْﻠَﺔَ ﻭَﺇِﺫَﺍ ﺫَﺑَﺤْﺘُﻢْ ﻓَﺄَﺣْﺴِﻨُﻮﺍ ﺍﻟﺬَّﺑْﺢَ ﻭَﻟْﻴُﺤِﺪَّ ﺃَﺣَﺪُﻛُﻢْ ﺷَﻔْﺮَﺗَﻪُ ﻓَﻠْﻴُﺮِﺡْ ﺫَﺑِﻴﺤَﺖَ

Maksud: “Sesungguhnya Allah mewajibkan berbuat baik (ihsan) atas segala sesuatu. Jika kalian membunuh, maka berbuat ihsanlah dalam cara pembunuhan dan jika kalian menyembelih, maka berbuat ihsanlah dalam cara menyembelih, dan hendaklah salah seorang dari kalian menajamkan parangnya dan menyenangkan sembelihannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Bagaimana ingin menyembelih dengan penuh ihsan? Sedangkan perbuatan menyembelih itu sendiri dianggap perbuatan yang kejam bermula dari proses memutuskan urat lehernya, memapah kulitnya dan kemudian memotong badannya kepada beberapa bahagian.

Dalam Islam, ia tidak dikira sebagai pembunuhan yang kejam, namun sebenarnya ia adalah proses penyembelihan untuk dijadikan sumber makanan kepada manusia sekali gus ia merupakan penyembelihan yang paling selamat dan ihsan terhadap haiwan.

Sembelihan atau dalam bahasa Arabnya ialah Thayyib yang bermaksud mengelokkan atau Tatmim yang membawa maksud menyempurnakan. Dari segi istilah pula, ia bermaksud perlu dan harus disempurnakan dengan cara sembelihan.

Ia merupakan salah satu cara untuk menghilangkan nyawa binatang dengan memutuskan urat halkum dan urat marih menggunakan alat yang tajam seperti pisau yang telah diasah.

Hukum bagi penyembelihan adalah wajib dan binatang yang mati tanpa disembelih adalah haram dimakan.

Allah telah berkata di dalam firmanNya yang berbunyi:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّـهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ

“Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-bintang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala.”
(Surah Al-Ma’ida, 5:3)

Walau bagaimanapun, mengapa ia dikatakan perlu disembelih pada tempat-tempat yang tertentu untuk mematikannya dan menjadikannya halal untuk dimakan? Pernahkah kita melihat dari hikmah dan kebijaksanaan yang ingin disampaikan oleh Allah melalui suruhanNya ini?

Perbezaan Sembelihan Islam Dan Barat

Semasa diajar tajuk penyembelihan di bangku sekolah, kita telah melihat tatacara yang betul dan syarat sah sesebuah penyembelihan tersebut. Bermula dengan niat di hati, menyembelih untuk menjadikannya makanan yang halal dimakan dengan disebut nama Allah serta alatan yang digunakan mestilah tajam untuk tidak menyeksa haiwan tersebut.

BACA:  Hukum Lelaki Sembahyang Memakai Kopiah

Kita juga perlu mengelakkan menyembelih haiwan tersebut di hadapan atau terlalu dekat dengan haiwan lain, bimbang akan memberi reaksi yang boleh mengejutkan haiwan tersebut. Itulah ihsan. Setiap perkara perlu dititiberatkan dalam proses penyembelihan, baik sebelum, semasa dan selepas.

Proses ini dilihat bebeza dengan negara-negara barat atau bukan Islam. Mereka tidak menitikberatkan banyak aspek, malah motif utama mereka hanyalah untuk mematikan haiwan tersebut untuk dijadikan sumber makanan manusia.

Kebiasaannya, mereka akan menggunakan pistol atau renjatan eletrik terlebih dahulu bergantung kepada jenis haiwan untuk meletakkannya dalam keadaan tidak sedar atau pengsan dengan alasan mereka tidak akan merasa sakit apabila mati dalam keadaan tersebut.

Adakah cara Barat itu juga dikira ihsan terhadap binatang serta bagaimana pula dengan status daging yang disembelih itu?

Menurut pendapat jumhur ulama’, syarat sah penyembelihan perlu dilakukan dengan memutuskan urat halkum dan urat marih dengan menggunakan alatan yang tajam. Menurut Mazhab Syafi’e, haram hukumnya memakan daging haiwan yang tidak disembelih dengan sempurna dan haiwan yang telah mati tanpa sempat disembelih.

فَكُلُوا مِمَّا ذُكِرَ اسْمُ اللَّـهِ عَلَيْهِ إِن كُنتُم بِآيَاتِهِ مُؤْمِنِينَ

“Maka makanlah dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika betul kamu beriman kepada ayat-ayatNya.”
(Surah Al-An’am, 6:118)

Walau bagaimanapun, apakah hikmah yang boleh dipelajari disebalik ajaran Islam ini? Umum mengetahui, Islam tidak akan menyuruh umatnya untuk melakukan sesuatu dengan sia-sia. Setiap suruhan pasti punya sebab dan hikmahnya tersendiri, baik dari sudut rohani mahupun sains.

Hikmah Sembelihan Dalam Islam

Sebuah kajian telah dilakukan oleh Profesor Wilhelm Schulze dan Dr Hazim dari Jabatan Perubatan Veterinar, Universiti Hannover, Jerman mendapati bahawa proses pembunuhan yang dilakukan oleh Barat adalah lebih menyakitkan berbanding dengan Islam.

Kesakitan ini telah berjaya dikesan dengan menggunakan rekod electroencephalograph (EEG) dan electrocardiogram (ECG) untuk mengetahui keadaan otak dan jantung haiwan yang dikaji.

Beberapa alat pengesan telah dipasang terhadap beberapa ekor otak haiwan yang telah dikaji. Ia telah dimasukkan menerusi pembedahan khusus dan telah dibiarkan untuk pulih terlebih dahulu dalam masa beberapa minggu.

Seterusnya, haiwan ini dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu satu kumpulan yang disembelih mengikut cara Islam dan satu lagi disembelih mengikut cara Barat, iaitu dengan menggunakan kaedah Captive Bolt Pistol Stunning (CBP).

Keputusan EEG selepas tiga saat pertama penyembelihan mengikut cara Islam menunjukkan tiada sebarang perubahan pada graf yang membawa maksud haiwan tersebut tidak merasa kesakitan terhadap keadaannya.

Pada tiga saat seterusnya, darah yang mengalir keluar semakin banyak menunjukkan bacaan EEG kepada keadaan tidur lena atau tidak sedar diri. EEG kemudiannya turun ke paras sifar membuktikan bahawa haiwan tersebut tidak merasai sebarang kesakitan pada waktu itu.

Keadaan itu juga menyebabkan jantungnya masih dipam dan badan haiwan masih dapat bergerak akibat tindak balas daripada saraf tunjang. Ia menyebabkan semua darah dalam badan telah keluar dan daging itu selamat untuk dimakan tanpa sebarang kuman atau mikroorganisma berbahaya.

Berbeza dengan cara penyembelihan yang dilakukan oleh Barat. Keputusan dan bacaan EEG pada awalnya tidak menunjukkan bacaan sakit. Walau bagaimanapun, beberapa saat selepas ia dimatikan, keputusan otak haiwan tersebut menunjukkan ia mula rasa sakit dan bacaannya meningkat.

BACA:  Solat Tidak Pakai Kopiah..Apa Hukumnya?

Kajian juga menunjukkan jantungnya tidak dapat mengepam darah dengan baik kerana ia berhenti berdenyut dengan lebih awal dan mengakibatkan darah masih terkumpul di dalam daging.

Kajian ini telah dibukukan dan diberi tajuk ‘Cubaan Untuk Mengesan Kesakitan Dan Rasa Sedar Mengikut Kaedah Konvensional Dan Agama Ketika Menyembelih Lembu Atau Kambing’.

Menurut sebuah kajian lanjutan yang telah dilakukan oleh Universiti Texas A&M dan Agensi Pemeriksaan Makanan Kanada mengatakan bahawa kaedah penembakan bola besi serta memengsankan terlebih dahulu haiwan yang ingin disembelih sebenarnya boleh mengakibatkan kepada kerosakan saraf tunjang yang boleh membawa kepada kesan merasa kesakitan yang amat sangat serta organ di dalam badannya tidak dapat berfungsi dengan baik.

Saraf tunjang yang putus dan rosak juga boleh mengakibatkan fiber saraf rosak dengan lebih cepat sekali gus darah akan terkumpul di dalam daging akibat gagal dipam oleh jantung untuk mengalirkannya dengan baik.

Ia sekali gus akan mengakibatkan mikroorganisma merebak dan menjadikan daging tersebut tidak selamat untuk dimakan. Hal ini kerana, darah merupakan perantara kepada mikroorganisma.

Menurut Dr Aisha El-Awady lagi, kaedah Islam boleh memastikan saluran udara, kerongkong dan dua urat leher dipotong tanpa menjejaskan saraf tunjang serta tisu otak haiwan tersebut.

Pisau yang tajam juga merupakan antara faktor utama kerana ia adalah untuk mempercepatkan proses penyembelihan. Hal ini kerana, ia boleh memutuskan salur darah ke saraf otak kerana saraf ini yang menghantar mesej kesakitan kepada otak.

Pergerakan dan juga kekejangan yang berlaku selepas haiwan itu disembelih adalah bukan disebabkan kesakitan, tetapi akibat denyutan yang menyebabkan darah akan keluar sepenuhnya dari badan. Ia juga adalah disebabkan oleh kurangnya oksigen dalam badan.

Disebabkan itu juga, kita diharamkan untuk memakan daging babi kerana proses penyembelihannya tidak sempurna disebabkan oleh tiada urat di leher yang boleh disembelih.

Hal ini menyebabkan masih banyak kuman dan mikroorganisma yang terkumpul baik di dalam badannya mahupun daging yang disembelih. Selain daripada mempunyai bakteria berbahaya yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit seperti kanser perut, ia juga menyebabkan ketahanan badan berkurang, berbanding dengan daging lain seperti lembu yang disembelih dengan baik dikatakan mampu memberi ketahanan yang baik kepada badan.

Statistik penyakit kanser usus dikatakan meningkat saban tahun terhadap negara yang mengamalkan memakan daging babi seperti Eropah dan Asia berbanding dengan negara Islam yang tidak memakan daging babi menunjukkan peratusan yang sangat rendah.

Bagaimana Dengan Haiwan Di Lautan

Berdasarkan dalil Al-Quran dan hadis, ikan dan haiwan di lautan boleh dimakan tanpa dilakukan proses penyembelihan seperti haiwan di daratan.

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Mafhum: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk menikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.” (Surah Al-Ma’ida, 5:96)

Juga telah disebut dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Telah dihalalkan bagi kami dua bangkai dan dua darah. Dua bangkai itu adalah ikan dan belalang. Dua darah itu adalah hati dan limpa.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah, no 3314)

BACA:  Ahlan wa Sahlan Ya Ramadan!

Mengapa ia dikatakan tidak perlu disembelih seperti haiwan lain dan adakah selamat dagingnya untuk dimakan?

Berdasarkan kajian yang telah dilakukan oleh beberapa pengkaji barat menunjukkan bahawa ikan tidak mempunyai pembuluh darah yang akan mengakibatkan darahnya terperangkap di dalam daging. Hal ini sekali gus mengelakkan kuman daripada terkumpul dan merosakkan daging.

Bagi ikan yang tinggal di lautan juga menunjukkan bahawa air laut berfungsi sebagai pengawet terbaik kerana kandungan garam di dalamnya adalah cukup tinggi. Ia bermaksud, bangkai ikan yang mati di lautan tetap segar dan boleh dimakan.

Jadi, cukuplah sekadar mengungkapkan basmallah ketika menyiangnya sebagai tanda ia disembelih dengan nama Allah.

Bagaimana Daging Yang Disembelih Tanpa Nama Allah

Menurut kalam Allah yang telah diturunkan dalam surah Al-An’am yang berbunyi:

Mafhum: “Dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya, kerana sesungguhnya yang sedemikian itu adalah perbuatan fasik (berdosa).” (Surah Al-An’Am, 6:121)

Jumhur ulama’ berpendapat bahawa syarat penyembelihan perlulah disebutkan kalimah Allah atau basmallah bagi menghalalkannya. Malah, ada sebahagian ulama’ yang berpendapat bahawa haram memakan makanan yang tidak disembelih dengan menyebut nama Allah.

Walau bagaimanapun, pendapat dari golongan Mazhab Syafi’e mengatakan bahawa basmallah adalah salah satu sunnah dan bukan syarat sah untuk menyembelih haiwan. Jika meninggalkannya secara sengaja atau terlupa adalah tidak mengapa.

Yang menjadikannya tidak halal adalah jika haiwan itu disembelih dengan menyebut nama tuhan lain. Hal ini ada disebut juga dalam kitab-kitab dan pendapat dari golongan Mazhab Syafi’e, iaitu:

وأجاب عنه الشافعية أن المراد مما لم يذكر اسم الله عليه بأن ذكراسم غيره عليه فنزلت الآية ناهيا لهم عن أن يأكلوا مما سموا عليه آلهتهم بخلاف ما لم يسم عليه أصلا فيحل، لأن التسمية سنة عندنا

Maksud: “Golongan Syafi’iyyah menjawab bahawa yang dimaksudkan tidak disebut dengan nama Allah adalah menyebut dengan nama tuhan lain selain Allah. Maka, disebabkan itu turunlah ayat yang melarang mereka memakan makanan yang telah disembelih dengan menyebut nama tuhan-tuhan mereka. Berbeza jika pada awalnya telah disedari (sembelihan itu) tanpa basmallah, maka itu adalah halal. Kerana mengucapkan basmallah adalah sunnah.” (Hadis Riwayat Abdullah Ibn Abbas)

Malah, menurut Ibrahim al-Bajuri, memakan daging yang disembelih tanpa basmallah adalah halal. Ia adalah cukup mengucapkan basmallah sebelum kita makan. Wallahu a’lam.

Kesimpulan

Banyak hikmah tersimpan disebalik suruhan dan larangan Allah kepada umatNya. Kajian dari sudut sains dan rohani telah membuktikan bahawa walau sekecil-kecil perkara yang disuruh Allah itu mampu memberikan kesihatan bukan sahaja kepada si pemakan haiwan bahkan juga buat haiwan lain agar tidak terdedah dengan penyakit-peyakit berbahaya.

Sabda Rasulullah SAW dari Rafi’ ibn Khadij RA, bermaksud:

Maksud: “Apa-apa yang dapat mengalirkan darah serta disebut nama Allah padanya (waktu menyembelih), maka boleh kamu makan, kecuali gigi dan kuku, dan aku akan khabarkan kepada kamu sedemikian itu, (kerana) gigi adalah tulang dan kuku adalah pisau orang Habsyah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kredit:
Penyembelihan dari Sudut Sains,
Haiwan Yang Disembelih Tanpa Menyebut Nama Allah &
Berlaku Ihsan Terhadap Binatang

 

Sumber: tzkrh.com 

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *