Keluarga, Soal Jawab Agama, Tazkirah

Hukum Suami Mengaku Bujang

Adakah jatuh talak atau tidak sekiranya seorang lelaki yang sudah mempunyai isteri mengaku bujang?

Berikut disertakan beberapa contoh :

– Bila ditanya suami itu olih seseorang : “adakah kamu sudah beristeri?” lalu dijawabnya : “saya belum beristeri.”

– Seorang suami yang menghantar isterinya balik bercuti ke kampung lalu berkata suami tersebut : “abang jadi orang bujang la seminggu.”

– Seorang wanita berkata kepada lelaki yang sudah beristeri yang baru dikenalinya : “awak sudah kawin atau belum sebenarnya ?” jawabnya : “saya belum kawin”

– Seorang suami ditanya olih kawannya : “kemana isteri awak lama saya tidak nampak dia.” lalu suami itu menjawab :”saya sekarang seorang duda.”

Maka semua jawapan suami seperti contoh di atas tidak menjatuhkan talak kerana lafaz “saya belum beristeri”, “saya bujang”, “saya belum kawin” dan “saya duda” yang tersebut bukan lafaz talak sarih (yang jelas).

Tetapi jika suami tersebut berniat talak ketika melafazkan semua lafaz seperti contoh di atas maka jatuh talak menurut pendapat yang masyhur di kalangan ulama fiqh kerana ia termasuk lafaz talak kinayah (sindiran) artinya lafaz talak yang hanya sah jika berserta dengan niat talak.

Manakala sebahagian ulama fiqh yang lain mengatakan ia tidak termasuk lafaz talak kinayah maka sekalipun berniat talak tidak jatuh talak dan ia dikira lagha tidak ada makna.

Rujukan :

Berkata Imam Syairazi :

وَإنْ قَالَ لَهُ رَجُلٌ: أَلَكَ زَوْجَةٌ ، فَقَالَ: لاَ، فَإنْ لَمْ يَنْوِ بِهِ الطَّلاَقَ، لَمْ تُطَلَّقْ؛ لأَنَّهُ لَيْسَ بِصَرِيحٍ، وَإنْ نَوَى بِهِ الطَّلاَقَ، وَقَعَ؛ لأَنَّهُ يَحْتَمِلُ الطَّلاَقَ. إهـ

Artinya : “dan jika bertanya kepadanya olih seseorang : adakah kamu mempunyai isteri? Maka dijawabnya : tiada. Maka jika tidak berniat ia akan talak dengan lafaz tersebut maka tidaklah jatuh talak dari kerana lafaz itu bukan lafaz yang jelas. Dan jika ia berniat talak dengan lafaz tersebut maka jatuh talak dari kerana ia bolih dipakai makna talak.” (Kitab Al-Muhazzab)

BACA:  Amal Untuk Meraih Cinta Allah

Berkata Imam Nawawi :

وإن قال له رجل : ألك زوجة ؟ فقال : لا، ونوى به الطلاق كان طلاقا. قال في الفروع : ويحتمل أن لا يكون كناية ولا صريحا، والأول هو المشهور لأنه يحتمل الطلاق. إهـ

Artinya : “Dan jika berkata kepadanya olih seseorang : Adakah bagi kamu isteri? Maka berkata ia : Tiada. Dan dia berniat talak dengan kata-katanya itu maka berlaku talak. Tersebut di dalam kitab Furu’ : Ditanggungkan bahawa lafaz tersebut bukan lafaz talak yang jelas dan bukan juga lafaz talak sindiran. Pendapat pertama yaitu ia termasuk lafaz talak kinayah ialah pendapat yang masyhur dari kerana ia bolih jadi bermakna talak.” (Kitab Al-Majmu’)

Kesimpulan

– Tidak jatuh talak jika suami mengaku bujang atau belum kawin atau belum beristeri atau duda atau yang semakna dengannya jika suami tersebut tidak berniat talak ketika melafazkan kata-kata tersebut.

– Bermain-main dengan lafaz talak atau seumpamanya adalah tidak disukai syara’.

– Sekalipun tidak jatuh talak, berbohong adalah perbuatan yang berdosa disisi syara’.

Wallahua’lam

 

Sumber: Facebook Ustaz Azhar Idrus (Original) 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *