Ibadah

Hukum Meniatkan Ibadah Haji Dan Korban Ke Atas Orang Lain

Apabila tibanya musim haji, pasti hati kita akan melonjak kegembiraan terutamanya jika terdapat ahli keluarga atu kenalan rapat yang mendapat panggilan dari Ilahi untuk mengerjakannya.

Sedari kecil, kita akan lebih seronok dan membayangkan ahli keluarga akan pulang dengan pelbagai buah tangan dari tanah suci seperti air zam zam, buah tin, kurma dan pelbagai lagi makanan sunnah serta sejadah.

Tatkala meningkat dewasa, kita semakin terinspirasi oleh mereka yang berjaya menjejakkan kaki ke tanah suci pada usia yang muda dan remaja lagi.

Malah, kata mereka yang telah berusia – “Zaman sekarang, sesiapa sahaja boleh mengerjakan haji, tidak perlu tunggu tua.”

Buat mereka yang telah diberi peluang olehNya, bersyukurlah kerana Allah telah memanggil kalian dengan waktu yang cepat. Buat mereka yang masih menunggu, sabar itu adalah kuncinya. Jika telah tertulis rezeki kita untuk ke sana, Allah pasti akan izinkan suatu hari nanti pada masa yang tepat.

Namun, bagaimana pula dengan mereka yang tidak sempat menunaikan haji? Dalam erti kata lain, kematian terlebih dahulu menjemput mereka atau ada juga di kalangan kita yang ditimpa penyakit kronik seperti diserang angin ahmar atau terlibat dalam kemalangan sehingga koma dan sebagainya?

Dalam Islam, wujud istilah badal haji buat mereka yang tidak berkesempatan untuk menunaikan haji.

Badal atau ganti membawa maksud haji yang dilakukan oleh orang lain dengan niat ke atas orang yang menyuruhnya.

حَدَّثَنَا مُوسَى بْنُ إِسْمَاعِيلَ حَدَّثَنَا أَبُو عَوَانَةَ عَنْ أَبِي بِشْرٍ عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ -رضي الله عنهما-: “أَنَّ امْرَأَةً مِنْ جُهَيْنَةَ جَاءَتْ إِلَى النَّبِيِّ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فَقَالَتْ: إِنَّ أُمِّي نَذَرَتْ أَنْ تَحُجَّ فَلَمْ تَحُجَّ حَتَّى مَاتَتْ، أَفَأَحُجُّ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ حُجِّي عَنْهَا، أَرَأَيْتِ لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكِ دَيْنٌ أَكُنْتِ قَاضِيَةً؟ اقْضُوا اللَّهَ، فَاللَّهُ أَحَقُّ بِالْوَفَاءِ

BACA:  Puasa enam dibuat berterusan lebih afdal

Maksud: “Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA: Seorang wanita dari Juhainah datang menemui Rasulullah SAW dan berkata: “Sesungguhnya ibuku telah bernazar untuk menunaikan haji, apakah aku perlu menunaikan haji bagi pihaknya?” Jawab Baginda: “Ya, tunaikanlah haji untuknya. Apa pandangan kamu kalau ibu kamu berhutang, apakah kamu perlu melunaskannya?” Jawabnya: “Ya”. Sabda Baginda: “Tunaikanlah hutang Allah dan hutang Allah lebih berhak untuk dilunaskan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Ahmad dan An-Nasaie)

Melalui dalil di atas, para ulama’ bersepakat mengatakan hukum badal haji adalah harus untuk dilakukan sama ada kepada si mati atau mereka yang tidak berkemampuan disebabkan oleh ditimpa penyakit atau kekangan- kekangan lain yang ada.

Upah haji ini kebiasaannya menggunakan harta peninggalan si mati. Namun, jika si waris berniat ingin menggunakan duit dan harta sendiri, adalah tidak mengapa. Jumhur ulama’ mengatakan bahawa upah haji ini perlu dilakukan tanpa menimbulkan kesusahan kepada mana-mana pihak.

Oleh hal yang demikian, jika harta yang ditinggalkan masih mencukupi untuk melaksanakan haji buat si mati setelah lunas segala hutang atau bayaran lain, boleh digunakan hartanya sendiri.

Sebahagian golongan Syafi’e berpendapat bahawa waris yang terdekat adalah orang yang layak untuk melaksanakan upah haji ini. Namun, jika tiada waris terdekat atau mereka yang layak, maka adalah tidak mengapa untuk mengupah haji melalui agensi-agensi yang berkelayakan.

Orang yang ditugaskan untuk melaksanakan upah haji ini disyaratkan telah menunaikan haji ke atas dirinya sendiri dahulu. Hal ini adalah berdasarkan oleh sebuah riwayat Imam Abu Daud dan Ibnu Majah yang bermaksud:

“Nabi Muhamamd SAW telah mendengar seorang lelaki berkata: “Ya Rasulullah, bolehkah aku menunaikan ibadah haji bagi Syubrumah?” Rasulullah SAW bertanya: “Siapakah Syubrumah?” Lelaki itu menjawab: “Dia adalah saudaraku.” Rasulullah bertanya lagi: “Adakah kamu pernah menunaikan haji?” Lelaki itu menjawab tidak. Maka, Baginda menjawab: “Tunaikanlah haji bagi dirimu terlebih dahulu, kemudian barulah kamu tunaikan haji bagi Syubrumah.”

BACA:  Puasa-puasa di Bulan Sya'ban

Badal haji sebenarnya boleh memberikan peluang kepada anak-anak atau waris ahli keluarga untuk berbakti kepada mereka dengan pelbagai cara di samping dapat mengirimkan pahala haji kepada si mati.

Adakah Sama Dengan Ibadah Korban

Jika wujud badal haji, adakah wujud juga istilah untuk mereka yang membuat ibadah korban diniatkan ke atas si mati?

Tiada riwayat atau penceritaan Baginda SAW yang melaksanakan ibadah korban diniatkan untuk orang lain. Namun, para ulama’ telah menghuraikan secara jelas dan mereka berpendapat bahawa ibadah korban untuk orang lain berdasarkan beberapa hukum dan dalil:

#1 – Boleh

Menurut pendapat jumhur ulama’ dari golongan al-Hanafiyyah, al-Malikiyyah, al-Hanabilah dan sebahagian dari Syafi’ieyyah, mengatakan bahawa boleh untuk meniatkan korban ke atas orang lain.

Daripada Hanabilah menyebutkan bahawa – “Sembelihan korban buat si mati adalah afdal daripada yang hidup kerana yang mati itu memerlukan kepada ganjaran pahala dan lakukan (sembelihan) sepertimana untuk yang hidup dari segi makan, sedekad dan hadiah.” (Kitab Matalib Uli al-Nuha, 2/472)

#2 – Makruh

Menurut pendapat al-Malikiyyah, ia adalah makruh. Hal ini bersandarkan kepada pendapat al-Kharshi Rahimahullah yang menyebutkan bimbang akan jatuh riak dan bermegah-megah dalam perbuatan tersebut.

Sebahagian pendapat ulama’ lain pula mengatakan bahawa bimbang jika sehingga menyusahkan waris dengan nilai korban yang perlu dibayar.

#3 – Tidak Boleh Melainkan Ia Adalah Wasiat

Menurut pendapat Imam Nawawi Rahimahullah – “Dan tidaklah disemebelih bagi orang lain melainkan mendapat izin daripadanya dan tidak juga daripada yang mati melainkan ia telah diwasiatkan.” (Kitab Minhaj al-Tolibin wa ‘Umdah al-Muftin fi al-Fiqh. Dar al-Fikh, hal. 321)

Sebahagian daripada golongan Syafi’eyyah juga berpendapat bahawa tidak dibolehkan untuk niatkan korban ke atas orang lain.

BACA:  Solat Sunat Tasbih di Malam Hari Raya

Walau bagaimanapun, jika dilakukan sembelihan yang diniatkan ke atas orang lain, sah hukum sembelihan tersebut. Maka, ibadah itu boleh dilakukan dengan syarat tidak menyusahkan mana-mana pihak.

Wallahu a’lam.

Rujukan:
Korban Buat Si Mati
Hukum Upah Haji

 

Sumber: tzkrh.com 

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *