Tazkirah

Hukum Memuat Naik Gambar Perempuan Islam Yang Tidak Menutup Aurat

فَدَلَّاهُمَا بِغُرُورٍ ۚ فَلَمَّا ذَاقَا الشَّجَرَةَ بَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِن وَرَقِ الْجَنَّةِ

“Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari) syurga.”
(Surah Al-A’raf, 7:22)

Aurat menurut bahasa ialah keaiban, manakala menurut istilah ialah sesuatu anggota yang wajib ditutup daripada pandangan orang yang diharamkan melihatnya. Sama ada perempuan atau lelaki, atau antara sama jantina, masing-masing mempunyai aurat yang perlu dijaga.

Malah, dalil mengenai aurat banyak disebut di dalam al-Quran yang menjadikan hukumnya sebagai wajib. Antaranya ialah:

Mafhum: “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.” (Surah An-Nur, 24:31)

Dalam firman Allah yang lain juga ada disebut, iaitu:

Mafhum: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik). Maka dengan itu mereka tidak diganggu. (Surah Al-Ahzab, 33:59)

Bagaimana Aurat Dengan Bukan Islam

Umum mengetahui bahawa aurat lelaki dengan lelaki muslim ialah antara pusat hingga lutut, begitu juga aurat perempuan dan perempuan. Untuk aurat lelaki dalam kalangan perempuan ialah, antara pusat hingga lutut, manakala perempuan terhadap lelaki ialah seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan.

Bagaimana pula dengan aurat antara muslim dan bukan muslim? Adakah sama dengan sesama muslim? Kalau tidak sama sekali pun, setakat mana aurat kita dengan mereka? Kita boleh lihat penjelasan ini melalui beberapa pandangan yang diberikan oleh jumhur ulama’, iaitu;

BACA:  Inilah Hukum Mengucapkan Doa Kebaikan (RIP) Bagi Kematian Bukan Islam

#1 – Lelaki Islam Dengan Lelaki Bukan Islam

Antara lelaki dan lelaki bukan Islam, hukumnya sama dengan lelaki Islam, iaitu antara pusat hingga lutut.

أما علمت أنَّ الفخذ عورةٌ

Maksud: “Apakah kamu tidak mengetahui bahawa paha adalah aurat?” (Hadis Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi dan Malik)

#2 – Lelaki Islam Dengan Perempuan Bukan Islam

Situasi ini juga sama dengan situasi lelaki dengan perempuan Islam, iaitu antara pusat hingga lutut juga.

#3 – Perempuan Islam Dan Lelaki Bukan Islam

Auratnya adalah sama dengan aurat yang perlu ditutup sesama lelaki muslim, iaitu seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan.

#4 – Perempuan Islam Dengan Perempuan Bukan Islam

Menurut pandangan beberapa ulama’ seperti Syeikh Ibnu Hajar al-Haitami dan Imam al-Qalyubi, aurat mereka adalah sama seperti dengan aurat lelaki. Dalam erti kata lain, perempuan muslim tidak boleh mendedahkan aurat mereka sesuka hati seperti dengan perempuan muslim lain.

Walau bagaimanapun, menurut pendapat Imam Syafi’e dan beberapa jumhur ulama’ lain, mereka berpendapat bahawa aurat dengan kafir zimmi (orang yang bukan Islam tetapi duduk di dalam negara Islam) boleh didedahkan, iaitu rambut, muka dan tapak tangan.

Walau bagaimanapun, jika merasakan bahawa mereka tidak dapat menjaga aib kita dengan baik atau tidak diyakini akan kefahaman mereka terhadap aurat Islam, maka seeloknya dielakkan daripada terdedahnya aurat kepada mereka.

Ia berbeza dengan kafir harbi (kafir yang diperangi), iaitu kita wajib menutup aurat dengan sempurna. Hal ini bimbang jika mereka menyebarkan aib kita tanpa diketahui.

Bagaimana pula jika kita duduk serumah dengan bukan Islam dan mereka tidak memahami akan hukum-hakam Islam. Hal ini seeloknya memerlukan komunikasi yang baik antara kedua belah pihak agar tidak terjadi kesalahfahaman. Ia juga untuk mengelakkan daripada tersebarnya aib kita di mana-mana seperti di laman story Instagram atau WhatsApp dan sebagainya.

BACA:  Doa Agar Terhindar Dari Kesusahan Hutang dan Kemiskinan

Memuat Naik Gambar Tidak Menutup Aurat

Bagaimana pula jika kita memuat naik gambar yang tidak menutup aurat di media sosial? Adakah dikira berdosa sedangkan gambar tersebut bukanlah gambar diri sendiri, namun gambar orang lain dan bukan Islam?

Mafhum: “Katakankanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. (Surah An-Nur, 24:30-31)

Menurut pendapat Mazhab Syafi’e, haram hukumnya jika memuat naik gambar yang tidak menutup aurat sekali pun ia adalah bukan muslim. Hal ini adalah untuk mengelakkan daripada terjadinya fitnah dan menurut ayat al-Quran di atas, orang Islam perlu menundukkan pandangan sama ada lelaki atau perempuan.

Namun, menurut pendapat ulama’ lain pula, jika orang Islam yang tidak menutup aurat dengan sempurna, maka tidak boleh memuat naik gambarnya di mana-mana media melainkan jika sudah ditapis atau diedit. Manakala, bagi yang bukan Islam, tidak mengapa jika dimuat naik, namun perlu berhati-hati. Dalam erti kata lain, jika gambarnya terlalu terdedah sehingga dirasakan boleh menaikkan nafsu syahwat, maka perlu dielakkan. Wallahu a’lam.

Kesimpulan

Jika air soya bercampur dengan arak, maka hukumnya haram dan tidak boleh meminum air tersebut. Ia sama dengan gambar yang menutup aurat namun di dalamnya wujud juga gambar perempuan yang auratnya tidak sempurna ditutup, maka ia tidak boleh dimuat naik.

Sumber: Mufti Wilayah

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *