Ibadah

Hukum Memotong Kuku Dan Rambut Sebelum Ibadah Korban

Bulan Zuhijah sinonim dengan ibadah korban yang saban tahun dilakukan pada 10 dan 11 Zulhijah. Ibadah ini telah mula disyariatkan pada tahun kedua hijrah sehingga kini.

Umum mengetahui ibadah ini adalah bertepatan dengan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Ismail apabila turunnya perintah untuk menyembelih anaknya.

Kisah ini membuktikan bahawa tulusnya iman dan kecintaan mereka kepada Allah SWT sehingga sanggup untuk mengorbankan anaknya sendiri dengan jaminan supaya ujian itu menguatkan lagi keimanan mereka.

Disebabkan itu, Allah telah menjadikan pisau yang digunakan oleh Nabi Ibrahim itu tumpul walau telah diasah beberapa kali dan akhirnya korban tersebut ditukar kepada biri-biri sebagai haiwan korban.

Sehingga kini, umat Islam melihat hikmah korban tersebut dan ia disambut sebagai salah satu perayaan umat Islam selepas Hari Raya Aidilfitri.

Binatang korban yang boleh disembelih seperti lembu, unta, kambing dan juga biri-biri yang termasuk dalam jenisnya sama ada jantan atau betina, dalam erti kata lain ialah haiwan ternakan adalah sah untuk disembelih.

Haiwan tersebut juga perlulah sihat dan bebas daripada segala penyakit dan tidak mempunyai sebarang kecacatan sama ada tempang, buta, telinga koyak, patah sebelah tanduk, cedera pada tubuh badan, kurus sehingga tidak mempunyai lemak atau mempunyai kecacatan lain.

Umur minimun untuk haiwan tersebut disembelih adalah bergantung kepada jenis haiwan tersebut, iaitu:

#1 – Unta: Berumur lima tahun dan memasuki tahun keenam.
#2 – Lembu & Kerbau: Berumur dua tahun dan memasuki tahun ketiga.
#3 – Kambing: Berumur dua tahun dan memasuki tahun ketiga.
#4 – Biri-Biri: Berumur satu tahun dan memasuki tahun kedua atau telah bersalin gigi hadapan.

BACA:  Puasa tanpa solat

Selain daripada menjaga makan dan minum haiwan untuk disembelih serta menyembelih mereka dengan penuh ihsan seperti tidak menyembelih di hadapan haiwan lain dan menggunakan pisau atau alatan yang tajam, perkara-perkara di atas juga perlu dititikberatkan juga.

Bagi haiwan yang baru lahir atau masih lagi menyusu, maka adalah tidak digalakkan menyembelih sama ada anak atau ibunya sendiri.

Hal ini adalah untuk menekankan aspek ihsan terhadap haiwan tersebut di samping memastikan ia mendapat khasiat yang cukup.

Larangan Memotong Kuku Dan Rambut

Manakala, buat mereka yang berniat untuk berkorban, adalah penting untuk memastikan agar ibadah tersebut tidak dicemari dengan perkara-perkara maksiat seperti menggunakan duit yang halal dan bukan dari sumber yang syubhah atau memastikan agar tiada hutang yang tertunggak.

Mereka yang berniat untuk menunaikan ibadah korban juga diseru untuk tidak memotong kuku dan rambut yang ada pada badan sendiri.

Larangan ini ada disebut melalui beberapa hadis sahih yang telah diriwayatkan oleh Baginda SAW.

مَن كانَ لَهُ ذِبحٌ يَذبَـحُه فَإِذَا أَهَلَّ هِلاَلُ ذِى الْحِجَّةِ فَلاَ يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ وَلاَ مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّىَ

“Apabila engkau telah memasuki sepuluh hari pertama (bulan Zulhijah) sedangkan di antara kalian ingin berkorban, maka janganlah dia menyentuh (memotong) sedikit pun bahagian dari rambut dan kukunya.”
(Hadis Riwayat Muslim, no 1977)

Menurut pandangan Imam Ahmad dan Ishaq berdasarkan kitab Lajnah Daimah (no. 1407), larangan ini membawa maksud haram, iaitu diharamkan bagi memotong segala jenis rambut yang ada pada anggota badan dan juga kuku.

Menurut penjelasannya lagi dalam kita Bidayatul Faqih, karya Dr. Salim Al-Ajmi (hal.472) menyebut bahawa rambut yang dilarang dan diharamkan untuk dipotong ialah rambut yang mubah dan mustagab.

BACA:  Hukum memakai contact lens ketika solat dan puasa

Rambut mubah membawa erti seluruh rambut yang ada pada tubuh kita. Manakala, rambut mustagab ialah rambut yang dianjurkan untuk dicukur sahaja, iaitu kumis, bulu kemaluan dan bulu ketiak.

Oleh itu, mereka berpendapat bahawa rambut yang diharamkan untuk dipotong ialah yang mubah dan mustagab.

Manakala, menurut pendapat Mazhab Maliki dan beberapa ulama’ dari golongan Syafi’e pula, hukum bagi memotong kuku dan rambut adalah sunnah bagi mereka yang berniat untuk berkorban.

Ini adalah berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan oleh

كُنْتُ أَفْتِلُ قَلاَئِدَ هَدْيِ رَسُولِ اللهِ ثُمَّ يُقَلِّدُهاَ بِيَدِهِ ثُمَّ يَبْعَثُ بِهَا وَلاَ يُحْرِمُ عَلَيْهِ شَيْءٌ أَحَلَّهُ اللهُ لَهُ حَتىَّ يَنْحَرَ الهَدْيَ

Maksud: “Aku pernah menjahit tali ikat haiwan untuk Rasulullah SAW, kemudian Baginda mengikatnya dengan tangannya dan mengirimkannya dan Baginda tidak berihram (mengharamkan sesuatu) atas apa-apa yang dihalalkan Allah sehingga Baginda menyembelihnya.” (Hadis Riwayat MUslim, no 2792)

Akhir sekali, bagi pendapat Mazhab Syafi’e, larangan ini adalah makruh. Makruh di sini digolongkan kepada makruh tanzih, iaitu perkara yang dituntut untuk ditinggalkan namun dengan arahan yang tidak tegas, iaitu tidak sampai kepada hukum haram. Larangan tersebut bermula dari 1 Zulhijah sehingga dia selesai melaksanakan ibadah korban tersebut.

ولا يجب عليه ذلك لأنه ليس بمحرم فلا يحرم عليه حلق الشعر ولا تقليم الظفر

Maksud: “Dan hal itu bukan kewajipan, kerana dia tidak dalam keadaan ihram. Maka, tidak menjadi haram untuk memotong rambut dan kuku.” (Surah Asy-Syairazi, Al-Muhazzab, hal. 433)

Menurut beberapa pendapat dan perbahasan daripada golongan agamawan, hikmah kepada larangan ini ialah, supaya setiap yang ada pada orang yang meniatkan korban juga adalah dikira sebagai korban, bukan haiwan ternakan yang disembelih sahaja.

BACA:  Jenis-jenis Haji dan Umrah

Hal ini adalah berdasarkan dalil:

اللّهُمّ هَذَا عَنِّي، وَعَمَّنْ لَـمْ يُضَحِّ مِنْ أُمَّتِي

Maksud: “Ya Allah, ini adalah korban dariku dan dari umatku yang tidak berkorban.” – (Hadis Riwayat Abu Daud, no 2810 dan Al-Hakim, 4:229)

Oleh itu, larangan ini hanyalah untuk mereka yang berniat korban sahaja dan tidak termasuk kepada ahli keluarganya.

Konklusi

Menurut pandangan ulama’ sendiri, bidang ilmu itu ada banyak dan disebabkan itulah munculnya pendapat yang berbeza-beza.

Kesimpulan dan hasil daripada perbincangan yang telah dilakukan adalah berdasarkan pengetahuan dan cabang ilmu yang ada, oleh itu tidak menjadi masalah untuk kita mengikut mana-mana hukum yang dikeluarkan, namun perlu didasari ilmu yang betul.

Wallahu a’lam.

Rujukan:
JAKIM
Muslim.Or.Id
konsultasi Syariah

 

Sumber: tzkrh.com 

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *