General

Hukum Makanan Dan Minuman Yang Dimasuki Lalat

Islam sering menitikberatkan pemilihan makanan yang halal dan terbaik. Namun, ada masanya kita terdedah dengan suasana yang tidak menyenangkan lebih-lebih lagi jika makan di kedai makan, contohnya apabila terjumpa lalat atau serangga di dalam hidangan.

Mungkin kita tertanya-tanya, apakah hukum makanan yang telah dimasuki serangga atau lalat. Adakah ia masih boleh dimakan atau terus dibuang?

Mari kita teliti hadis sahih berkenaan hal ini daripada Nabi SAW.

“Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: Jika lalat masuk ke dalam minuman salah seorang daripada kalian maka tenggelamkan lalat itu kemudian buanglah, kerana sesungguhnya pada salah satu kepaknya mengandungi racun sedangkan yang satu lagi ada penawar.
Hadis riwayat Imam al-Bukhari (3320) dalam al-Sahih

Hadis di atas dijadikan dalil bahawa air tidak menjadi najis jika mati di dalamnya haiwan yang tidak mempunyai darah yang mengalir termasuk lalat.

Imam al-Syaukani juga ada menyebut:

“Hadis ini dijadikan dalil bahawa air yang sedikit tidak menjadi najis kerana matinya di dalamnya akan haiwan yang tidak mempunyai darah yang mengalir, disebabkan tidak dapat dibezakan keadaan haiwan itu antara mati dan hidup.

Itu telah dijelaskan dalam hadis tentang lalat dan kumbang yang dijumpai keduanya oleh Nabi SAW dalam keadaan mati di dalam makanan kemudian Nabi SAW memerintahkan untuk membuangnya, membaca bismillah lalu makan (makanan) itu.

Faedah daripada perintah mencelup seluruh badan lalat di dalam makanan atau minuman itu adalah agar bertemu antara penawar dan penyakitnya, sehingga seimbang bahaya dengan manfaat maka tertolaklah bahayanya.” Rujuk Nail al-Autar (1/77)

Manakala sunat hukumnya lalat yang mati dalam minuman, ditenggelamkan terlebih dahulu lalu dibuang lalat tersebut. Namun jika takut berlakunya mudarat seperti jangkitan bakteria atau penyakit berbahaya, maka makanan atau minuman tersebut bolehlah dibuang.

BACA:  Jadilah Seorang Doktor Daie, Yang Diredai Allah

Hadis tentang penawar yang ada pada lalat ini bukan sekadar hadis semata-mata. Beberapa saintis telah melakukan kajian bagi membuktikan kesahihan riwayat yang dipercayai oleh orang Islam ini.

Seorang saintis dari Australia bernama Joan Clark telah melakukan kajian terperinci terhadap beberapa jenis ekor lalat. Beliau mendapati bahawa sayap lalat memang mempunyai antibiotik yang mampu merawat beberapa jenis penyakit. Sebab itulah, walaupun lalat gemar dengan tempat-tempat yang kotor, ia tidak dijangkiti penyakit kerana pada badannya sendiri terdapat penawar yang dapat mengelakkan bakteria daripada menjangkiti badannya.

Pada setiap perkara yang dilarang mahupun ditegah dalam Islam pasti ada hikmah yang tersembunyi. Tanpa bukti daripada saintis sekalipun kita harus percaya. Namun apabila ada penemuan-penemuan baru dalam kajian, ia sebenarnya akan lebih menguatkan keyakinan.

Umat Islam seharusnya menjadi pemula dan pengkaji kepada ilmu-ilmu asas yang telah sedia ada wujud dalam agama. Dengan cara begini juga kita dapat menarik minat orang kepada Islam. Islam memang bukan agama yang berpaksi kepada sains namun ilmu sains juga ada dalam Islam.

Rujukan:
Al-Kafi #482: Hukum Makanan Dan Minuman Yang Dimasuki Lalat

 

Sumber: Tazkirah.net 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!