Soal Jawab Agama

Hukum Dipaksa Kahwin Oleh Keluarga

Hukum Dipaksa Kahwin Oleh Keluarga

Nota Editor: Artikel ini asalnya telah dikongsikan oleh Ustaz Abu Basyer di Blog Tanyalah Ustaz.

Soalan: Saya telah berkahwin secara paksa oleh bapa saya dan kami telah berkahwin selama 10 bulan tetapi tak hidup bersama suami. Saya tidak mencintainya dan saya bercadang mohon di ceraikan adakah saya berdosa kerana mohon cerai.? Minta ustaz berikan pencerahannya. Suami pun tak pernah memberikan nafkah zahir dan batin.

Jawapan:

Sebenarnya ibu bapa tak boleh memaksa perkahwinan anak gadisnya jika tidak dapat persetujuan dari anaknya. Walaupun wali ada hak tetapi hak tersebut perlulah di gunakan sebaik-baiknya demi kebahagiaan anak perempuannya sendiri. Jika puan sudah tidak suka kepada suami puan maka boleh mohon di mahkamah syariah untuk khuluk (tebus talak) dan pualngkan semula mas kawin yang telah di berika oleh suami.

Dalam hadis, apabila Fatimah binti Qais bertanya pendapat Nabi SAW mengenai Mu’awiyah bin Abi Sufyan dan Abu Jahm yang datang meminangnya, Nabi SAW menjawab:

“Adapun Abu Jahm dia tidak menurunkan tongkatnya dari bahunya. Sementara Mu’awiyah seorang yang miskin tiada berharta. Kahwinilah Usamah bin Zaid” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis ini Nabi SAW memberitahu perihal Abu Jahm dan Mu’awiyah yang menjadikan tidak sesuai untuk diterima pinangan mereka. Tidak menurunkan tongkat dalam hadis tersebut boleh jadi bermaksud sering bermusafir atau suka memukul wanita. Kemiskinan Mu’awiyah juga dimaklumkan oleh Nabi SAW untuk mengelakkan masalah. Bahkan Nabi SAW mencadangkan calon lain yang lebih baik.

Rumahtangga atau perkahwinan bukanlah penjara seksaan untuk seorang lelaki atau wanita. Ia sepatutnya dibina atas cinta dan kebahagiaan, bukan kebencian dan permusuhan. Jika kebencian dan permusuhan mengambil tempat, maka tiada ertinya lagi untuk sesuatu perkahwinan itu diteruskan. Ia akan lebih mengundang dosa daripada pahala. Ia akan merosakkan jiwa dan ketenteraman perasaan.

BACA:  Jika Memberi Salam Kepada Penghuni Kubur, Bolehkah Mereka Menjawab Salam Tersebut?

Hidup ini bukan sekadar untuk bertarung dengan masalah sebuah rumahtangga semata sehingga melupai tujuan kehidupan yang sebenar. Untuk itu, Islam mensyariatkan talak dan beberapa pintu lain seperti khuluk dan fasakh untuk memboleh seseorang keluar dari neraka kehidupan dan mencari ketenteraman yang baru. Islam tidak seperti sesetengah agama yang menganggap perkahwinan itu semestinya abadi dan tiada jalan keluar lagi sekalipun terpaksa hidup memamah derita.

Pemikiran sesetengah masyarakat Islam bahawa penceraian atau talak itu semua buruk adalah tidak benar. Talak atau cerai adakalanya disuruh oleh al-Quran, jika perkahwinan sudah tidak lagi membawa kebaikan.

Firman Allah SWT maksudnya. : “Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik, dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan tujuan memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menzalimi dirinya sendiri. dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat (hukum) Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan), dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al-Quran) dan hikmat (sunnah), untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha mengetahui segala-galanya” (Surah al-Baqarah, ayat 231). (Surah al-Baqarah, ayat 231).

Wanita juga boleh memohon fasakh (bubar perkahwinan) atau khuluk (tebus talak) jika dia merasakan suaminya sudah tidak sesuai dengannya dan dia tidak mampu lagi menunaikan tanggungjawab sebagai isteri. Isteri Thabit bin Qais pernah datang kepada Rasulullah SAW dan mengadu:

BACA:  Sedekah Dapat Menyembuhkan Penyakit Kronik

“Wahai Rasulullah! Aku tidak mempertikaikan Thabit bin Qais di sudut akhlak dan agamanya. Namun aku membenci kekufuran dalam Islam. Maka Rasulullah SAW pun bersabda: Mahukah engkau mengembalikan kebunnya? Jawabnya: “Ya”. Lalu Rasulullah bersabda kepada Thabit: Ambillah kebunmu dan talakkanlah dia” (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Membenci kekufuran dalam Islam bermaksud penderhakaan terhadap suami yang akhirnya menyerupai kaum yang tidak beriman. Ada juga para ulama yang menafsirkan maksudnya dia terdesak menjadi kufur kerana ingin membebaskan diri dari suami. Kata al-Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H):

“Sesungguhnya wanita apabila membenci suaminya disebabkan akhlak atau rupa paras atau agama atau usianya yang tua atau lemah atau seumpamanya dan dia takut tidak dapat menunaikan perintah Allah dalam mentaati suami, maka harus baginya untuk khuluk (tebus talak) dengan bayaran gantian untuk dirinya. Ini berdasarkan firman Allah: (maksudnya): “jika kamu takut keduanya (suami isteri) tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya”(Surah al-Baqarah:229) (Ibn Qudamah, al-Mughni, 10/267, Kaherah: Hijr).

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *