Tazkirah

Hukum Berbohong Dalam Islam

DALAM Islam hukum berbohong adalah haram sebagaimana Nabi SAW bersabda yang bermaksud,”

Dari ‘Abdullâh bin Mas’ûd radhiyallahu anhu, ia berkata:
“Rasûlullâh Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda,

“Dan jauhilah oleh kalian berbuat dusta ( bohong) kerana dusta membawa seseorang kepada kejahatan, dan kejahatan mengantarkan seseorang ke Neraka. Dan jika seseorang senantiasa berdusta dan memilih kedustaan maka akan dicatat di sisi Allâh sebagai pendusta (pembohong).”

(Hadis Riwayat Ahmad).

Allah SWT menegaskan di dalam Al-Qur’an, siapa suka menyebarkan berita bohong, maka baginya siksa yang besar.

بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ لِكُلِّ امْرِئٍ مِّنْهُم مَّا اكْتَسَبَ مِنَ الْإِثْمِ وَالَّذِي تَوَلَّى كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ

“Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu, maka baginya azab yang besar.”

(Surah An-Nur (24) ayat 11).

Di dalam kehidupan masyarakat kita hari ini sifat jujur, amanah, ketelusan dan ikhlas telah berkurangan. Sebaliknya sifat suka berbohong, berdusta, mungkir janji, sebarkan fitnah dan mengaibkan orang lain telah menjadi amalan biasa tanpa rasa berdosa dan bersalah.

Kaedah matlamat menghalalkan cara telah menjadi budaya dan amalan , biar pun melakukan perkara haram seperti berdusta dan menipu asalkan matlamat mereka tercapai . Islam menolak cara ini kerana di dalam Islam ” matlamat tidak menghalalkan cara”, bila matlamat kerana Allah maka cara pula perlu mengikut syariat Allah.

Adakah Islam masih mengharuskan berbohong di dalam kes- kes tertentu?

Benar ada tiga kes sahaja Nabi SAW membenarkan umatnya berbohong itu pun dalam keadaan terpaksa sahaja bukan sewenang- wenangnya boleh berbohong.

BACA:  Waktu solat menurut Al-Quran dan Sains

Ibnu Syihab berkata, “Aku tidaklah mendengar sesuatu yang diberi keringanan untuk berdusta di dalamnya kecuali pada tiga perkara, “Peperangan, mendamaikan yang berselisih, dan perkataan suami pada isteri atau isteri pada suami (dengan tujuan untuk membawa kebaikan rumah tangga).”

(HR. Bukhari no. 2692 dan Muslim no. 2605, lafazh Muslim).

Kebenaran berbohong ketika peperangan adalah strategi untuk mengelirukan musuh. Musuh tersebut adalah orang- orang kafir yang memusuhi Islam.

Adakah dalam pilihanraya kita boleh menipu dan berbohong pada rakyat untuk menutup kerahsiaan parti untuk mendapat sokongan? Pada masa yang sama telah berbohong pada ahli- ahli yang taat setia

Tidak boleh kita berbohong dan menipu rakyat. Kerana rakyat perlu tahu kejujuran calun pemimpin sebelum mereka dipilih. Rakyat perlu tahu adakah pemimpin parti yang hendak dipilih ada ambil rasuah atau pun tidak

Rakyat perlu tahu sumber kewangan yang di perolehi oleh calun- calun yang bertanding dan apa perancangan untuk membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup.

Oleh itu setiap pemimpin parti politik dan pemimpin masyarakat perlulah berakhlak mulia dengan berkata benar walaupun pahit.

Jika kalian berbohong menipu rakyat ini bermakna kalian telah menipu diri sendiri. Pemimpin yang jujur dan amanah akan disayangi rakyat dan akan mendapat keredhaan Allah dan berjaya di dalam kepimpinannya.

🥦 Wassalam 🥦

Makmum Sundari

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *