Tazkirah

Himpitan Kubur Saat Diturunkan ke Liang Lahad

HADITH daripada Huzaifah menuturkan Rasulullah SAW pernah mendatangi satu jenazah, ketika sampai di kubur, Baginda duduk di tepi liang kubur itu dan Rasulullah berkali-kali memandang ke dalam kubur itu, lalu Baginda SAW bersabda mafhumnya: “Di dalam kubur ini seorang mukmin dihimpit dengan himpitan kubur yang menghancurkan anggota tubuhnya. Sementara pada kubur orang kafir penuh dengan api neraka. Satu perkara yang perlu anda ingat di dalam hidup kita, apabila tiba saat liang lahad terbuka dan jasad kita diturunkan ke dalamnya, satu perkara yang perlu kamu ingat ialah dimana akan berlakunya himpitan kubur.”

Ada perbezaan di antara himpitan kubur dan azab kubur. Himpitan kubur berlaku pada saat awal sebelum liang lahad ditutup dan hampir semua manusia akan melaluinya kecuali para nabi dan para rasul. Riwayat Aisyah R.A menyebut Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Sesungguhnya kubur itu memiliki himpitan. Kubur ini, jika sekiranya mayat itu turun berlaku himpitan. Lalu jika ada orang yang terselamat daripada himpitan kubur ini, nescaya Saad bin Muadz lah orang pertama yang terlepas daripada himpitan kubur.” Saad bin Muadz adalah di antara sahabat Rasulullah SAW, sewaktu beliau gugur syahid, bergegar Arasy Allah SWT, malah para malaikat juga turut menangis.

Berdasarkan perkongsian oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abd. Rani, ada beberapa faktor yang menyebabkan manusia mengalami himpitan kubur. Menurut Rasulullah SAW, perkara pertama yang menyebabkan berlakunya himpitan kubur kerana cuai terhadap air kencing yang tidak dicuci dengan bersih dan ada kalanya terkena kepada pakaian yang kemudiannya dipakai untuk mengerjakan solat.

Menerusi hadis Rasulullah yang dirujuk di dalam kitab karangan Imam Jalaludin al-Suyuti, ketika Saad bin Muadz dikebumikan, Rasulullah SAW bertasbih diikuti oleh para sahabat Baginda. Apabila para sahabat diam, Rasulullah bertakbir, dituruti oleh para sahabat. Kemudian para sahabat bertanya kepada Rasulullah kenapa Baginda bertasbih dan bertakbir. Baginda menjawab bahawa kubur orang yang salih ini telah dihimpit lalu Allah melapangkannya kembali.

BACA:  Kehancuran Israel pertanda kiamat

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, setelah Rasulullah mengkebumikan Saad bin Muadz R.A, Baginda S.A.W berucap di tepi kuburnya, mafhumnya: “Jika ada di antara kamu yang boleh selamat daripada himpitan kubur, nescaya Saad bin Muadz lah yang pertama terlepas daripada himpitan kubur.” Himpitan kubur sebagaimana yang disebut oleh Muhammad al-Taimi yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi al-Dunya, adalah seumpama himpitan seorang ibu kerana dari sanalah seseorang itu diciptakan atau seperti seorang ibu yang memeluk anaknya. Lalu anak itu merungkaikan pelukan itu dan menghilang. Setelah itu kembali semula kepada ibunya, dan dipeluk semula seperti pelukan orang tua kepada anaknya. Himpitan yang dialami berbeza di antara satu sama lain berdasarkan amalan-amalan yang telah lama hilang. Oleh itu sesiapa yang taat kepada Allah akan mengalami himpitan yang penuh kelembutan dan kasih sayang Allah. Tetapi mereka hidup di dalam kemaksiatan, akan dihimpit dengan himpitan yang keras kerana bencinya Allah kepadanya.

Terdapat perbezaan himpitan kubur yang dialami di antara orang mukmin dan orang kafir. Abu al-Qassim al-Said mengatakan tidak ada seorang pun sama ada baik atau jahat yang akan terselamat daripada himpitan kubur. Bagi orang kafir, himpitan kubur berlaku keatasnya buat selama-lamanya, bermula setelah dimasukkan ke dalam kubur sehinggalah tibanya hari akhirat. Manakala bagi orang mukmin, himpitan kubur hanya dialami pada waktu mula-mula dimasukkan ke dalam kubur, kemudian akan menjadi lapang kembali setelah selesai urusan pengkebumiannya.

Faktor kedua yang menyebabkan berlakunya himpitan kubur ialah akibat daripada melakukan kesalahan, lalu membiarkan kesalahan itu berpanjangan dan menangguhkan waktu untuk bertaubat. Seterusnya, kurangnya rasa bersyukur kepada Allah merupakan faktor ketiga berlaku himpitan kubur. Jarang sekali kita menyebut Alhamdulillah, contohnya dalam keadaan sejurus selepas bangun daripada tidur jarang sekali kita bersyukur kerana masih hidup pada hari itu, atau jarang sekali memanjatkan rasa syukur kerana dikurniakan pasangan hidup yang baik.

BACA:  Menghayati keagungan peristiwa Israk Mikraj didik jiwa Muslim ke arah kesempurnaan

Keadaan yang seterusnya setelah berlakunya himpitan kubur setelah jasad diturunkan ke liang lahad ialah merasakan gerakan di kedua-dua kaki. Ibnu Abi al-Dunya meriwayatkan daripada Al-Walid bin Amru bin Muadz, katanya: “Pernah sampai kepadanya satu berita yang menyebut bahawa hal pertama yang akan dirasakan oleh mayat ketika turun ke liang kubur itu, dirasakan gerakan kedua-dua kakinya. Lalu dia bertanya, siapa kamu? Kemudian dia menjawab, aku amalan mu. Lalu amal itu akan memukul peha kirinya, sambil berkata, “Aku adalah amal perbuatan kamu ketika hidup di dunia dahulu.” Kemudian apabila jasad itu bertanya dimana keluarga serta apa yang diberikan Allah kepadanya sebelum ini, lalu amal itu berkata, “ Kamu telah meninggalkan keluarga dan segala kurniaan Allah, tiada apa yang mengikut kamu kecuali aku.” Mayat itu seterusnya menyebut, ”Seandainya aku mengetahui hanya amal yang akan mengikut ku, maka aku akan mengutamakan kamu (amal) di atas dunia berbanding keluarga ku dan segala yang diberikan kepada ku, tetapi sebaliknya aku sibuk dengan semua itu sehingga aku tertinggal amalan yang sepatutnya aku kerjakan. ”

Kemudian kita akan diperlihatkan berdirinya dua malaikat iaitu Mungkar dan Nakir yang berwarna hitam kebiru-biruan yang berada hujung kaki kita, untuk memulakan pertanyaan soalan azab kubur. Saat diperhatikan malaikat itu, datangnya perasaan amat takut kepada Allah kerana ketika di dunia kita hanya takut kepada perkara selain daripada Allah S.W.T.

Wallahua’lam..
Semoga bermanfaat..

 

Sumber: Facebook Pesan Bonda 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *