Tazkirah

Hati-Hati Dengan Penyakit Hati – Tanda Syirik Kecil Dalam Diri Anda

“Eh, aku nak uploadlah gambar ini. Nampak cantikkan aku? Mesti dapat banyak like nanti.”

“Aku dapat 4 flat ni sebab aku sanggup bersekengkang mata, tak tidur malam. Bukan macam kau, asyik main game sahaja.”

“Aku lagi cerdik daripada Nurul. Dia siapa nak dibandingkan dengan aku?”

Mungkin dialog-dialog di atas pernah bermain di cuping-cuping telinga anda, bahkan banyak lagi yang sering kita dengar dan lihat, kebanyakannya adalah di media sosial. Atau mungkin diri sendiri pernah mengungkapkan kata-kata ini? Nauzubillahi minzalik. Semoga Allah jauhkan kita daripada penyakit hati ini.

Hati-hati dengan dialog-dialog sebegini, kerana ia mungkin membuktikan bahawa angkuh dan sombongnya kita terhadap Allah dengan sekelumit kelebihan yang dianugerahkan daripadaNya.

Riak, ujub dan takbur merupakan antara penyakit hati dan ia merupakan syirik kecil. Apa itu maksud ketiga-tiga penyakit hati ini dan bagaimana pula dengan syirik kecil? Ayuh kita dalami satu-persatu.

#1 – Riak

Menurut Imam Al-Ghazali, riak berada jauh di sudut hati manusia sendiri yang cuba untuk menunjuk-menunjuk hal kebaikan yang dilakukan. Jumhur ulama’ berpendapat bahawa, kebaikan yang dipamerkan adalah untuk tujuan mendapat pujian dan dilihat baik oleh orang sekeliling.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُبْطِلُوا صَدَقَاتِكُم بِالْمَنِّ وَالْأَذَىٰ كَالَّذِي يُنفِقُ مَالَهُ رِئَاءَ النَّاسِ وَلَا يُؤْمِنُ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۖ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ صَفْوَانٍ عَلَيْهِ تُرَابٌ فَأَصَابَهُ وَابِلٌ فَتَرَكَهُ صَلْدًا ۖ لَّا يَقْدِرُونَ عَلَىٰ شَيْءٍ مِّمَّا كَسَبُوا ۗ وَاللَّـهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْكَافِرِينَ

Mafhum: “Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka, bandingan orang itu adalah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.” (Surah Al-Baqara, 2:264)

BACA:  Di Akhirat Anak Tidak Boleh Menolong Bapanya Yang Kufur Kepada Allah SWT

Para ulama’ juga ada yang membahaskan bahawa jika timbul walau sikit perasaan bangga diri dalam hati dan ia ditunjukkan dengan tujuan untuk mendapat pujian, maka ia adalah tergolong dalam kalangan riak.

#2 – Ujub

Ujub membawa maksud perasaan membangga diri dengan sesuatu kelebihan yang ada dan dirasakan tiada pada orang lain. Sebagai contoh, seseorang itu merasakan kecantikan dan kecerdikannya tidak dapat dilawan oleh sesiapa pun kerana hanya dia seorang sahaja yang mempunyai personaliti tersebut.

Menurut pandangan Imam Al-Ghazali, ia membawa maksud mengagungkan diri sendiri dengan perbuatan atau amal yang dilakukannya. Sebagai contoh, “aku ialah orang yang akan khatam Quran sebulan sekali, tiada siapa yang boleh melawan kehebatan aku mengaji”

Manakala, menurut Abdullah Ibn Mubarak dan Bisy bin Al-Hafi, ujub ialah merasa kelebihan yang ada pada dirinya tiada pada orang lain.

Melalui Kitab Tahzib Al-Akhlaq, segala jenis perkara yang boleh menjadikan diri sendiri bangga dan takbur, maka itulah yang dimaksudkan dengan ujub.

فَلَا تُزَكُّوا أَنفُسَكُمْ ۖ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اتَّقَ

Mafhum: “Maka, janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dialah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.” (Surah An-Najm, 53:32)

#3 – Takbur

Takbur atau sombong ialah sikap meninggi diri dengan sesuatu yang ada. Menurut Imam Al-Gahazali pula, gaya mereka yang takbur ini ialah dengan merasa dirinya sentiasa betul, susah untuk menerima teguran dan pandangan oran lain, namun apabila gilirannya untuk menegur, dia akan menegur dengan cara yang kurang baik.

Penyakit takbur ini kita boleh lihat sejak dari zaman Nabi Adam, iaitu Iblis dan kaumnya yang enggan sujud dan ingkar dengan arahan Allah dengan alasan mereka yang diciptakan daripada api adalah lebih berkuasa dan tinggi daripada manusia yang hanya diciptakan daripada tanah. Oleh disebabkan itulah, mereka telah dikeluarkan daripada syurga.

BACA:  Ketahanan Badan Meningkat Dengan Mengamalkan Puasa Hari Putih

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Mafhum: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu akan masuk nerakan jahannam dalam keadaan hina.” (Surah Ghafir, 40:60)

Apa Itu Syirik Kecil

Lalu, apa kaitannya penyakit hati ini dengan perbuatan syirik? Umum mengetahui bahawa syirik ialah menduakan Allah dengan melakukan pemujaan dan penyembahan berhala atau percaya kepada kuasa lain selain Allah. Jadi, apa yang dimaksudkan dengan syirik kecil?

Syirik kecil atau syirik ashghar ialah suatu perbuatan yang berkait dengan hati kita sehingga dosa ini tidak dapat dilihat secara langsung.

Jika beribadah, kita mengharapkan pandangan dunia, bukan Allah. Jika berjaya, dirasakan kejayaannya datang seratus-peratus daripada usahanya, bukan dari Allah atau restu kedua ibu bapa. Jika mempunyai kecantikan, dirasakan hanya dia sahaja yang paling cantik dan tiada orang yang boleh melebihinya.

Para ulama’ juga membahaskan bahawa, ia boleh berlaku dengan hanya lintasan hati sahaja. Jika ada lintasan-lintasan seperti ini, maka perlulah bersegera kembali kepada Allah dengan istighfar dan memohon keampunanNya.

Walau bagaimanapun, jika kita beribadah kepada Allah tetapi dalam masa yang sama, kita juga meletakkan pengharapan untuk mendapatkan sesuatu, maka ia adalah tidak mengapa. Sebagai contoh, kita bangun solat hajat pada waktu malam untuk memohon agar dipermudahkan menjawab ujian, maka itu adalah tidak mengapa kerana ia adalah sama dengan konsep berdoa dan pergantungan kepada Allah.

Ia digelar sebagai syirik kerana secara tidak langsung ia boleh memesongkan akidah sendiri dan hati kita telah percaya selain daripada kuasa Allah.

Walau bagaimananapun, dari segi taubat dan keampunannya, para ulama’ berbeza pendapat mengenai hukum ini.

Ada sebahagian ulama’ yang berpendapat bahawa dosa syirik besar dan syirik kecil adalah dosa yang sama, dan cara untuk bertaubat adalah dengan melaksanakan taubat nasuha, iaitu taubat yang bersungguh-sungguh. Manakala, sebahagian jumhur ulama’ berpendapat bahawa dosa keduanya adalah tidak sama. Jika berlaku syirik kecil, cukuplah dengan bertaubat dan tidak mengulangi perbuatan tersebut.

BACA:  Kenapa Aku Perlu Berpuasa Di Bulan Ramadan?

Menurut pendapat yang pertama, ia diambil daripada Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah iaitu:

وقد يقال الشرك لا يغفر منه شيء لا أكبر ولا أصغر على مقتضى عموم القرآن وإن كان صاحب الشرك الأصغر يموت مسلما لكن شركه لا يغفر له بل يعاقب عليه وإن دخل بعد ذلك الجنة

Maksud: “Ada yang mengatakan dosa syirik tidak ada yang diampuni, baik syirik besar mahupun syirik kecil berdasarkan keumuman dalil dari al-Quran. Meskipun pelaku syirik kecil mati dalam kondisi muslim, namun perbuatan syiriknya tidak akan diampuni. Akan tetapi dia akan dihukum meskipun setelah itu dia masuk syurga. (Ar-Rad ala al-Bakri, 1/301)

Manakala, untuk pendapat yang kedua, ia dilihat berdasarkan pendapat yang dikemukakan oleh Ibnul Qayyim, iaitu:

فأما نجاسة الشرك فهي نوعان : نجاسة مغلظة ونجاسة مخففة فالمغلظة: الشرك الأكبر الذي لا يغفره الله عز وجل فإن الله لا يغفر أن يشرك به. والمخففة: الشرك الأصغر كيسير الرياء والتصنع للمخلوق والحلف به وخوفه ورجائه

Maksud: “Najis syirik ada dua: najis berat dan najis ringan. Najis berat ialah syirik besar yang tidak akan diampuni oleh Allah kerana Allah tidak akan mengampuni jika ia disekutukan. Sedangkan najis kecil ialah syirik kecil, seperti riya’, berpura-pura baik di hadapan makhluk atau bersumpah dengan nama makhluk atau takut serta berharap pada makhluk.” (Ightsatul Lahafan, 59)

Oleh itu, jumhur ulama’ berpendapat bahawa, istighfar dan solat taubat dengan bersungguh-sungguh agar dosa syirik itu diampunkan itu, adalah lebih afdal. Wallahu a’lam.

Kesimpulan

Jika dirasakan terdapat lintasan tersebut di hati kita, maka kita perlu bersegera kembali kepada Allah dan berusaha untuk mengelakkannya dengan istighfar. Hal ini kerana, istighfar merupakan sebaik-baik cara untuk menghapuskan titik hitam di hati dengan paling mudah.

Sumber: Mufti Wilayah

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *