Isu Semasa

Gempa Di Sulawesi, Zionis Di PBB, dan Kedatangan Imam Mahdi

Nabi Muhammad bersabda: “Aku khabarkan berita gembira berkenaan kedatangan Imam Mahdi yang diutus Allah ke tengah umatku. Secara tepatnya, ketika terjadi banyak perselisihan antara manusia dan peristiwa gempa bumi, dia akan memenuhi bumi dengan menegakkan keadilan dan kejujuran sebagaimana sebelumnya ia dipenuhi dengan penyalahgunaan kuasa dan kezaliman” (Hadis Musnad Ahmad, no.10898).

1. September 2018 ini kita menyaksikan dua peristiwa besar yang terjadi: Pertama ialah Gempa bumi berukuran 7.5 skala Richter beserta tsunami setinggi dua meter yang baru melanda Sulawesi Indonesia (Semoga Allah lindungi dan pelihara saudara kita di sana). Satu lagi ialah keangkuhan kem Zionis (Israel dan Amerika Syarikat) di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

2. Kedua-dua peristiwa ini – sekiranya difahami sebaiknya – adalah amat relevan dengan ingatan Nabi Muhammad s.a.w. tentang hampirnya kedatangan Imam Mahdi dalam petikan Hadis di atas.

3. Siapakah Imam Mahdi? Apa kaitannya dengan gempa bumi? Apakah kaitannya dengan konflik global dan Palestin-Israel? Dan yang lebih penting lagi, apakah kaitannya Imam Mahdi dengan kita?

4. Imam Mahdi ialah seorang pemimpin umat Islam yang akan tiba di akhir zaman menjelang Hari Kiamat. Beliau akan bersama-sama dengan Nabi Isa a.s. berhadapan dengan Zionis Yahudi Israel yang kelak diketuai Dajal – satu watak yang diberi ingatan keras oleh Nabi Muhammad seperti mana yang dicatat dalam pelbagai Hadis Baginda. Antaranya ialah hadis berikut:

“Mereka (di Baitul Maqdis, Palestin) menjumpai imam mereka, seorang lelaki soleh, iaitu Imam Mahdi, ketika imam mereka sudah berdiri di hadapan bagi mengimami solat subuh, tiba-tiba datang Nabi Isa. Imam mereka itu mundur dan memberi peluang kepada Nabi Isa bagi mengimami solat subuh itu. Namun, Isa a.s. sambil memegang bahu Imam Mahdi dan berkata, “Teruskan, sesungguhnya iqamat dibacakan untuk kamu.” Maka, mereka semua solat di belakang Imam Mahdi.

Selesai solat, Isa a.s. berkata kepada semua Jemaah, “Bukakan pintu itu.” Mereka membuka pintu masjid itu. Tiba-tiba Dajal sudah berdiri di situ dan di belakangnya ada 70,000 Yahudi yang lengkap membawa senjata. Melihat Nabi Isa ada di dalam masjid itu, Dajal tiba-tiba lemah tiada berdaya seperti cairnya garam disirami air. Dajal lari kerana ketakutan. Nabi Isa bersama kaum Muslimin terus mengejarnya, kemudian menjumpainya di Bab Al-Lud, Nabi Isa membunuh Dajal di situ”. (Hadis Sunan Ibnu Majah, no.4067).

5. Antara hadis yang menyebut mengenai kedatangan Imam Mahdi ialah “Jikalau umur dunia ini tinggal sehari, maka sudah tentu Allah akan memanjangkan hari itu sehingga Dia mengutus seorang lelaki daripada (keturunan)ku, namanya sama dengan namaku dan nama ayahnya sama dengan nama ayahku” (Sunan Abu Daud, no.3733).

BACA:  Arak Musuh Global

6. Nabi Muhammad turut bersabda “Kiamat tidak akan datang, sebelum bumi dipenuhi dengan kezaliman dan permusuhan. Kemudian, akan keluar seorang lelaki daripada keturunanku yang akan memenuhi bumi dengan kebaikan dan keadilan, selepas sebelumnya ia dipenuhi dengan kezaliman dan permusuhan” (Sunan Ahmad, no.10887).

7. Hadis Nabi turut mengingatkan bahawa kedatangan Imam Mahdi bakal melengkapkan keseluruhan lima zaman pemerintahan dalam politik umat Islam:

“Telah berlaku zaman kenabian ke atas kamu. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Dia kehendaki. Kemudian Allah mengangkat zaman itu seperti yang Dia kehendaki. Kemudian berlakulah zaman Khalifah (Khulafa ar-Rasyidin) yang berjalan menurut cara zaman kenabian. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki ia berlaku. Kemudian diangkatnya apabila Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian berlakulah zaman pemerintahan yang menggigit (Mulkan Adhan). Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Dia mengangkatnya. Kemudian berlakulah zaman pemerintahan kuku besi (Mulkan Jabariyan). Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Dia mengangkatnya apabila Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian berlakulah Zaman Khalifah (Imam Mahdi) yang berjalan di atas cara hidup zaman kenabian.” Kata Huzaifah RA, “Kemudian Rasulullah SAW diam” (Hadis Riwayat Ahmad, no.17680).

8. Seperti mana janji Nabi Muhammad, kejadian gempa bumi saban tahun semakin kerap berlaku. Dari segi saintifiknya, hal ini tidak menghairankan seperti mana menurut pakar Geologi Prof Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan kerana titik gempa akan mengalami pergerakan sekitar satu sentimeter setahun seandainya gempa bumi kerap berlaku di sesetengah tempat.

9. Kita di Malaysia sejak sekian lama bersyukur kerana dari segi geografinya kita berada di kawasan luar Lingkaran Api Pasifik. Keadaan ini berbeza sama sekali dengan jiran kita Indonesia yang seringkali diuji dengan letusan gunung berapi, gempa bumi, dan tsunami. Namun perubahan titik gempa sebanyak satu sentimeter setahun seharusnya menginsafkan kita. Semakin banyak dan kerap berlakunya gempa bumi, bermakna semakin hampir ketibaan Imam Mahdi seperti mana janji Nabi Muhammad s.a.w.

10. Ketibaan Imam Mahdi nanti amat berkait rapat dengan situasi politik di bumi Timur Tengah, khususnya di Palestin, Syria, Arab Saudi, Turki, dan Iran. Hadis Nabi memberi petunjuk mengenai empat peperangan yang akan dipimpin secara langsung oleh Imam Mahdi: “Kalian akan perangi Semenanjung Arab sehingga Allah memenangkan kalian ke atasnya. Kemudian, kalian perangi Parsi sehingga Allah memenangkan kalian ke atasnya. Kemudian, kalian perangi Rom sehingga Allah memenangkan kalian ke atasnya. Kemudian, kalian perangi Dajal sehingga Allah memenangkan kalian ke atasnya” (Shahih Muslim, no.5161).

11. Saat ini, rejim Zionis Israel cukup angkuh di Perhimpunan Agung PBB. Sudahlah mereka dengan celakanya mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara mereka – yang diiktiraf pula Presiden Amerika Donald Trump pada 6 Disember 2017 – pembunuhan mereka ke atas warga Palestin yang menuntut hak mereka yang sah dikatakan pula sebagai langkah memerangi pengganas.

BACA:  Membela Rasulullah SAW

12. Zionis Israel juga semakin rancak meluaskan campur tangan ketenteraan mereka di Syria, di samping melobi Amerika untuk melindungi kepentingan strategik mereka. Tidak cukup dengan pencerobohan pesawat ke atas Syria, kini Tel Aviv menggesa pula ‘perang’ dengan Iran; peta lokasi pusat nuklear milik Tehran kononnya dipersembahkan Benjamin Netanyahu di PBB.

13. Pencerobohan jet F-16 Israel di ruang udara Syria telah menimbulkan huru-hara yang mengakibatkan pesawat Il-20 milik Rusia ditembak jatuh sistem pertahanan S-200 milik Syria pada 17 September lalu. Akibatnya, Rusia kini telah memulakan proses mengirimkan sistem S-300 yang lebih canggih kepada Syria untuk mengelakkan tragedi yang sama berulang.

14. Amerika Syarikat pula semakin ‘menggila’ di bawah rejim Donald Trump – tidak cukup dengan perang perdagangan dengan China dan Turki, sekatan ekonomi ke atas Iran juga ingin ditingkatkan. Malah, Washington turut mengenakan tekanan terkini ke atas China kerana mengadakan urusan pembelian persenjataan dan aset ketenteraan dengan Rusia (Rosoboronexport).

15. Percaturan Zionis Israel dan Amerika Syarikat ini jelas makin mengukuhkan kedudukan mereka di pentas politik antarabangsa. Palestin terus terjajah, Baitulmaqdis terus tertawan, dan umat Islam pula terus tertunduk.

16. Tun Mahathir pula terlalu idealistik ketika berucap di PBB semalam. Beliau mencadangkan agar kuasa Veto Majlis Keselamatan PBB distruktur semula. Namun hakikatnya ia hanyalah ibarat mencurah air ke daun keladi. Sarjana dari University of Chicago, John J. Mearsheimer umpamanya dalam karya terkemuka beliau ‘The Tragedy of Great Power Politics’ telah menegaskan berulang kali – mustahil kuasa besar akan rela untuk mengurangkan kuasa mereka dalam apa jua keadaan sekali pun. Akibatnya, seperti mana menurut beliau dan seorang lagi sarjana ulung, Stephen M. Walt dari Harvard University dalam karya mereka ‘The Israel Lobby and U.S. Foreign Policy’, kuasa Amerika akan terus melindungi kecelakaan Zionis Israel.

17. Segala usaha Zionis di Israel dan Amerika ini tidak lain tidak bukan adalah persiapan kepada ketibaan Dajal menjelang akhir zaman. Seperti mana diketahui umum, Nabi Muhammad telah menjanjikan dalam Hadis Sunan Ibnu Majah, no.4067 bahawa Baitulmaqdis ialah bumi di mana Imam Mahdi dan Nabi Isa a.s. bakal berganding bahu berhadapan dengan Dajal. Baitulmaqdis jugalah bumi di mana Dajal akan mati dibunuh Nabi Isa a.s. Maka saat ini Zionis mengusahakan segala yang terdaya bagi mencengkam bumi Baitulmaqdis dengan bantuan ketenteraan Amerika Syarikat sebesar USD3 bilion setiap tahun. Bahkan Washington di bawah Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel pada 6 Disember 2017 lalu.

BACA:  Jangan Ditambah Kesedihan Mak Ayah Adam Rayqal, Bayi Yang Ditemui Meninggal Dirumah Pengasuh

18. Bahaya Dajal ini cukup dahsyat hinggakan berulang kali Nabi Muhammad memberi amaran mengenainya. Daripada Anas Bin Malik, Rasulullah s.a.w. menyatakan, “Tidaklah seorang Nabi pun melainkan Baginda sudah mengingatkan umatnya daripada si buta sebelah mata dan pendusta. Ingat, sesungguhnya ia buta sebelah mata, sedangkan Rabb kalian tidak buta sebelah mata. Di antara kedua-dua matanya tertulis ‘kafir’” (Shahih Muslim, no.5219).

“Dajal buta mata sebelah kanan, berambut ikal, bersama-samanya terdapat syurga dan neraka. Nerakanya adalah syurga dan syurganya adalah neraka” (Shahih Muslim, no.5222).

“Dajal akan keluar di suatu sempadan di antara Syam dan Iraq. Lalu, ia membuat kerosakan di kanan dan di kirinya…Ia akan pergi kepada satu kaum dan mengajak mereka mengikutinya. Lalu, kaum itu beriman kepadanya dan menerima pelawaannya. Maka, Dajal memerintahkan langit. Kemudian, turunlah hujan. Ia memerintahkan bumi, kemudian hiduplah tumbuhan…Selepas itu, Dajal pergi kepada suatu kaum lain lalu menyeru mereka. Namun, mereka menolak ucapannya. Lalu, ia meninggalkan mereka. Maka, negeri itu menjadi kering-kontang. Tidak ada harta yang berbaki di tangan mereka. Kemudian, Dajal melalui tempat yang tandus, lalu ia berkata, ‘Keluarkan harta simpanan kamu’. Maka, harta simpanan mengikut perintahnya. Lalu, ia keluar seperti kurma yang bergantungan pada pohon” (Shahih Muslim, no.5228).

19. Bagaimana pula dengan umat Islam saat ini? Jelas, umat Nabi Muhammad hari ini cukup berpecah-belah. Malah kekuatan tentera Amerika yang mendukung Zionis Israel menjajah Baitulmaqdis hari ini adalah berpunca daripada sokongan ekonomi negara-negara Islam sendiri kepada ekonomi Amerika seperti kes petro-Dollar dan pembelian senjata untuk saling membunuh saudara Islam sendiri. Presiden Parti Amanah Negara, Mat Sabu contohnya antara yang bergurau mesra dengan Setiausaha Pertahanan Amerika James ‘Mad Dog’ Mattis di New York sedangkan umat Islam di Palestin terus disembelih saban hari – ‘berkat’ bantuan Amerika. Tidak sepatutnya slogan ‘Rahmatan-lil-alamin’ turut diluaskan menjadi ‘Rahmatan-lil-Zionis’ mahu pun ‘Rahmatan-lil-Dajal’.

Semoga Allah mengampuni segala dosa kita dan melindungi kita serta anak cucu kita daripada Fitnah Dajal. Semoga kita dan anak cucu kita tergolong dalam kalangan pembantu Imam Mahdi dan Nabi Isa a.s. di akhir zaman kelak, dan bukannya pembantu Dajal dan Zionis tanpa sedar yang terpedaya dengan ‘syurga’ dan ‘neraka’ ciptaan Dajal seperti mana amaran keras Nabi Muhammad s.a.w.

Oleh: Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

 

Sumber: Facebook Abdul Muein Abadi 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!