Fitrah manusia suka hiburan – Sham Kamikaze

November 15th, 2011 | 9:30 pm | Isu Semasa, Nasihat | No response

TELUK INTAN, 15 Nov: Walaupun fitrah manusia suka kepada hiburan namun biarlah hiburan yang mengikut syariat dan bertujuan semata-mata menyampaikan mesej dakwah, kata Sham Kamikaze.

Beliau menyatakan demikian dalam majlis ceramah di Kampung Padang Tembak, dekat sini.

Oleh itu menurut beliau, adalah amat wajar pihak tertentu menyediakan hiburan alternatif kepada golongan remaja.

Katanya, hiburan perlu digunakan untuk menyampaikan mesej Islam terutamanya kepada golongan muda.

Menurut Sham, setiap orang Islam adalah bertanggungjawab untuk berdakwah dan akan dipertanggungjawabkan akan usaha amar maaruf dan nahi mungkar.

“Tidak kira sama ada kita seorang ustaz atau bukan,” katanya yang nama sebenar Shamril Mohd Salleh.

Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa taufik dan hidayah Allah tidak memilih bulu.

Justeru, ujarnya sesiapa sahaja boleh diberi hidayah oleh Allah pada bila-bila masa tetapi yang penting ialah menanamkan sikap kasih sayang kepada setiap manusia.

Beliau juga menyentuh tentang kaedah dakwah terkini dengan menggunakan teknologi maklumat seperti facebook yang mana jika digunakan dengan cara yang betul dapat memberikan pahala yang banyak kepada penggunanya.

“Gunakanlah facebook untuk kita menyampaikan dakwah. Jika sehari satu ayat Quran atau hadith kita masukkan, cuba bayangkan berapa banyak pahala yang kita dapat apabila ia disebarkan dan dapat dibaca oleh setiap orang.

“Kesemua ini ibarat multi level marketing yang menjaminkan keuntungan di dunia dan di akhirat,” ujarnya.

Gambar kredit kepada Sham Kamikaze

Harakahdaily

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,

Leave a Reply

CommentLuv badge