Isu Semasa

Dunia Wajib Perangi Neo-nazi & Pengganas Kulit Putih

1. Sesungguhnya hari ini kita amat berdukacita dengan pemergian adik Mohd Haziq Mohd Tarmizi yang baru disahkan syahid di tangan pengganas Neo-Nazi di Christchurch, New Zealand. Allahyarham kini menyertai 49 para syuhada lain, bersama-sama menuju syurga Allah s.w.t.

2. Memang kita amat hargai ketegasan Perdana Menteri New Zealand menghadapi tragedi ini – termasuklah pelbagai usaha beliau untuk meringankan beban seluruh ahli keluarga mangsa yang syahid.

3. Namun begitu, dari sudut pandangan politik antarabangsa, ucapan takziah serta tangisan semata-mata tidak mampu untuk menyelesaikan masalah besar yang enggan diakui dengan sebenar-benarnya – terutama sekali oleh kuasa-kuasa Barat.

4. Hampir seminggu selepas serangan pengganas kulit putih Neo-Nazi yang hina ke atas umat Islam di New Zealand ini, timbul persoalan besar: mengapa tiada usaha yang serius sama sekali di peringkat antarabangsa digerakkan untuk memerangi fahaman pengganas kulit putih dan Neo-Nazi ini?

5. Kenapa tiada perisytiharan ‘perang menentang keganasan’ ke atas para pengganas Neo-Nazi dan kumpulan haluan kanan kulit putih ekstrem seperti mana yang dilancarkan ke atas Al-Qaeda dan ISIS?

6. Kenapa tiada pengharaman besar-besaran ke atas gerakan pengganas Neo-Nazi dan kumpulan haluan kanan kulit putih ekstrem seperti mana yang dilabelkan kepada Al-Qaeda dan ISIS?

7. Kenapa tiada usaha sekatan untuk haramkan mereka yang memiliki latar keanggotaan Neo-Nazi dan kumpulan haluan kanan kulit putih ekstrem daripada bebas bergerak ke sana ke mari?

8. Kenapa tiada inisiatif pemantauan dan perisikan berskala global dilancarkan bagi memerangi dan menyekat penyebaran gerakan Neo-Nazi dan kumpulan haluan kanan kulit putih ekstrem di seluruh dunia?

9. Mengapa belum diharamkan kemudahan transaksi kewangan dan pemindahan wang kepada mereka yang memiliki latar belakang keanggotaan Neo-Nazi dan kumpulan haluan kanan kulit putih ekstrem di seluruh dunia?

10. Kenapa tiada langkah agresif sama sekali diwujudkan untuk menghapuskan kumpulan pengganas Neo-Nazi dan kumpulan haluan kanan kulit putih ekstrem yang saat ini ada bergerak bebas menyemai kebencian di sesetengah negara?

11. Keadaan ini berbeza sama sekali apabila antagonisnya datang dari gerakan fahaman takfiri di dunia Islam: contohnya seperti Pakatan Global untuk memerangi ISIS.

BACA:  Menikahkan Anak Perempuan Tanpa Rela - Prof Madya Dato Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

12. Hakikatnya, sama sepertimana komitmen 79 negara di seluruh dunia untuk menganggotai Pakatan Global memerangi pendukung fahaman takfiri ISIS yang ditubuhkan pada September 2014, begitu jugalah kadar komitmen yang sama seharusnya digerakkan bagi memerangi fahaman Pagan Neo-Nazi dan ‘White Supremacist’ di seluruh dunia.

13. Tidak seharusnya timbul sikap dwi-standard; bahayanya fahaman ‘White Supremacist’ dan Neo-Nazi ini tidak kurang bahanya berbanding fahaman takfiri yang dipegang oleh ISIS.

14. Malah, jika difahami dengan mendalam, ancaman pengganas kulit putih serta Neo-Nazi ini adalah jauh lebih berbahaya berbanding gerakan ISIS: jika ISIS lebih aktif merekrut umat Islam untuk menjadi tentera mereka di Iraq dan Syria, sebaliknya gerakan pengganas ‘White Supremacist’ ini berleluasa di seluruh Eropah, Amerika, dan Asia Pasifik.

15. Jika ISIS turut menyasarkan serangan ganas mereka di Afrika dan Asia, mereka melakukannya dalam kerangka ‘gerakan bukan arus perdana’. Sebaliknya, gerakan ‘White Supremacist’ ternyata bukan sekadar bergerak di bawah tanah, malah saban hari semakin aktif mempromosikan fahaman mereka melalui modus operandi penyususpan secara halus dalam parti-parti politik arus perdana – dalam sesetengah kes, mereka semakin hampir untuk menguasai tampuk pemerintahan negara mereka.

16. Seandainya fahaman ‘White Supremacist’ dan pelampau Neo-Nazi ini tidak disekat dan diperangi secara besar-besaran di seluruh dunia dalam tempoh segera, kemunculan kembali kuasa ala-‘Fasis’ Itali era Benito Mussolini dan ala-‘Nazi’ Adolf Hitler menjelang Perang Dunia Kedua amat tidak mustahil.

17. Sejarah mengajar kita bagaimana dalam situasi ekonomi dunia yang tidak stabil, penyebaran ideologi politik diskriminasi – khususnya dikaitkan dengan golongan haluan Kanan yang ekstrem – dicantum dengan kuasa ketenteraan, maka akan berlakulah simbiosis yang membinasakan.

18. Bahkan pada saat ini, gerakan ini telah mula berhasil mempengaruhi ahli-ahli politik di negara mereka agar tunduk kepada beberapa desakan mereka dalam proses pembuatan keputusan.

19. Perlu diketahui, kes serangan pengganas kulit putih dan Neo-Nazi di Christchurch ini bukan kes terpencil, sebaliknya ia adalah lanjutan daripada beberapa siri serangan bermotifkan ‘White Supremacist’ yang menunjukkan pola meningkat. Ramai yang masih ingat akan serangan di Oslo, Norway pada 2011 – namun ramai yang kurang menyedari akan kes-kes lain yang kurang dilaporkan seperti serangan di Munich (Jerman), Quebec City (Kanada), Pittsburgh (Amerika), Charleston (Amerika), dan pelbagai kes lagi.

BACA:  'Kat sekolah ada orang pegang bawah ini tak? Kawan lelaki?' - Anak kecil itu mengangguk, wajah ibunya dah pucat lesi...

20. Dalam artikel The Economist yang bertajuk ‘Is Right-Wing Terrorism on the Rise in the West?’, jelas direkodkan betapa serangan bermotifkan ‘White Supremacist’ semakin serius dan melonjak dalam tempoh 2011 hingga 2019 berbanding tempoh 2000-2010.

21. Malah khusus dalam kes di Masjid Al-Noor Christchurch ini, hakikatnya pada 2016 lagi ia pernah diasak oleh golongan Neo-Nazi yang bertindak menghantar beberapa kotak yang berisi kepala babi diiringi laungan “Bring on the cull” yang diterjemahkan bermaksud “Ayuh kita menyembelih”.

22. Benar, gerakan Neo-Nazi dan pengganas kulit putih ini kurang teratur – tidak seperti mana ISIS yang memiliki struktur rangkaian dan rantaian yang lebih jelas. Ditambah pula dengan hakikat bahawa mereka tidak tertumpu hanya di dua negara sahaja (seperti Iraq dan Syria yang menjadi sasaran utama ISIS), keadaan ini menyukarkan usaha untuk memerangi fahaman Neo-Nazi dan ‘White Supremacist’. Namun ibarat sindiran tradisi Melayu, ‘kalau hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih’.

23. Walau betapa hebat sekali pun kritikan dilakukan bagi mengecam keganasan hina di Christchurch ini, walau betapa banyak sekali pun air mata kesedihan yang ditumpahkan menangisi mangsa-mangsa yang telah syahid, selagi mana langkah konkrit bagi memerangi akar ideologi ‘White Supremacist’ dan Neo-Nazi tidak dilaksanakan secara besar-besaran, selagi itulah ancaman pengganas kulit putih ini tidak akan surut.

24. Inilah masanya kita mendesak supaya perisytiharan ‘perang menentang keganasan’ ke atas para pengganas Neo-Nazi dan kumpulan haluan kanan kulit putih ekstrem diisytiharkan – seperti mana yang dilancarkan ke atas Al-Qaeda dan ISIS.

25. Inilah masanya pengharaman besar-besaran ke atas gerakan pengganas Neo-Nazi dan kumpulan haluan kanan kulit putih ekstrem seperti mana yang dilabelkan kepada Al-Qaeda dan ISIS dilaksanakan.

BACA:  Jangan Pandang Pakistan Sebelah Mata

26. Inilah masanya pengharaman mereka yang memiliki latar keanggotaan Neo-Nazi dan kumpulan haluan kanan kulit putih ekstrem daripada bebas bergerak ke sana ke mari dilaksanakan.

27. Inilah masanya inisiatif pemantauan dan perisikan berskala global dilancarkan bagi memerangi dan menyekat penyebaran gerakan Neo-Nazi dan kumpulan haluan kanan kulit putih ekstrem di seluruh dunia.

28. Inilah masanya untuk mengharamkan segala kemudahan transaksi kewangan dan pemindahan wang kepada mereka yang memiliki latar belakang keanggotaan Neo-Nazi dan kumpulan haluan kanan kulit putih ekstrem di seluruh dunia.

29. Inilah masanya untuk melaksanakan segala langkah agresif untuk menghapuskan kumpulan pengganas Neo-Nazi dan kumpulan haluan kanan kulit putih ekstrem yang saat ini ada bergerak bebas menyemai kebencian di sesetengah negara.

30. Inilah juga masanya untuk diwujudkan kerjasama khas antara negara-negara khusus bagi mengkoordinasi perang ke atas pengganas Neo-Nazi dan kumpulan haluan kanan kulit putih ekstrem di seluruh dunia.

31. Mana-mana kerajaan yang enggan mengklasifikasikan kumpulan Neo-Nazi dan kumpulan haluan kanan kulit putih ekstrem sebagai ‘pengganas’ pula seharusnya dikecam sebagai melindungi pengganas.

32. Malah, seperti mana Iran, Iraq, Afganistan, Libya, Syria, dan pelbagai negara lagi yang dikenakan sekatan (dan diperangi) kerana dituduh bersekongkol dengan pengganas, begitu jugalah negara-negara yang tidak memerangi pengganas Neo-Nazi dan kumpulan haluan kanan kulit putih ekstrem ini seharusnya diperlakukan di pentas antarabangsa.

33. Para pemimpin negara Islam juga tidak sepatutnya hanya mengambil jalan mudah, melepaskan batuk di tangga, sekadar menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. Langkah proaktif mewujudkan kerjasama pelbagai negara di pentas antarabangsa wajib diatur untuk memerangi pengganas Neo-Nazi dan kumpulan haluan kanan kulit putih ekstrem ini – sama seperti mana mereka tergesa-gesa menyertai pakatan kuasa Barat ketika Perang Dingin dan juga ketika memerangi Al-Qaeda dan ISIS. Jadilah proaktif dan jangan sekadar reaktif menanti restu dan isyarat kuasa-kuasa besar semata-mata.

Oleh: Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *