Doa Rasulullah mohon pertukaran arah kiblat dimakbulkan

July 22nd, 2011 | 2:57 pm | Ibadah | 2 responses

ALLAH berfirman yang bermaksud: “Orang yang bodoh itu akan berkata: Apakah yang menyebabkan orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka hadapi selama ini? Katakanlah (wahai Muhammad): Timur dan Barat itu kepunyaan Allah (maka ke mana saja diarahkan Allah untuk menghadap, maka wajiblah dipatuhi). Allah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.” (Surah al-Baqarah, ayat 142)

Antara peristiwa penting dan bersejarah yang berlaku kepada diri Rasulullah SAW serta Muslimin pada Syaaban ialah peristiwa perubahan arah kiblat daripada menghadap Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis ke arah Masjidil Haram (Kaabah) di Makkah.

Kisah perubahan kiblat terjadi pada tahun kedua Hijrah. Rasulullah SAW telah menunaikan solat menghadap ke Baitulmaqdis selama 16 atau 17 bulan. Akan tetapi, baginda ingin menghadap ke arah Kaabah sebagai kiblatnya.

Setelah diperintahkan Allah untuk berpaling ke Kaabah, solat pertama yang dilakukan Baginda ialah solat Asar diikuti beberapa orang sahabat. Sesudah itu, seorang sahabat keluar dari masjid itu dan melihat dalam masjid orang sedang rukuk dan masih menghadap Baitulmaqdis.

Maka dia berseru: “Demi Allah, aku bersaksi bahawa aku bersolat bersama Nabi Muhammad SAW menghadap ke Kaabah di Makkah. Kemudian orang yang bersolat itu terus berpusing menghadap ke Kaabah dalam solat itu juga.” (Hadis riwayat Bukhari)

Ibnu Sa‘ad di dalam kitab al-Tabaqat meriwayatkan bahawa Rasulullah sedang melawat Ummu Bisyr bin al-Barra’ bin Mabrur di kawasan Bani Salamah. Beliau menyediakan jamuan untuk Rasulullah SAW dan sahabatnya.

Apabila tiba waktu solat Zuhur, Baginda bersolat di masjid perkampungan itu. Sedang Baginda berada dalam rakaat kedua solatnya, turun wahyu daripada Allah memerintahkannya menukar arah dari Masjidil Aqsa ke arah Kaabah di Masjidil Haram.

Baginda terus berpaling menghadap ke arah Kaabah ke sudut bertentangan dengan mizab (saluran emas) dengan pusingan 180 darjah dan terus menyambung baki solatnya. Oleh itu masjid berkenaan dinamakan Masjid Qiblatain yang masih ada di Madinah dan menjadi salah satu tempat lawatan jemaah yang mengerjakan umrah mahu pun haji.

Perubahan arah kiblat adalah satu tamparan cukup hebat kepada kaum Yahudi yang selama ini begitu berbangga dengan kiblat mereka iaitu Baitulmaqdis sehingga mereka mencemuh dan mengejek umat Islam kerana terpaksa bergantung walaupun dalam menentukan arah solat pada ketika itu.

Malah, kewajipan bersolat menghadap kiblat adalah satu perintah dan ketetapan daripada Allah dan sesiapa saja tidak boleh mempersoalkan mengapa perlu menghadap Kaabah apabila melakukan solat.

Inilah sebenarnya konsep ketaatan dan kepatuhan yang mutlak hanya kepada Allah saja dalam apa juga keadaan dan tidak boleh disamakan dengan ketaatan kepada makhluk.

Berkaitan Kaabah, Rasulullah pernah bersabda: “Kaabah itu kiblat bagi orang yang di dalam masjid, dan masjid itu bagi orang yang di Tanah Haram (Makkah), dan Haram (Makkah) itu kiblat bagi penduduk bumi dari barat hingga ke timur daripada umatku.” (Hadis riwayat Al-Qurthubi)

Kemuncak daripada peristiwa ini ialah ia melambangkan kebenaran daripada Allah untuk kembali berkiblatkan Kaabah, sekali gus ia contoh doa Rasulullah yang dikabulkan Allah kerana Rasulullah sudah lama mengangkat tangannya berdoa dan memandang ke langit meminta pertukaran kiblat ke Kaabah. Permintaan Rasulullah SAW telah diperkenankan Allah pada bulan Syaaban.

Selanjutnya, sebahagian kaum Muslimin berkata: “Kami ingin mengetahui mengenai orang yang telah meninggal dunia sebelum pemindahan kiblat (dari Baitulmaqdis ke Kaabah). Bagaimana juga dengan ibadah solat kami sebelum ini ketika kami masih menghadap Baitulmaqdis.

Maka turunlah ayat 143 surah al-Baqarah yang menegaskan bahawa Allah tidak akan mensia-siakan iman mereka yang beribadah menurut ketentuan ketika itu.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan demikianlah Kami jadikan kamu (umat Muhammad) sebagai satu umat pilihan dan pertengahan, supaya kamu menjadi pemberi keterangan (saksi) kepada umat manusia (kebenaran dan kebatilan), dan Rasulullah akan menjadi saksi kebenaran kamu. Dan Kami jadikan kiblat yang dulu itu hanyalah sebagai ujian untuk mengetahui siapakah yang benar-benar mengikut Rasul dan siapa pula yang berpaling tadah. Dan sesungguhnya (peralihan arah kiblat) itu sangat berat kecuali kepada orang yang telah diberikan petunjuk oleh Allah. Dan Allah tidak akan mensia-siakan dan menghilangkan keimanan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengasihani dan Merahmati orang yang beriman.” (Surah al-Baqarah, ayat 143)

Picture source: http://www.flickr.com/photos/ezreen/2661537363/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,

Responses so far...(2)

  1. 1

    Kenapa rasulullah inginkan kiblat ditukarkan kpd makkah?

Trackbacks and Pingbacks

  1. Sejarah Pertukaran Qiblat | DEMI ISLAM

Leave a Reply

CommentLuv badge