Doa

Doa Perlindungan Daripada Ujian Diri Sendiri, Dunia Dan Akhirat

Orang bijak pandai sentiasa mengatakan bahawa ujian dan kesusahan akan mematangkan kita dalam kehidupan. Kerana biasanya setelah kita berjaya melepasi sesebuah ujian, kita akan menjadi seorang yang lebih kuat untuk menempuh cabaran seterusnya.

Kerana dunia adalah sebuah tempat yang penuh dengan ujian, maka Rasulullah SAW ada mengajar doa yang tersirat makna yang lebih dalam. Ia sebuah doa perlindungan bukan sahaja daripada fitnah atau ujian dunia malah perlindungan daripada kesan fitnah tersebut kepada iman seorang Muslim.

Daripada ‘Aisyah RA bahawasanya Rasulullah SAW pernah membaca doa yang berbunyi:

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَدْعُو بِهَؤُلَاءِ الدَّعَوَاتِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ النَّارِ وَعَذَابِ النَّارِ وَفِتْنَةِ الْقَبْرِ وَعَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْغِنَى وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْفَقْرِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ اللَّهُمَّ اغْسِلْ خَطَايَايَ بِمَاءِ الثَّلْجِ وَالْبَرَدِ وَنَقِّ قَلْبِي مِنْ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ الْأَبْيَضَ مِنْ الدَّنَسِ وَبَاعِدْ بَيْنِي وَبَيْنَ خَطَايَايَ كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ اللَّهُمَّ فَإِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْكَسَلِ وَالْهَرَمِ وَالْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari fitnah api neraka dan seksanya, dari fitnah kubur dan seksanya, dari fitnah kekayaan, dari fitnah kefakiran, dan aku berlindung kepadaMu ya Allah dari fitnah Dajjal.

Ya Allah, hapuskanlah dosaku dengan air salju dan air embun, bersihkanlah hatiku dari segala kesalahan sebagaimana Engkau bersihkan kain putih dari noda.

Ya Allah, jauhkanlah antara aku dan dosaku sebagaimana Engkau jauhkan antara timur dengan barat. Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari malas dan tua pikun (nyanyuk) serta dari dosa dan bebanan hutang.” (HR Muslim, no. 4877 – Status Hadis Sahih)

BACA:  Keramatnya Doa Ibu Terhadap Takdir Anak-anaknya

Daripada hadis tersebut, kita dapat memahami ada beberapa kategori ujian yang disebutkan.

#1 – Ujian Diri Sendiri

Ujian diri sendiri yang disebutkan dalam hadis ialah ujian rasa malas dan juga lupa (nyanyuk). Justeru, kita dapat mengetahui bahawa diri sendiri juga boleh menjadi punca.

Rasa malas akan membawa masalah yang lebih banyak dalam hidup seperti malas berusaha, malas bekerja, malas beribadah dan sebagainya. Akhirnya, orang yang malas hanya akan menyalahkan orang lain atas apa yang terjadi kepada dirinya.

Penyakit nyanyuk atau dalam bahasa perubatannya dipanggil ‘dementia‘ adalah penyakit yang boleh berlaku kerana faktor genetik, cedera atau trauma. Ia biasa berlaku kepada orang yang sudah lewat usianya. Keadaan diri yang tua, tidak sihat dan lupa akan menghalang seseorang itu daripada melakukan amal ibadah dengan sempurna.

#2 – Ujian Dunia (Umum)

Ujian dunia merangkumi ujian kekayaan dan juga ujian kefakiran serta fitnah Dajjal. Bermakna, kedua-dua kelompok orang kaya dan juga miskin boleh ditimpa ujian ini.

Orang kaya boleh menjadi lupa asal usul serta tujuan hidup yang sebenar kerana terlalu tenggelam dalam kesenangan dan kekayaan. Mereka juga boleh menjadi bongkak dengan apa yang dimiliki. Manakala orang miskin pula boleh menjadi tidak bersyukur dan iri hati dengan kesenangan yang ada pada orang lain.

Ujian dunia yang juga disebutkan adalah ujian hutang. Ujian-ujian ini saling berkait antara satu sama lain. Orang yang tidak mempunyai wang boleh terjatuh kedalam ujian hutang dengan berterusan meminta dan meminjam wang, tapi tidak berusaha membayar, manakala orang yang kaya pula boleh terjatuh ke dalam ujian hutang – dengan memberi hutang tetapi bersikap zalim dengan mengenakan riba.

BACA:  BACA Doa Ini Jika Anda Selalu Dibenci Orang, Doa Pengasih Niatkan Kepada Siapa Yang Hendak Disayangi

#3 – Ujian Akhirat

Ujian pertama dan kedua tadi jika tidak ditangani dengan baik, boleh membawa kepada ujian ketiga iaitu ujian akhirat yang lebih besar berbanding ujian di dunia. Ujian akhirat yang dimaksudkan pastilah seksa kubur (perjalanan menuju akhirat) serta seksaan api neraka.

Kesimpulan

Apabila disebut ujian, ia kadang-kadang bukan perkara yang kita sedari. Ia boleh mempengaruhi diri perlahan-lahan sehingga akhirnya hidayah tidak lagi sampai ke jiwa. Kita menjadi manusia yang tidak lagi dapat ‘berfikir’ sekalipun mempunyai akal, tidak lagi dapat ‘melihat’ sekalipun mempunyai mata, dan tidak lagi dapat ‘mendengar’ walaupun mempunyai telinga.

Semoga Allah sentiasa melindungi kita daripada fitnah diri, dunia dan akhirat ini. Wallahu’alam.

 

Sumber: tzkrh.com 

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *