Isu Semasa

Contohi Brunei martabatkan institusi masjid dan imam

Kunjungan ke Brunei untuk melihat sendiri usaha-usaha kerajaan negara itu dalam memartabatkan institusi masjid dan imam amat memberangsangkan. Sebaik sahaja menjejakkan kaki di lapangan antarabangsa yang terletak di Bandar Seri Begawan, suasananya sungguh aman, damai dan mempersona. Tidak ada kekalutan atau hiruk-pikuk, semuanya lancar.

Ketibaan kali ini disambut Awang Haji Matusin, rakan lama yang banyak membantu memberi maklum balas tentang perubahan-perubahan yang semakin pesat di negara darussalam ini. Kawasan letak kereta lapangan terbang ketika ini dalam proses penambahbaikan, jadi kami perlu berjalan jauh sedikit. Dengan melihat kereta-kereta di kawasan itu, pengunjung yang kali pertama melawat Negara Brunei Darussalam boleh menjangkakan yang negara ini mempunyai penduduk yang berpendapatan tinggi. Kawasan sekitar juga bersih.

Berada di atas pesawat lagi saya dapat melihat puluhan masjid yang beraneka bentuk dibina di Brunei. Dua masjid utama ialah Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin dan Masjid Jame’ Asri Hassanal Bolkiah. Bergerak dari Bandar Seri Begawan ke Serdang, Mentiri, Sungai Buluh dan Muara, seterusnya ke Bunut, Kilanas, Sengkurong, Jerudong dan Tutong sampai ke Lumut dan Kuala Belait serta Sungai Tujuh, kemudian patah balik ke Temburong, dapat disimpulkan bahawa semua masjid di Brunei adalah berhawa dingin. Di Malaysia, masjid berhawa dingin tidak banyak kerana pengunaannya boleh meningkatkan kos elektrik.

 

Brunei mengamalkan sistem monarki iaitu sultan berkuasa penuh ke atas pentadbiran negara. Prinsip pembangunan adalah selari dengan konsep Melayu Islam Beraja. Sehingga kini negara itu adalah satu-satunya negara di Asia yang mengamalkan konsep ini. Urusan pentadbiran dilaksanakan oleh jemaah menteri. Sultan Brunei juga berkenan menubuhkan Majlis Mesyuarat Negara (Legislative Council) untuk membincangkan isu-isu yang bersangkut paut dengan pembangunan negara. Hampir 75 peratus rakyat beragama Islam, selebihnya beragama buddha dan kristian. Justeru, sebuah kementerian berkaitan agama Islam ditubuhkan dengan nama Kementerian Hal Ehwal Agama. Semua urusan berkaitan agama Islam dan institusi Islam di peringkat kampung, mukim, daerah dan negara diuruskan oleh kementerian ini termasuk masjid dan imam.

BACA:  Panduan Puasa - Syarat-syarat Wajib Puasa

Pentadbiran masjid-masjid di Brunei sangat teratur di bawah seliaan Jabatan Masjid yang diketuai seorang pengarah. Salah seorang bekas pengarah yang saya kenali ialah Haji Rajid yang sangat terbuka kepada idea-idea pengimarahan masjid khususnya dalam usaha mendekatkan golongan muda kepada masjid. Di samping itu masjid juga semakin aktif mengajak masyarakat untuk menggunakan kemudahan yang disediakan. Contohnya di Masjid Kampung Bunut, terdapat perpustakaan yang masih dikenali sebagai “khutub kanah” di samping pusat komputer. Penggunaannya terbuka kepada masyarakat sekitar tanpa mengira usia.

Salah seorang imam masjid berkenaan ialah Haji Jubli. Ketika menyampaikan khutbah jumaat, suaranya lantang, kemas susunan ayatnya dan intonasi suara ketika penyampaian khutbah sangat bersesuaian. Semua khatib yang akan menyampaikan khutbah jumaat diwajibkan untuk mempraktikkan penyampaian mereka supaya mesej yang disampaikan kepada masyarakat dapat difahami.

Haji Jubli merupakan golongan imam yang mempunyai semangat keilmuan yang tinggi. Ketika di Masjid Bunut, beliau berazam menambah ilmu pengetahuan lalu memohon untuk melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana muda. Kini beliau sedang melengkapkan pengajian sarjana. Jawatannya sudah tinggi dan ditempatkan di kementerian. Laluan kerjaya Haji Jubli sangat jelas dan menarik iaitu seorang imam boleh meningkat maju dalam kerjayanya kerana kerajaan sendiri yang melihat keperluan imam sangat penting. Imam yang berpendidikan tinggi akan lebih bijak dan matang dalam melaksanakan tugasnya.

Imam kedua ialah Haji Daud, seorang qari dan sering mengimami solat fardhu di Masjid Kampung Tamoi. Beliau memiliki pelbagai idea dalam pembangunan komuniti di sekitar kampung air khususnya pembangunan akademik pelajar. Setiap tahun beliau menjadikan agenda kecemerlangan akademik sebagai “sasaran kerja tahunan” supaya peranan masjid tidak terhad kepada aktiviti keagamaan sahaja. Program kemahiran pelajar diselang seli dengan program solat hajat dan bacaan yaasin sebaik sahaja pelajar akan menempuh peperiksaan.

BACA:  Mengapa China Menzalimi Muslim Uighur

Kebersihan masjid sangat membanggakan. Tidak terdapat tandas yang rabak pintunya atau lubang tandas hitam berlumut. Pintu-pintu tandas lengkap dengan kunci, penarik pam tandas juga dalam keadaan baik dan salur paip lengkap dengan tempat penyangkut. Dapat dirumuskan bahawa sesebuah masjid disenggara dengan sempurna sama ada di bandar atau luar bandar. Keadaan ini sangat berkait dengan taraf hidup masyarakat Islam Brunei yang lebih tinggi kerana sistem pendidikan telah berjaya menerapkan nilai-nilai menjaga kebersihan diri dan masyarakat.

Kedua-dua imam ini memberi gambaran kepada kita tentang pengurusan cekap institusi masjid dan imam. Laluan kerjaya imam sudah disediakan dan para imam mendapat peluang yang sama untuk memajukan diri. Oleh kerana imam-imam ini merupakan pegawai kerajaan, mereka menikmati keistimewaan yang dinikmati oleh pegawai-pegawai kerajaan yang lain.

Imam di Malaysia tidak semuanya mendapat gaji tetap khususnya di luar bandar. Kadang-kadang hanya mendapat imbuhan elaun dan sesekali bonus. Walaupun majlis agama Islam di setiap negeri bertanggungjawab ke atas masjid dan imam, ada sesetengah surau dan masjid cenderung kepada pertubuhan politik atau aliran pemikiran tertentu. Namun kawalan dan pemantauan daripada pihak berkuasa dapat mencegah berlakunya perkara-perkara tidak diingini sehingga kini.

Melihat kepada usaha-usaha Brunei memartabatkan institusi masjid dan imam, kita boleh mempelajari banyak perkara supaya masjid dan imam kita dapat memberikan peranan masing-masing. Kita juga berharap para imam kita berlumba-lumba menambahkan ilmu masing-masing supaya pemikiran dan tindakan mereka berasaskan ilmu dan kemahiran yang dipelajari.

Langit Ilahi

2 Comments

  1. Alhamdulillah.. Teringin nak g sana tgk sendiri.. Tp bila malaysia nak buat mcm ni.. Masjid pun nak dipolitikkan.. Sepatutnya bila dah berada didalam masjid semua umat islam patut melupakan tentang politik dan semuanya sama tinggi n sama rendah..

  2. Assalamualaikum, mohon mendapatkan nombor telefon teman saudara/saudari di negara brunei bagi urusan merakamkan keindahan masjid di sana, telah memohon kebenaran penggambaran drp majlis ugama islam brunei namun tiada balasan/respons. Mohon jasa baik untuk mendspstksn nama imam masjid atau contact person yg boleh memberi kebenaran untuk rakaman di masjid-masjid. Terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!