Nasihat

Cinta Berlandaskan Jalan Al-Quran dan As-Sunnah

Sejak akhir-akhir ini, kita sering dijamu dengan pelbagai berita dan isu semasa terutamanya yang berkaitan dengan jenayah dan permasalahan dalam masyarakat. Tajuk-tajuk berita seperti kes pembuangan bayi, pembunuhan yang tiada nilai perikemanusiaan, pengkhianatan berunsurkan dengki dan cemburu dan sebagainya seolah-olah permasalahan yang biasa kita lihat tersiar di dalam akhbar dan media elektronik sekarang. Seharusnya di sini, kita dapat melihat pada satu faktor penting yang ramai manusia atau lebih tepat lagi muslim kebanyakannya terlepas pandang atau kurang mengambil berat. Ianya adalah kurangnya rasa cinta iaitu cinta sesama muslim pada jalan syariat Islam yang hakiki, mengikut Al-Quran dan As-Sunnah.

Cinta memainkan peranan yang sangat penting dalam asas penyatuan kehidupan manusia. Segala kehidupan bermula dengan cinta. Kuasa cinta cukup hebat dan aneh sekali. Apabila seseorang itu dikuasai dengan cinta, hati yang kejam dan tidak berperikemanusiaan boleh berubah menjadi hati yang lembut, penyayang, dan harmoni. Tidak dapat kita nafikan bahawa cinta amat mempengaruhi segenap aspek dalam kehidupan manusia khususnya individu Muslim yang berlandaskan jalan syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.

Menurut Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah dalam bukunya yang bertajuk ‘Cinta dan Rindu Menurut Al-Quran dan As-Sunnah’, beliau menyatakan bahawa pengertian cinta amatlah luas dan mendalam kerana ia berkait rapat dengan hati manusia. Di dalam Islam, cinta terbahagi kepada tiga bahagian. Pertama, cinta kepada Allah dan Rasul, kedua cinta kepada sesama manusia dan makhluk lain dan ketiga, cinta kepada diri sendiri. Melalui penerapan tiga bahagian cinta ini di dalam hati manusia, secara tidak langsung kita dapat mengatasi masalah sosial dan jenayah yang sering berlaku di dunia khususnya di negara kita, Malaysia.

Sesungguhnya, Rasulullah SAW ada menjelaskan bahawa salah satu dari ciri kesempurnaan iman seseorang adalah dia mencintai saudaranya melebihi cintanya pada dirinya sendiri. Daripada Anas bin Malik, Nabi SAW bersabda, “Tidaklah (sempurna) iman seseorang di antara kalian hingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.” Maka, amat jelas melalui keterangan hadis Nabi SAW bahawa cinta kepada saudara kita sesama Islam harus diamal dan dijiwai dalam diri setiap individu yang bergelar Muslim. Kita tidak boleh menyakiti hati saudara-saudara kita dengan menggunakan jalan kehancuran dan kebinasaan seperti bercakap bohong, fitnah-menfitnah, mengaibkan saudara sendiri dan sebagainya. Tidaklah seseorang itu dianggap seorang Muslim yang sejati andai di dalam hatinya penuh dengan sifat mazmumah dan akhlak yang negatif.

BACA:  “We Are Very Expensive!”- PROF DR MUHAYA Kongsi Ciri-Ciri Wanita Solehah

Selain itu, cinta sesama Muslim seharusnya didasarkan kepada Allah Taala semata-mata. Daripada satu hadis yang driwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda, “Ada seorang mengunjungi saudaranya di desa lain, lalu Allah mengutus seorang malaikat untuk menemui orang itu. Ketika orang tersebut sampai di desa yang dituju, malaikat bertanya, “Mahu ke mana kamu?” Orang itu menjawab, “Aku mahu menjenguk saudaraku di desa ini.” Tanya malaikat selanjutnya, “Apakah dengan mengunjunginya kau memperoleh banyak keuntungan?” Orang itu menjawab, “Tidak, aku hanya mencintainya kerana Allah Azza wa Jalla.” Malaikat itu mengatakan, “Sesungguhnya aku adalah utusan Allah untuk memberitahukan kamu bahawa Allah menyenangimu sebagaimana kamu menyenangi saudaramu kerana Allah.”

Oleh yang demikian, kita seharusnya saling tolong-menolong di antara satu sama lain tanpa ada paksaan daripada mana-mana pihak. Allah Taala mencipta makhluk di dunia ini bukanlah sebagai individu yang hidupnya seorang diri saja tapi sebagai makhluk di dunia yang hidup secara bersosial dan bermasyarakat. Jalinan ukhwah Islamiyyah yang kukuh harus dibina di antara kita bagaikan aur dan tebing terutamanya dalam menolong dan membantu saudara kita yang hidup dalam kesusahan. Bertepatanlah dengan firman Allah Taala dalam surah Al-Maidah, ayat 2 yang bermaksud, “Dan tolong-menolonglah kalian dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan janganlah tolong-menolong dalam membuat dosa dan pelanggaran.”

Tidak cukup dengan itu, sesama Muslim dilarang mengganggu sesama Muslim dengan cara menfitnah, bermusuh bahkan berdengki atas kesenangan yang dinikmati oleh orang lain. Sesungguhnya seorang Muslim yang menyayangi saudaranya sendiri ibarat menjaga dan memelihara takwa dan iman yang ada dalam diri mereka sendiri. Diriwayatkan dari Abu Hurairah, dia berkata,” Rasulullah SAW bersabda, ‘Janganlah kalian saling mendengki, saling menfitnah, saling membenci, dan saling membelakangi. Janganlah seorang muslim berjual beli sesuatu yang masih dalam penawaran seorang muslim lain dan jadikan kalian hamba-hamba Allah yang saling bersaudara, tidak boleh saling menyakiti, merendahkan dan menghina. Takwa itu ada di sini (Rasulullah menunjuk dadanya dan beliau mengucapkannya tiga kali). Sudah cukup kejelekan seorang yang menghina saudara sesama Islam. Muslim yang satu dengan yang lain haram darahnya, hartanya, dan kehormatannya.”

BACA:  3 Cara Menenangkan Hati Anak

Hal ini diulaskan lagi mengikut penjelasan dan keterangan lain daripada seorang tokoh agama Islam, Imam Nawawi mengenai betapa pentingnya rasa cinta dan kasih sayang sesama Muslim. Beliau menerangkan bahawa jika seseorang itu tidak cinta kepada saudaranya sebagaimana dia cinta pada dirinya maka dia adalah seorang pendengki. Menurut Imam Ghazali pula, pendengki ini terdiri daripada tiga jenis iaitu pertama, bercita-cita supaya hilang terus nikmat orang lain dan berpindah nikmat itu kepadanya, kedua bercita-cita supaya hilang nikmat tersebut ke atas orang lain sekalipun dia tidak mendapatnya dan terakhir, tidak bercita-cita supaya hilang nikmat itu daripada orang lain tetapi dia tidak suka melihat orang itu lebih tinggi daripadanya. Maka, kita hendaklah mengetahui bahawa ketiga-tiga bahagian cara itu adalah dilarang bagi setiap muslim.

Adapun sesama Mukmin haruslah diibaratkan sebagai satu tubuh dalam hal saling mengasihi dan menyayangi, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, diriwayatkan dari Nu’man bin Bisyr, dia berkata, “Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Orang-orang mukmin dalam hal saling menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila ada sebahagian tubuh yang sakit, maka seluruh tubuh tidak bisa tidur dan turut merasakan sakitnya.” Melalui hadis Nabi SAW ini, kita dapat mengetahui bahawa cinta ini merupakan satu penyatuan antara jiwa dengan jiwa yang lain kerana adanya keserasian. Jika air bercampur dengan air, maka keduanya sukar dipisahkan seperti mana cinta antara manusia. Seseorang akan menderita kerana penderitaan yang lain dan yang lain akan sakit kerana yang lain sakit tanpa disedarinya.

Di samping itu, Allah Taala memuliakan mereka yang saling mencintai dan bersahabat kerana Allah Taala. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda, “Pada hari kiamat Allah berfirman: Di manakah orang-orang yang saling mencintai kerana keagunganKu? Pada hari yang tiada naungan selain naunganKu ini, Aku menaungi mereka dengan naunganKu”.

Begitu juga dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abdullah bin Amru Al-Ash dari Nabi SAW, Baginda bersabda: “Barangsiapa yang ingin agar dirinya dijauhkan dari api neraka dan dimasukkan ke syurga, maka hendaklah saat dia menemui ajalnya dalam keadaan beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, dan dia memberikan kepada manusia sesuatu yang dia suka hal itu diberikan kepadanya.”

Sebagai pengakhiran, sesungguhnya cinta ini adalah fitrah bagi setiap manusia di dunia ini dan setiap orang pasti ingin dicintai dan mencintai. Jadi, perasaan cinta dan kasih sayang itu hendaklah dididik ke arah jalan yang betul, tepat dan benar mengikut apa yang diperintahkan oleh Allah Taala dan Rasul-Nya. Benarlah bahawa tiada jalan lain untuk merealisasikan individu Muslim yang inginkan kejayaan dan mendapatkan kemuliaan di dunia dan di akhirat melainkan dengan mengikut dan menyelusuri jalan syariat agama Islam berdasarkan acuan Al-Quran dan As-Sunnah. Melalui jalan ini sajalah, pembentukan individu Muslim yang mempunyai sikap penyayang, aman dan harmoni dapatlah diterjemahkan dengan sebaiknya.

BACA:  Jangan Buat 5 Benda Ni Pada Bayi Sebelum Masuk Tidur!

MAKNUNAH BINTI TAIB
PENUNTUT UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA (USIM)
FAKULTI PENGAJIAN BAHASA UTAMA
BAHASA ARAB DAN KOMUNIKASI

By: MAKNUNAH BINTI TAIB

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

2 Comments

  1. Tip Elak Gangguan Jin

    Perlu ditekankan juga betapa pentingnya perlaksanaan undang-undang Islam, kerana undang-undang lapuk ciptaan manusia tidak dapat menyelesaikan segala masalah jenayah bahkan semakin teruk.

  2. Tetapi sekarang orang mudah berprasangka buruk terhadap sesuatu perkara .. Tidak semua yang kita lakukan sama seperti orang lain..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!