Ibadah, Travel

Cabaran-cabaran Untuk Menjadi Seorang Mutawwif

Tidak ramai orang mahu berkongsi sisi-sisi ‘gelap’ dan ‘sukar’ dunia mutawwif. Yang banyak dikongsikan, hanya keseronokan menjadi mutawwif.

Selain mendapat upah, diberikan kerusi percuma beribadah ke tanah suci. Jika ada peluang, diberikan pula kesempatan ziarah dan melancong.

Semuanya serba seronok sahaja. Jarang sangat mutawwif bercerita tentang kesusahan zahir, apatah lagi kesusahan batin yang ditempuhi. Kerana orang mudah memandang serong seolah-olah mutawwif tidak pandai bersyukur.

Sisi Sukar Mutawwif?

Malam ini hati saya resah. Terlihat beberapa sisi aib dalam video sahabat mutawwif kongsikan.Sedih kerana ada sahabat sedang diuji dengan dunia. Resah kerana bimbang kita terpijak jerangkap sama.

Saya teringat video yang saya tonton baru-baru ini. Ia mengandungi 5 pesanan penting daripada Kiyai Haji Abd Somad LC, sosok pendakwah mirip Ustaz Azhar Idrus, namun milik Indonesia.

Beliau memperingatkan mutawwif supaya sentiasa bersyukur atas ruang dan peluang yang Allah kurniakan kepada mutawwif, seperti peluang berbakti kepada tetamu Allah dan tetamu Rasulullah S.A.W.

Rezeki bertamu selalu ke rumah Allah dan paling penting kesempatan diampunkan dosa dan dimakbulkan hajat. Berapa banyak orang kaya dan sihat, tapi tidak pernah sempat datang ke Tanah Suci.

Dalam menjadi pekhidmat tetamu Allah, kata beliau, jadikan peluang ini sebagai amal soleh. Jangan datang kerana dunia, kerana akhirat pasti melayang. Datanglah kerana ingin membimbing tetamu Allah, pasti dunia akan datang kepada kita.

Beliau turut memperingatkan supaya mutawwif menjelaskan sesuatu itu dengan ilmu, lengkap semuanya dengan ilmu hukum hakamnya, dan jangan sekali-kali berbohong. Jika tidak tahu, tanya ahlinya yang lebih tahu.

Begitu juga katanya, jangan sampai terlupa, dalam pendapatan sebagai mutawwif ada harta yang perlu dizakatkan. Antara caranya adalah mengumpulkan zakat sesama mutawwif dan membangunkan sebuah sekolah mutawwif di tanah air.

BACA:  Rahsia Ilmu Tasawwuf

Terakhir pesanan beliau paling penting, jangan sombong dengan kurniaan Tuhan ini. Kerana orang yang selalu hadir ke Tanah Suci akan mula terbiasa dan lali dengan keistimewaan Tanah Suci.

Ujian Sebagai Mutawwif

#1- Ujian Hati

Bagaimana dia dapat menjaga hatinya supaya tidak ikhlas dan tidak riyak, iaitu daripada memperlihatkan amalannya kepada orang.

Sekarang ini media sosial boleh memaparkan segala mak nenek sumber media, audio, video, teks, visual, malah lintas langsung. Justeru, bagaimana si mutawwif dapat menjaga dirinya daripada berasa riyak, berbangga dengan status mutawwif atau berlagak dengan amal ibadah yang dilakukan?

Jika hatinya tidak berhati-hati, pasti dia akan terjerumus dan segala amalannya punah ranah. Nauzubillahi min zalik.

Ya Allah, peliharalah hati kami selalu. Ujian ini adalah ujian paling besar, Ya Allah.

#2- Ujian Kekayaan

Sebagaimana kata guru kami, Al-Fadhil Ustaz Lokmanul Hakim Hanaffi;

Allah tidak akan menjadikan orang yang pergi umrah dan haji itu miskin. Pasti ada kekayaan yang Allah akan kurniakan kepada semua mu’tamir dan semua hujjaj.

Betapa tidak, sedangkan doa yang dipanjatkan sekali sahaja pun Allah akan tunaikan, apatah lagi jika doa itu diulang-ulang dalam setiap tawaf dan saie?

Dalam setiap trip umrah yang berkali-kali dalam setahun? Nah, inilah cabarannya bagi seorang mutawwif.

#3- Amanah Membawa Agama

Orang yang tiada, ujiannya berkisar tentang mengadakan. Orang yang ada-ada, ujiannya berfikir tentang menggandakan. Kalau orang sudah ada satu gunung emas pun, dia pasti mahu yang kedua.

Peluang bisnes, murah rezeki, penghasilan meningkat, semua itu adalah ujian yang mula datang kepada mutawwif, saat dia mula melangkahkan kaki menjadi perkhidmat tetamu Allah.

BACA:  Buat Perindu Bumi Al-Haramain

Perlu kita ingat, setiap kekayaan datang sebagai rizq (rezeki). Tapi ia juga boleh datang dengan risk(risiko). Maka kita perlu tapis rezeki kita. Yang mana mendatangkan risiko ukhrawi, walaupun rezeki duniawi tinggi, kita tapis siap-siap.

Mohonlah dengan sangat kepada Allah, agar kita tidak menjadi penunggang agama. Biarlah agama yang menunggang dan memacu kita sebagai tentera Allah.

#4- Ujian Kesabaran

Ujian seterusnya, mutawwif akan dididik untuk banyak bersabar. Sabar itu satu perkataan semudah memperkatakannya kepada orang yang baru ditimpa musibah, namun sesusah memperingatkannya kepada diri sendiri tatkala kita sendiri diuji musibah.

Ada ramai kawan mutawwif, pernah diuji dengan pelbagai ujian dalam satu trip. Bermula masalah jemaah tersangkut, flight delay, jemaah mengamuk, jemaah sakit, jemaah meninggal, jemaah hilang pasport dan pelbagai rencam ujian lagi.

Itu tidak termasuk ujian lazim dalam trip, tidak cukup tidur, keletihan melayan jemaah dan menguruskan perjalanan, kesibukan beribadat, berprogram dan pelbagai lagi rutin.

Itu ujian zahir, belum ujian batin. Orang yang selalu melihat kesenangan, tentu lambat laun hilang keterujaannya kepada kesenangan itu. Yang selalu bertamu ke ranah suci, pasti sedikit demi sedikit kurang terujanya. Kecuali yang benar-benar ikhlas.

Tidak sedikit juga yang mengeluh. Cuma, janganlah mengeluh di hadapan jemaah. Mengadulah kepada Allah, moga-moga Allah akan kuatkan kita dan hilangkan segala keletihan kita.

Biar kita berpeluh kerana membantu jemaah beribadah, jangan berpeluh kerana menjawab soalan Allah di akhirat kelak!

Setiap hari dalam trip adalah ujian. Cuma kadang-kadang kita mati rasa akibat kesibukan, atau kekurangan amalan yang membolehkan kita sedar tentang ujian itu.

#5- Istiqamah Di Jalan Allah

Dan ujian yang paling berat atas semua ujian di atas adalah istiqamah. Sesudah hijrah, dan berubah, berapa lama kita dapat bertahan dalam zon hijrah.

BACA:  Cara Solat Sunat Gerhana Bulan

Bagaimana jadual Allah latih kita sepanjang dalam trip? Mampukah kita kekal istiqamah dengan jadual itu sehingga akhir hayat?

Surah Hud dan adik-beradiknya telah membuatkan Rasulullah beruban rambutnya. Dalam surah Hud, ada satu ayat yang paling sukar dan paling susah nak amalkan. Ya, ayat menyuruh kita untuk istiqamah. Fastaqim kama umirta. “Kekallah kamu sebagaimana kamu diperintahkan.”

“Benar, istiqamah itu berat. Jika ia ringan ia tidak dinamakan istiqamah. Itu adalah istirehat!

Ya Allah yang Maha Memperjalankan hamba-Nya, permudahkanlah urusan ibadat kami. Lancarkanlah segala perjalanan kami menuju-Mu. Jadikan umrah kami asbab hidayat kepada seluruh alam dan asbab kami menerima cahaya mahabbah Rasul.

Ya Allah yang Maha Memahami kelemahan kami. Jadikanlah kami hamba-Mu yang sentiasa berkhidmat untuk tetamu-Mu, Ya Allah.

Ya Allah, jangan biarkan kami diuji dengan kami bergantung kepada diri sendiri. Kerana kami tak mampu menanggung ujian, kiranya kami berpaut pada diri kami sendiri walaupun sekadar kerdipan sebelah mata.

Ya Allah terimalah umrah kami. Terimalah amalan kami. Terimalah kami sebagai hamba-Mu. Terimalah kami sebagai umat Nabi-Mu. Ameen.

 

Sumber: Tazkirah.net 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *