Kesihatan

Bukaan 4cm, Ada Tanda Darah, Untungnya Doktor Tetap Jaga Solat Ibu Bersalin Ini


Ibu bakal bersalin ini sudah menunjukkan tanda-tanda melahirkan bayi dalam kandungan. Sudah ada tanda darah dan bukaan 4cm. Doktor perlu bantu ibu ini pecahkan air ketuban untuk melancarkan proses kelahiran.

Tiba-tiba doktor teringat sesuatu. Bertanyakan sama ada pesakitnya itu sudah solat Zuhur atau sebaliknya. Rupanya ada asbab yang bakal terjadi dalam perjalanan bersalin wanita itu.

Inilah yang dikongsikan Dr Nur Hanisah, seorang pegawai perubatan yang bertugas di negeri Kelantan yang menyaksikan sendiri kebesaran Ilahi mengenai wanita mengandung dan solat.

Doktor Tetap Jaga Solat Ibu Bersalin Yang Dah Keluar Tanda Darah
Doktor bercakap kepada pesakit.

“Puan, kita nak tolong pecahkan air ketuban ya. Sebabnya, kita nak bila pecah, kepala baby mudah turun. Jalan pun makin buka nanti.”

Dia mengangguk.

Sebelum doktor sempat memasukkan jari, matanya mengerling ke arah jam pada dinding. Kemudian memandang wajah pesakit yang sedang berbaring. Rupanya dia teringat sesuatu.

“Eh. Puan dah solat zuhur?”

Pesakit itu menggeleng.

“Oh. Puan solat dulu lah kalau macam tu. Saya buat lepas puan solat, boleh?”

Berkerut dahi pesakit yang sememangnya sudah sarat untuk bersalin.

“Boleh qadha’ nanti kan, doktor?”

Doktor terdiam sejenak.

“Oh. Hmm. Tapi selagi puan belum bersalin lagi, kira wajib lagi untuk solat, puan. Lagi pun, puan baru 4cm ni.”

“Tapi tadi dah keluar darah, doktor. Boleh ke solat?”

Terukir senyuman di bibir doktor itu.
“Boleh… Tak ada masalah.”

“Nak ambil wudhu’ macam mana doktor?” Soal dia lagi. Kurang yakin dengan arahan yang didengari. Asing barangkali.

“Kat sebelah ni ada toilet. Boleh ambil wudhu’. Lepas tu, boleh solat kat tepi katil ni je. Kalau tak larat, solat atas katil sambil duduk pun boleh.” Doktor tetap cuba meyakinkan lagi dan lagi.

BACA:  7 Doa Pendek Yang Dapat Menghilangkan Stres, Sedih, Dan Gelisah

Puan Ambil Wudhu Pakai Spray Ya..
Pesakit itu sudah mula duduk. Tapi masih tidak berganjak daripada katil. Riak wajahnya kelihatan teragak-agak. Entah apa yang bermain dalam fikirannya.

Doktor yang seakan memahami, menyoal sekali lagi.

“Sakit kuat ya, puan?”

Dia mengangguk.

“Ok. Tak apalah kalau macam tu. Kita ambil wudhu’ pakai spray je. Sekejap puan, ya.”

Doktor berlalu keluar daripada langsir yang menutupi katil pesakit itu tadi. Dia mendekati misi yang sedang sibuk menulis di atas meja.

“Kak, patient ni nak solat. Ada spray wudhu’ tak kat sini?”

“Ada, doktor. Kejap. Kak pergi ambil.”

“Telekung dengan sejadah ada, kak?”

“Ada. Doktor pergi ambil kat almari dalam bilik tu,” tuding dia ke arah satu bilik lain pula.

“Ok. Terima kasih, kak.”

Sampai Basah Baju Doktor Bantu Ibu Bakal Bersalin Wudhu
Sudahnya, doktor sendiri membantu pesakit itu untuk mengambil wudhu.

“Kesian doktor. Basah baju doktor.”

“Eh tak apa. Sikit je ni.”

“Saya tak pernah lagi ambil wudhu’ macam ni.”

“Yeke? Takpe, takpe. Kita belajar sama-sama.” Senyum doktor itu sambil galak menekan spray, mengenakan air pada setiap anggota wudhu’ pesakit.

“Puan kalau tak boleh solat duduk, solat sambil baring pun tak apa. Kiblat arah sana, ya. Doa banyak-banyak. Minta Allah mudah proses bersalin.”

Sebelum doktor beredar, sempat lagi dia berpesan,

“Oh ya, puan. Jamak sekali ya solat Zuhur dengan Asar. Buat empat rakaat, empat rakaat.”

“Baik, doktor.”

Dan akhirnya, satu gambaran suasana yang cukup indah berlaku di hadapan mata saya.

Pesakit yang tadinya ragu, kemudian terbaring di atas katil dengan badan yang dibaluti telekung putih.

Subhanallah. Mudah-mudahan, solat itu menbuahkan khusyuk buat dirinya. Mungkin solat itu juga yang paling bermakna dalam seumur hidupnya.

BACA:  Awas!! Inilah 4 Kesan Negatif Tidur Selepas Sahur

MashaaAllah!

Saya yang menyaksikan kejadian pada hari itu berasa begitu terharu. Jarang jumpa doktor yang betul-betul menitikberatkan soal solat pesakit.

Mungkin boleh kata, tak pernah dijumpa. Tetapi rupa-rupanya, masih ada.

Ya Allah. Rahmatilah dirinya. Jadikanlah dia seorang doktor yang bermanfaat buat ummat. Jadikanlah lebih ramai doktor yang arif dan cakna tentang solat.

Doakan saya juga, agar dapat menjadi salah seorangnya.

Waktu Pesakit Sedang Alami Kontraksi..
Selepas pesakit itu siap solat, doktor menghampirinya semula.

“Alhamdulillah. Siap solat dah… Kita buat pecah air ketuban ya, puan?”

Dia tersenyum sambil menjawab, “Ok, doktor.”

Doktor mengambil amniotic hook. Alat yang digunakan untuk memecah selaput air ketuban. Pada hujungnya, terdapat sedikit lengkongan kecil yang agak tajam.

Matanya tertancap pada skrin monitor yang mencatat peratus kontraksi yang sedang terjadi.

“Perut tengah mengeras ke puan?”

Pesakit itu memejamkan mata, mengerutkan muka.

“Nanti bila dah berhenti mengeras, beritahu ya. Baru saya pecahkan.”

Ada risiko berlaku amniotic embolism sekiranya prosedur dijalankan semasa pesakit sedang mengalami kontraksi.

Kerutan di dahi pesakit mulai hilang.

“Dah tak sakit ya? Ok puan. Baca bismillah ya…”

Doktor mula memasukkan hujung batang plastik sepanjang dua jengkal itu perlahan-lahan.

Pup!

Empangan air ketuban mula pecah. Air keruh kehijauan merembes keluar daripada bawah.

Bayi Dah Terberak Dalam Perut, Kertas Graf Tunjukkan Bayi Lemas
Doktor masih kekal dengan raut wajah tenangnya.

“Puan, air ketuban ni dah ada najis. Maksudnya baby dah terberak dalam perut. Puan banyakkan zikir, banyakkan berselawat ya.”

Pesakit itu mengangguk. Bibirnya mula terkumat-kamit membaca zikir.

Mesin CTG yang berfungsi merakam denyutan jantung bayi dipasang. Selepas beberapa minit, terbukti pula pada kertas graf yang menunjukkan bahawa bayi betul-betul lemas.

Doktor memeriksa semula bukaan ‘jalan’. Sekiranya masih belum habis terbuka, kemungkinan besar perlu melakukan pembedahan segera.

BACA:  Selalu pasang aircond ketika anak tidur? Tak sangka bahaya sampai anak kena bedah

“Ok, puan! Cuba teran!”

Alangkah terkejutnya saya apabila mendengar arahan yang keluar daripada mulut doktor. Petanda bahawa ‘jalan’ sudah buka sepenuhnya!

Daripada 4cm tadi, terus laju menjadi 10cm!

Walhal selogiknya, dia mungkin memakan masa lagi 4-6 jam kalau ikutkan jangka pengiraan manusia.

Subhanallah! Sungguh, Allah sebaik-baik permudah segalanya!

Namun, cabaran tidak terhenti di situ.

Ibu Bersalin Ini Terus Diuji..
Rupa-rupanya, dalam proses meneran pula, sekali lagi berlaku cabaran kali kedua. Dia mengambil masa yang agak lama.

“Puan, teran sungguh ya. Jantung baby dah tak comel mana ni,” ujar doktor merujuk kepada kertas graf yang berterusan merakam denyut jantung bayi.

Saya yang berada di sisi pesakit ikut membantu memberi sokongan.

“Teran kuat, puan! Ambil nafas panjaaang… Tahaaan… Lepas tu, teran kuat-kuat! Panjang-panjang!”

Dalam hati, sempat terfikir. Mujur dia sudah menunaikan solat. Risau andai berlaku sebarang mudarat.

“Puan, doktor tak boleh bagi masa lama ya. Jantung baby dah tak comel. Kalau tak boleh juga ni, kita caesar ya.”

Sambil memegang kepala lutut pesakit, saya berdoa dalam diam.

‘Ya Allah, permudahkan proses dia bersalin asbab dia yang telah berusaha menjaga solat tadi, Ya Allah.’

Berdebar sungguh rasanya sementara menanti masa.

Apabila di saat-saat akhir, seorang bayi pun selamat lahir. Merah, aktif dan menangis kuat. Petanda bahawa bayi sihat wal ‘afiat.

Syukur.
Segala puji bagi Allah!

Rupanya, sengaja Allah ciptakan kejadian hari itu untuk saya belajar sesuatu perkara. Rupanya Allah mahu tunjukkan bukti kekuasanNya.

Bahawa, betapa Dia begitu menghargai seorang hamba yang berusaha melakukan apa yang Dia suka.

Ihfazillah, yahfazka.
Jagalah Allah, Allah pasti menjagamu.

Jagalah solat.

In syaa Allah, selamat..

Sumber/Foto : Nur Hanisah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!