General

Bolehkah Menyucikan Benda Yang Terkena Anjing Dengan Sabun Taharah?

Anjing adalah haiwan yang sering dilihat sebagai peneman manusia sejak berkurun lamanya. Dalam masyarakat Melayu lampau, ia juga dipelihara dan dijadikan haiwan buruan atau penjaga tanaman dan rumah.

Semakin berlalu masa, masyarakat Melayu khususnya Islam semakin mengambil cakna tentang hukum menyentuh dan memelihara anjing. Untuk seseorang Muslim memelihara anjing dalam masyarakat Melayu Islam, ia fenomena yang agak jarang dilihat, bahkan menimbulkan keresahan kepada ramai umat Islam.

Hal ini kerana, ia bercanggah dengan ‘uruf dan pegangan Mazhab Syafie yang umum dipakai di negara ini, yang berpegang bahawa jilatan anjing dan seluruh badannya adalah najis berat (mughallazah). Ia berpandukan kepada hadis Nabi SAW yang berbunyi;

Dalam sebuah riwayat daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya: Sucinya bekas salah seorang dari kamu apabila seekor anjing menjilat padanya (bekas tersebut) adalah dengan cara kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali, dan basuhan pertama bercampur dengan tanah – Riwayat Muslim (279)

Kewajipan untuk membasuh di sini menunjukkan bahawa jilatan anjing adalah najis dan perlu disucikan. Sekalipun pandangan Imam Malik dalam hal ini agak berlainan iaitu yang dikira najis hanyalah jilatan anjing sahaja dan bukan bahagian tubuhnya yang lain, namun Imam Syafie berpendapat bahawa – kita tidak tahu bilakah anjing menjilat bahagian tubuhnya yang lain. Dengan itu, sikap hati-hati diambil dengan berpegang bahawa jilatan anjing dan seluruh badannya adalah najis.

Sepertimana yang dikatakan oleh Imam al-Nawawi;

واعلم أنه لا فرق عندنا بين ولوغ الكلب وغيره من أجزائه فإذا أصاب بوله أو روثه أو دمه أو عرقه أو شعره أو لعابه أو عضو من أعضائه شيئا طاهرا في حال رطوبة أحدهما وجب غسله سبع مرات إحداهن بالتراب

BACA:  Bagaimana Jika Ada Kematian Mengejut di Rumah pada Waktu Malam?

Maksudnya; “Ketahuilah, tidak ada perbezaan di kalangan kami antara jilatan anjing dengan selainnya; daripada anggota-anggota anjing. Apabila terkena kencingnya, najisnya, darahnya, peluhnya, bulunya, air liurnya atau mana-mana anggota dari anggota badannya yang bersih ketika ia sedang berada pada keadaan apa sekalipun, maka wajib membasuhnya dengan tujuh kali basuhan dan salah satu daripadanya adalah tanah” (Rujuk Al Minhaj bi Sharh Sahih Muslim, m/s 185)

Justeru, seseorang itu tidak boleh menyentuh anjing secara sengaja tanpa tujuan atau keperluan. Walaupun begitu, masih ada keadaan yang memerlukan anjing disentuh dan dipegang dengan kerap contohnya pekerjaan sebagai doktor haiwan. Malah ada juga golongan pencinta haiwan peliharaan yang melakukan usaha menyelamatkan anjing dan kucing jalanan yang sakit dan cedera serta menyediakan tempat perlindungan bagi mereka.

Bagaimana pula cara yang sepatutnya dilakukan untuk membersihkan pakaian atau anggota badan yang terkena anjing ini?

Apa Itu Sabun Taharah?

Selain daripada tanah, telah ada bahan lain yang turut dicipta bagi memudahkan orang ramai untuk mencuci iaitu sabun taharah. Sabun taharah agak berbeza dengan sabun-sabun yang lain yang dijual di pasaran.

Ia juga dikenali sebagai sabun tanah liat. Sabun ini terhasil daripada campuran tanah liat (iaitu lebih kurang 90 peratus kandungan tanah) dan beberapa mineral semulajadi seperti sodium, kalsium dan potasium.

Bolehkah Sabun Taharah Menggantikan Tanah?

Memetik keterangan daripada laman web Mufti Wilayah Persekutuan, perbincangan tentang hukum menggunakan sabun taharah ini telah digariskan sebagaimana berikut:

“Persidangan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-76 yang bersidang pada 21-23 November 2006 telah membincangkan Hukum Melakukan Samak Najis Mughallazah Menggunakan Sabun Tanah Liat. Muzakarah telah memutuskan bahawa sabun yang mengandungi unsur tanah liat boleh digunakan untuk melakukan sertu (samak) najis mughallazah dengan syarat tanah tersebut suci dan peratusan kandungan tanah dalam sabun melebihi daripada bahan-bahan yang lain serta kaedah samak tersebut dilakukan mengikut syarak.”

BACA:  Khidmat Doula: Apa Kata Mufti?

Caranya sama seperti menggunakan tanah yang biasa, iaitu dengan membasuh tempat terkena anjing (contohnya pakaian atau anggota badan) dengan sekali basuhan sabun taharah, dan seterusnya dibilas dengan air sebanyak 6 kali.

Pihak Mufti Wilayah Persekutuan juga berpegang dengan pendapat bahawa harus menggunakan sabun taharah dalam proses penyucian ini. Penggunaannya dikira memadai dan sah sekiranya sabun tersebut mencapai maksud yang sama dengan penggunaan tanah.

Hal ini juga diputuskan dengan mengambil kira gaya hidup masyarakat moden serta orang ramai yang tinggal di kawasan bandar dan mungkin sukar untuk mendapatkan tanah untuk tujuan sertu. Namun, penggunaan tanah yang asli adalah lebih baik jika ada.

 

Sumber: tzkrh.com 

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *