Ibadah, Tazkirah

Bolehkah Mengedarkan Tabung Masjid Ketika Khutbah Jumaat

Sedekah merupakan perkara mulia yang dianjur untuk dilakukan dalam Islam sama ada kepada sesama penganutnya atau juga bukan Muslim.

Mungkin anda pernah mendengar kata-kata yang pernah diujarkan oleh golongan agamawan mengenai perumpamaan sedekah yang berbunyi;

“Harta yang kamu makan akan menjadi kotoran. Harta yang kamu simpan akan menjadi rebutan dan warisan, namun harta yang disedekahkan akan menjadi saham untuk kamu di akhirat. Itulah harta kamu yang sebenar-benarnya.”

Banyak cara yang boleh dilakukan untuk bersedekah sama ada dengan menyalurkannya kepada mereka yang memerlukan, memberi sedikit wang atau makanan kepada gelandangan yang anda jumpa atau meletakkannya di dalam tabung masjid.

Allah amat suka akan hambaNya yang bersedekah walaupun dengan jumlah yang sedikit, namun jika ia ikhlas maka Allah akan memberikan ganjaran yang setimpal ke atasnya.

Walau bagaimanapun, sedekah itu perlu dilihat bila dan di mana ia dilakukan. Kadang-kadang tular komen-komen di laman sosial seperti Twitter mahupun Facebook berkenaan sedekah dan tabung masjid ketika khutbah hari Jumaat.

Sesetengah masjid mengambil usaha untuk mengedarkan tabung masjid semasa berlakunya ceramah-ceramah agama mahupun ketika khutbah Jumaat.

Walau bagaimanapun, apakah hukumnya mengedarkan tabung masjid ketika berlangsungnya khutbah Jumaat?

Menurut Imam Khatib Asy-Syarbini RA, adab mendengar khutbah ialah dengan menghadapkan muka ke arah imam (kiblat) dengan erti kata lain, diam dan tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang walaupun bercakap.

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَنْصِتْ . وَالإِمَامُ يَخْطُبُ فَقَدْ لَغَوْتَ

Maksud: “Jika engkau berkata kepada sahabatmu pada hari Jumaat “Diamlah, khatib sedang berkhutbah!” Sungguh engkau telah berkata sia-sia.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 851)

Khutbah Jumaat Dan Tabung Masjid

BACA:  5 Tips Mudah Menjadikan Percutian Suatu Ibadah Bersama Keluarga Anda

Berdasarkan hadis di atas, muslim dilarang untuk melakukan perbuatan yang sia-sia semasa khutbah Jumaat walaupun dengan menegur dan menyuruh orang yang bising untuk diam.

Malah, menurut pendapat jumhur ulama’ dan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Mufti Wilayah, haram hukumnya mengedarkan tabung masjid ketika khutbah Jumaat yang diqiaskan (berdasarkan) dengan hadis di atas.

Tambah Mufti Wilayah lagi, pihak masjid boleh mengambil inisiatif lain untuk mengutip derma daripada para jemaah seperti kutipan yang dilakukan sebelum atau selepas solat Jumaat.

Khatib atau imam juga boleh menyampaikan pesanan kepada jemaah berkenaan tabung masjid bagi menggalakkan derma kepada masjid.

Kesimpulan

Sedekah dan derma itu suatu perbuatan yang mulia dan mampu memberi manfaat kepada diri sendiri dan juga orang lain.

Namun, pihak yang meminta perlu mencari inisiatif yang betul untuk menggalakkan jemaah dan muslim bersedekah.

Wallahu a’alam.

 

Sumber: tzkrh.com 

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *