Remaja, Tazkirah

Bertudung menutup aurat atau sekadar berfesyen?

Perkembangan Islam mutakhir ini menyaksikan ramai wanita Muslim memakai tudung. Ini amat menggembirakan kerana mereka  sedar bahawa Allah mewajibkan ke atas wanita Muslim untuk menutup aurat dan ia adalah suatu fardu bagi mereka yang sudah baligh.

Tidak salah bagi setiap wanita untuk mengikuti perkembangan fesyen semasa selagi panduan syarak diutamakan dalam semua keadaan dan mampu mengawal diri supaya tidak melanggar  batasan yang di gariskan dalam Islam terutamanya dalam soal perhiasan dan berpakaian.

Islam juga tidak pernah melarang umatnya untuk berfesyen dan mengikuti aliran fesyen terkini tetapi pastikan setiap wanita yang bertudung menutup aurat keseluruhannya bukan sekadar melepaskan batuk ditangga.

Sebagaimana Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan jangan mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan  tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara mereka yang perempuan, atau perempuan Islam, atau hamba mereka, atau orang gaji dari orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan, janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah An-Nur, Ayat 31).

Namun, dalam keghairahan bertudung mengikut pembangunan fesyen semasa, masih terdapat segelintir wanita Muslim yang alpa mengenai aurat sehingga menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan umat Islam. Kini, pelbagai fesyen tudung dipakai mengikut proses transformasi dan permodenan semasa. Namun, pemakaiannya masih dianggap tidak sempurna jika masih menampakkan bahagian leher dan dada. Menutup aurat bukan sekadar jika kepala sudah kemas diliputi tudung sudah dikira menutup aurat tetapi wajib menutup seluruh badannya kecuali pada bahagian muka dan kedua-dua tapak tangan.

Seseorang yang masih tidak dapat diiktiraf sebagai menutup aurat iaitu wanita yang berpakaian tetapi dilihat “bertelanjang”. Hal ini kerana, masih ramai wanita bertudung tetapi mengenakan pakaian ketat dan nipis hingga menampakkan bentuk atau susuk badannya dan mampu menaikkan nafsu syahwat lelaki yang bukan mahram melihatnya. Jika ada sekelumit perasaan megah dan bangga diri dengan apa yang dipakai saban itu turut mengudang dosa.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka. Aku belum pernah melihat mereka iaitu golongan yang mempunyai cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang dan golongan kedua adalah para wanita yang berpakaian tetapi telanjang, berlenggang-lenggok ketika berjalan, menarik perhatian orang yang melihat mereka. Kepala mereka bagaikan bonggol unta yang senget. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak dapat mencium bau wanginya.” (Riwayat Muslim).

Dalam isu pemakaian tudung, ia bukan sekadar berfesyen atau budaya untuk dijadikan ikutan semata-mata tetapi demi menjaga maruah mereka sebagai wanita Islam. Jika wanita itu berpakaian dengan sempurna pasti dapat mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan mungkar.

Oleh itu, setiap wanita bertudung perlu segera membetulkan prinsip dan niat mereka bertudung hanya kerana Allah serta menunaikan tanggungjawab sebagai hamba-Nya. Jika mereka sentiasa mengikut syariat setiap masa memakainya dikira sebagai ibadah. Setiap perkara yang diperintahkan itu pasti mempunyai hikmah dan ganjaran daripada Allah.

Antara hikmah menutup aurat ialah dapat menjaga maruah dan kehormatan diri serta menutup peluang orang lain terbabit dengan dosa akibat melihat aurat yang sengaja didedahkan. Wanita juga diperintahkan Allah SWT untuk menutup aurat dengan sempurna untuk membezakan antara wanita Islam dan kafir. Bertudung juga merupakan identiti wanita Islam sebagai suatu benteng untuk melindungi kehormatan diri. Sebagaimana yang kita tahu, harga diri setiap wanita sangat tinggi nilainya. Disebabkan itulah, Allah memerintah seseorang wanita yang sudah baligh wajib menutup aurat sehingga menutupi seluruh badannya kecuali pada bahagian muka dan kedua-dua tapak tangan.

Namun, apa yang ditonjolkan oleh golongan wanita pada hari ini masih tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan syariat Islam. Oleh itu, setiap wanita Muslim perlu mengambil serius perkara ini supaya mereka terlepas daripada fitnah pandangan lelaki bukan mahram selain menjaga maruah wanita Muslim. Wanita juga perlu mengelak daripada berhias atau berpakaian secara berlebih-lebihan (tabarruj) sehingga menarik perhatian orang ramai.

Zila Ismail

10 Comments

  1. Tip Elak Gangguan Jin

    Assalamualaikum,

    Pandangan saya di sini ialah apa yang saya lihat dari segi realitinya masih banyak lagi golongan wanita yang memakai tudung hanyalah kerana berfesyen, bukan kerana sedar akan tanggungjawab sebagai muslimah untuk menutup aurat.

    Saya beranggapan kadang-kadang golongan wanita sebeginilah yang mencacatkan imej wanita Islam yang lain yang benar-benar menutup aurat.

  2. Salam,

    Akibat kurang didikan dan ilmu, maka jadilah tudung sebagai fesyen semata. Memang tak dinafikan pengaruh media amat kuat dalam mempengaruhi golongan remaja terutamanya dan samalah pentingnya pengaruh ibu bapa dalam menangani masalah ini.

    Pandang sekeliling pada ibubapa yang menjadikan tudung hanya sebagai fesyen, anak-anak remaja perempuan mereka mungkin dengan fesyen yang sama atau tidak bertudung terus, dan bandingkan dengan ibubapa yang menjadikan tudung sebagai penutup aurat mereka, bagaimana keadaan pakaian anak-anak remaja perempuan mereka?

  3. Alhamdulillah telah ramai wanita memakai tudung sebagai mengikut perintah Allah. Tatapi kita jagan terlalu mengharapkan mereka terus-terus menjadi wanita yang betul-betul sedar dan bertanggungjawab sebagai muslimah untuk menutup aurat. Keberanian dan keiginan untuk meletak tudung diatas kepala semasa berada diluar sudah cukup sebagai permulaan. Kerana untuk jadi wanita muslimah yang sejati mengambil masa juga. Dakwah yang berterusan dan kesabaran akan membuahkan hasil yang baik..InsyaAllah.

    1. saya setuju dengan pandangan anda.. dengan memakai tudung memulakan satu titik permulaan kpd mereka untuk mengikut syariat agama. teguran secara membina adalah diperlukan berbanding dengan mengata mereka..InsyaAllah satu hari nnt hati mereka terbuka untuk memakai tudung mengikut tuntutan Islam. sama-sama lah kita mendoakan yang terbaik untuk mereka. InsyaAllah.

  4. Tudung menyebab wanita hodoh, seram dan tidak selesa. Kecantikan wanita bukankah ditakdirkan kenapa harus dihodohakan? Kejadian jenayah terhadap wanita bukan salah wanita yang salah ialah penjahat sendiri ada niat jahat.

    1. jika anda seorang Islam, berfikirlah sebelum berkata2/menulis. Jgn smpi melihatkan kejahilan dan kedangkalan pemikiran diri sendiri. Berkata berdasarkan ilmu dan iman dan bukan hanya sekadar pandangan semata.

    2. Apakah anda expect penjenayah itu mampu mengawal nafsu setelah melihat “kecantikan” wanita yang tidak harus “dihodohkan” tersebut?

  5. Nafsu adalah semulajadi manusia. Seperti ada orang yang tak dapat menahan hisap rokok kerana kekuatan menahan nafsu yang lemah. Jika dunia ini manusia tak dapat menahan nafsu pasti gejala jenayah akan tak habis-habis. Menahan nafsulah boleh menjadi dunia ini aman dan damai.

    1. Menutup aurat juga salah satu cara untuk menolong kaum lelaki mengawal nafsu mereka dan menahan pandanagan. Sebab tu dalam islam disuruh menundukkan pandangan. Setiap apa yang disuruh oleh agama ada kebaikakkanya dan setip apa yang diperintahkan Allah ada hikmatnya. Kita sebagai hamba wajib menurut perintah Allah dan bukan urusan kita untuk mempertikaikan apa yang telah ditetapkan olehNya. Lain kali berfikir dulu sebelum menulis.

  6. Indah nurin ramadhany

    Bolehlah mengikuti fesyen, namun dibarengi dengan kesadaran sebagai muslimah yang bertanggung jawab bahwa wanita itu harus benar2 menutup aurat…bukannya sekarang tutup kemudian besok buka lagi…astagfirullah….

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *