Keluarga

Berhentilah Dari Menjadi Isteri Dan Ibu Sempurna

Puan Najibah Mustaffa, isteri dan juga ibu kepada empat orang cahayamata dan usahawan De’Xandra berkata;

“Perempuan apabila tenang dan gembira, dia sangat comel macam teddy bear atau Hello Kitty. Tetapi apabila penat dia akan jadi orang lain. Kadang tu boleh jadi seperti singa mahupun hantu Kak Limah.”

Terhibur saya membaca perkongsian Puan Najibah Mustaffa di dalam facebook beliau. Semasa artikel ini ditulis, yang bertajuk Berhentilah Jadi Isteri dan Ibu Sempurna, Jadilah Bahagia, mendapat 13 ribu likes dan hampir 13 ribu perkongsian.

Ini menunjukkan betapa dekatnya isu ini kepada para wanita di luar sana. Dalam menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu, para wanita sentiasa mahu berikan yang terbaik dan jika boleh, mahu mencapai tahap sempurna.

Ya, tidak salah untuk berniat begitu. Namun, dalam mendambakan kesempurnaan, adakalanya isteri dan ibu ini mengabaikan diri sendiri.

Adakalanya mereka keliru di antara hak, yang sepatutnya mereka terima dan tanggungjawab yang wajib mereka tunaikan.

Akibatnya, mereka ini berjuang sehabis-habisnya di dalam medan rumah tangga yang sepatutnya dikendali oleh para suami.

Maka lahirlah gelaran ‘superwoman’ dan ‘supermom’ iaitu isteri kuat yang mendominasi bahtera keluarga dalam semua perkara seperti nafkah, melayan anak-anak dan hal-hal urusan domestik (mencuci, mengemas, selenggaraan rumah). Lama kelamaan isteri kuat ini akan kepenatan dan tertekan.

Untuk mengelakkan isteri daripada berasa penat dan tertekan, Puan Anie-Alja dalam bukunya Filosofi Mak Singa mengesyorkan agar para wanita tidak semestinya kena kuat tetapi perlu bijak. Ada 5 tip untuk isteri menjadi bijak mengurus keluarga;

#1- Mengetahui Nafkah Letaknya Di Bahu Suami

Suami wajib memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak mengikut kemampuan masing-masing sekalipun isteri itu berkerjaya dan berpendapatan lebih tinggi daripada suami.

BACA:  Hebatnya Sifat Pengasih yang Dimiliki Rasulullah SAW Sebagai Seorang Suami

Hal ini telah dinyatakan di dalam hadis Nabi S.A.W. Daripada Hakim bin Muawiyah, daripada ayahnya Muawiyah bin Haidah, ia bertanya kepada Rasulullah S.A.W;

“Ya Rasulullah, apakah hak isteri ke atas kami? Sabda Rasulullah SAW: Hendaklah engkau memberi makan kepadanya apabila engkau makan dan hendaklah memberi pakaian kepadanya seperti mana engkau berpakaian.”
Hadis Riwayat Abu Daud dan al-Nasa’i

Seorang suami yang tidak melunaskan tanggungjawab ini adalah dianggap berdosa kerana tidak menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah sebagai ketua keluarga. Inilah kelebihan kaum lelaki yang diangkat oleh Allah S.W.T dalam;

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ

“Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita)”
Surah an-Nisa’:34

Kelebihan ini bukan sahaja menjadi simbol jati diri untuk seorang lelaki malah lelaki beroleh rasa hormat daripada isteri dan anak-anak sebagai pemberi nafkah.

Isteri kuat akan mengambil alih tugas suami. Beban ketua keluarga itu dipikul oleh isteri menyebabkan suami akan rasa tercabar atau suami seperti tiada fungsi. Isteri bijak sedar akan kemampuan suaminya.

Jika suami kurang mampu, si isteri akan sama-sama mengukuhkan ekonomi rumahtangga dengan bekerja. Isteri reda dengan sumbangannya dalam keperluan nafkah tersebut tanpa mengurangkan rasa hormat kepada suami.

#2- Urusan Kerja Rumah Ialah Tugas Ahli Keluarga

Delegate and empower. Isteri bijak akan mengagih tugas domestik kepada suami dan anak-anak mengikut keperluan dan keupayaan mereka.

Anak-anak remaja yang sudah boleh berdikari, disuruh mengurus pakaian dan mengemas bilik sendiri. Anak-anak yang masih kecil boleh dilatih untuk mengemas barang permainan setelah habis digunakan.

Begitu juga halnya di meja makan, didiklah anak-anak untuk meletakkan pinggan di dapur selepas makan, meja makan dikemas, kerusi dirapatkan dan pinggan dibasuh. Kesemua kemahiran kendiri ini dilatih supaya anak-anak ini boleh berdikari dan mampu meneruskan kehidupan tanpa menyusahkan orang lain.

BACA:  Kelebihan Amalan Zikir Fatimah Untuk Wanita Kurangkan Kepenatan Urus Rumah Tangga

Isteri kuat akan membuat segala kerja rumah seperti memasak, mencuci, mengemas, hatta lampu dan sinki tersumbat pun mahu dikuasai.

Fikir isteri, tanpa mereka, rumah tangga akan berhenti berfungsi. Akibatnya, suami menjadi pemalas, anak-anak pula cetek ilmu dalam hal-hal urusan kendiri.

#3- Jaga Maruah Suami

Seorang isteri yang kuat akan membuktikan dirinya ‘superior’. Rasa kuat itu perlu supaya dirinya dihargai oleh orang sekeliling. Penghargaan manusia menjadi tumpuan utama.

Suami dianggap sebagai pesaing. Lebih malang, peranan suami diperlekehkan. Berbeza dengan isteri yang bijak, maruah suami dijaga dengan baik.

Kelemahan suami tidak digembar-gemburkan malah isteri sentiasa berusaha untuk memperbaiki dirinya sendiri dan suami.

Jarang juga isteri ini memuji suaminya kerana faham akan ketidaksempurnaan suaminya. Yang terserlah ialah sikap saling bertolak ansur dan bekerjasama di antara pasangan suami isteri ini.

“A husband and wife must function like two wings on the same bird. They must work together or the marriage will never get off the ground.”
Dave Willis

#4- Elak Bersaing Dengan Mertua

Kata Puan Anie-Alja, dalam hal masakan, ramai isteri merajuk dan memendam rasa disebabkan suami sentiasa membandingkan masakan isteri dengan si ibu.

Isteri kuat, akan mengambil peluang ini untuk membuktikan dia boleh menyediakan hidangan sama seperti ibu mentua. Sikapnya yang superior memberinya akses untuk mengungguli cabaran ini.

Namun, satu hal yang seorang isteri itu perlu tahu, air tangan ibu tiada tandingannya. Maka berhentilah mencipta persaingan yang tidak berbaloi ini. Ini hanya akan memenatkan si isteri.

Lagipun, seorang suami yang rasional tidak akan pernah membandingkan masakan isteri dan ibu. Isteri yang bijak, akan mencipta rasa ‘air tangan’ sendiri.

BACA:  Rezeki Bocor Bila Ibu Bapa Pentingkan Diri

Isteri yang bijak akan fokus kepada masakan yang ibu mertua tiada pengetahuan tentangnya. Jika suami teringin menikmati masakan ibunya, ajaklah suami balik ke rumah mentua.

#5- Hartamu Adalah Hartaku Jua

Dalam bab harta, isteri yang bijak akan bersama-sama dengan suami dalam merancang masa depan yang lebih terjamin.

Dalam urusan pembelian hartanah atau saham misalnya, nama suami dan isteri diletakkan bersama-sama. Dalam KWSP contohnya, nama isteri atau anak-anak diletakkan sebagai penama.

Isteri yang kuat akan mencari harta sendiri. Baginya, duit yang diperolehi adalah kekayaan mutlak untuk diri atau keluarga isteri sahaja. Ini amat membahayakan kerana suami akan mula berprasangka.

Isu ini amat dekat di hati saya kerana saya pernah melalui fasa penat yang serupa. Wanita ini diibaratkan seperti air. Air sifatnya tenang dan menyejukkan.

Namun, jika wujud gangguan atau berlaku ketidakseimbangan, air yang tenang itu tadi boleh bertukar menjadi deras dan ganas. Empang yang kukuh boleh pecah dan runtuh.

Pesanan saya kepada para isteri, tolong niat untuk jadi isteri dan ibu yang bijak. Bukan ‘superwoman’ yang mampu serba-serbi, sanggup menggalas tanggungjawab yang sepatutnya dipikul oleh suami.

Bukan juga ‘perfectionist’ yang menafikan hak suami dan anak-anak dalam urusan domestik, atas alasan tidak mengikut standard dan KPI. Delegate and empower.

Sebabnya, Kita dah penat untuk jadi penat. Dan para suami, Tolong peka dengan emosi isteri. Apabila isteri mengadu penat, she means it well. Jangan sampai air yang disangka tenang, mengganas menjadi tsunami. Berhati-hatilah.

 

Sumber: Tazkirah.net 

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *