Keluarga

Bercakaplah Dengan Anak Walaupun Mereka Belum Pandai Bertutur

Pakar terapi pertuturan (speech and language therapist) baik di dalam mahupun luar negara banyak berkongsi tentang masalah kelewatan pertuturan (speech delay) di kalangan kanak-kanak masa kini.

Ramai daripada kita yang mengaitkan peningkatan masalah ini dengan penggunaan gajet di kalangan kanak-kanak dari usia yang terlalu awal.

Dalam apa jua hal, gajet tidak seharusnya dipersalahkan kerana ibu bapalah yang sepatutnya mengawal gajet bukannya membiarkan gajet mengawal kehidupan seharian anak-anak kita.

Perkembangan pertuturan, bahasa dan komunikasi kanak-kanak berkembang dengan sangat pesat dari usia lahir sehinggalah usia 5 tahun.

Perkembangan ini sangat dipengaruhi oleh kuantiti dan kualiti interaksi dan komunikasi di antara ibu bapa dan anak pada usia awal ini.

“Tapi anak saya belum boleh bercakap, takkan saya nak cakap dengan dia?”

“Kalau saya beri anak saya gajet,beri tengok tv, banyak benda yang dia boleh belajar walaupun dia belum bercakap.”

Kenapa Perlu Bercakap Dengan Anak Yang Belum Bertutur?

Dari kajian* longitudinal yang dibuat oleh Rowe (2012) ke atas 50 orang kanak-kanak yang berusia 18,30,42 dan 54 bulan didapati bahawa:

#1- Kosakata yang dimiliki oleh kanak-kanak pada usia 30 bulan (lebih kurang 2.5 tahun) dipengaruhi oleh jumlah perkataan yang digunakan oleh ibu bapa ketika bersama dengan anak setahun sebelumnya.

Ini bermakna jika ibu bapa mahukan supaya anak mempunyai banyak kosakata untuk digunakan dalam pertuturan, ibu bapa perlulah banyak bercakap dengan anak walaupun anak masih belum bercakap ketika usia 1-2 tahun.

Biar anak mendengar perkataan-perkataan yang anda gunakan untuk diajuk dan digunakan kemudiannya.

Ingatlah, kesan interaksi di antara ibubapa dan anak berbeza dengan kesan interaksi di antara mesin (gajet/tv) dengan anak. Anak memerlukan ‘human touch’ bukannya ‘machine engagement’ supaya anak membesar menjadi manusia bukannya robot.

BACA:  Pesanan Buat Ibu Bapa, Jangan Ikut Sangat Apa Anak Nak

#2- Kosakata yang dimiliki oleh kanak-kanak pada usia 42 bulan (+- 3.5 tahun) dipengaruhi oleh pelbagai penggunaan perkataan yang sofistikated oleh ibu bapa setahun sebelumnya.

Ini bermakna, pada usia 2-3 tahun kanak-kanak sudah bersedia untuk mendengar, meniru dan mempelajari perkataan yang lebih sukar atau sofistikated daripada ibu bapa. Bertuturlah menggunakan perkataan penuh yang betul.

Tanyalah “Adik nak susu?” bukannya “Adik nak shushu?” Jangan memandang rendah pada keupayaan kanak-kanak untuk mempelajari bahasa. Mereka lebih cepat menguasai bahasa berbanding orang dewasa.

#3- Kosakata yang dimiliki kanak-kanak pada usia 54 bulan (+-4.5 tahun) adalah dipengaruhi oleh naratif dan penerangan yang diberikan oleh ibu bapa setahun sebelumnya.

Ini bermakna pada usia 3-4 tahun, kanak-kanak banyak memperolehi manfaat apabila ibu bapa bersembang dengan anak tentang apa yang dilihat, bercerita tentang pengalaman harian dengan anak, berkongsi cerita tentang aktiviti yang dijalankan bersama dan juga bercerita tentang perancangan dalam waktu terdekat dengan anak.

Jawablah soalan-soalan yang ditanya oleh anak kerana amalan ini juga membantu perkembangan pertuturan, bahasa dan komunikasi anak.

Talk with the child, not to the child.

Dari kajian ini dapat juga disimpulkan bahawa, kesan amalan dan tingkah laku ibu bapa ke atas anak-anak mungkin tidak dapat dilihat serta merta, tetapi kesannya sama ada positif ataupun negatif boleh dilihat atau dirasai kemudiannya. Dalam kajian ini kesannya dilihat setahun kemudiannya.

Kenapa Perkembangan Pertuturan, Bahasa Dan Komunikasi Penting Pada Usia Awal?

Kelewatan pertuturan akan mempengaruhi emosi kanak-kanak. Bayangkan kualiti permainan anak bersama kanak-kanak lain sekiranya anak lewat bertutur.

Anak tidak boleh bersosial dengan sebaiknya, anak akan merasa tersisih, anak akan merasa rendah diri, anak tidak seronok bermain dan anak akan mula mengasingkan diri.

BACA:  6 Tips Melabelkan Anak Anda Dengan Perkataan Positif

Jika situasi ini berlarutan tanpa intervensi, anak sukar untuk belajar apabila mula bersekolah dan akan mula menunjukkan tingkah laku yang negatif kerana tidak tahu bagaimana untuk mengawal kekecawaan yang dihadapi atas ‘kekurangan’ diri.

Jika ada anak yang sebegini di sekolah, fahamilah masalah mereka bukannya menghukum mereka.

Semua Ini Salah Siapa?

Jika ibu bapa tidak meluangkan masa dengan anak, tidak bersembang dengan anak, tidak mendengar cerita anak, tidak menggalakkan anak untuk bertutur, tidak mengamalkan interaksi dan komunikasi positif dalam keluarga dan menyerahkan tugas ‘baby sitting’ kepada gajet dan skrin, maka ini semua adalah salah ibu bapa. Bercakaplah dengan anak walaupun anak masih belum bertutur.

 

Sumber: tzkrh.com

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *