General

Ber ‘Facebook’ Di Tempat Kerja, Boleh Ke?

Kehidupan manusia pada zaman sekarang sentiasa dikelilingi oleh teknologi. Lihat apa yang ada di sekeliling anda sekarang. Ketika anda membaca tulisan ini pun, pasti anda sedang memegang telefon pintar atau sedang menghadap skrin laptop.

Islam turut berkembang seiring dengan perkembangan ini, terutama dari segi perbincangan hukum serta penyesuaian kaedah-kaedah fiqh yang boleh diguna pakai bagi membantu urusan umat Islam. Sentiasa ada perkara-perkara baru yang memerlukan sudut pandang daripada lensa Islam sendiri, contohnya hal yang akan dibincangkan di sini.

Jadi, persoalannya menggunakan Facebook di tempat kerja, boleh atau tidak?

Sebelum kita pergi lebih jauh, perlulah difahami dahulu serba sedikit tentang konsep hukum yang digunapakai dalam Islam. Islam telah menetapkan bahawa hukum asal bagi setiap sesuatu yang diciptakan Allah adalah halal dan mubah (harus). Tidak ada yang haram, kecuali ada nas yang sahih dan tegas daripada Allah dan Rasul-Nya yang mengharamkannya.

Namun perlu diingat bahawa kaedah “asal bagi setiap perkara adalah harus” tidak melibatkan isu ibadah. Ini kerana, hukum asal bagi sesuatu ibadah adalah dilarang, melainkan setelah terdapatnya dalil yang membenarkannya. Kaedah usul mengatakan:

ﺍَﻷَﺻْﻞُ ﻓِﻰ ﺍْﻷَﺷْﻴَﺎﺀِ ﺍْﻹِ ﺑَﺎ ﺣَﺔ ﺣَﺘَّﻰ ﻳَﺪُ ﻝَّ ﺍْﻟﺪَّﻟِﻴْﻞُ ﻋَﻠَﻰ ﺍﻟﺘَّﺤْﺮِﻳْﻢِ

“Hukum asal dari sesuatu adalah harus hinggalah ada dalil yang melarangnya (memakruhkannya atau mengharamkannya)”
Imam As Suyuthi, dalam al Asyba’ wan Nadhoir: 43)

Seperti yang kita lihat dalam Al-Quran mahupun daripada hadis-hadis, sesuatu yang diharamkan dalam Islam sangatlah sedikit, tetapi yang dihalalkan dan diberi kebenaran oleh Allah itu sangat banyak. Para ulama kemudian menjelaskan dengan lebih terperinci kaedah cabang daripada kaedah utama diatas iaitu:

BACA:  Tidak Perlu Susah-susah Guna Racun, Ini 5 Petua Berkesan Hapus Anai-anai Di Rumah

الأصْلُ فِي الأشْيَاءِ الضَّارَّةِ التَّحْرِيم

“Hukum asal bagi sesuatu perkara yang memberi kemudharatan adalah haram”

Maka kita telah mendapat gambaran awal mengenai situasi penggunaan Facebook di sini. Uztaz Azhar Idrus dalam ceramahnya menerangkan bahawa hukum ber’facebook’ di tempat kerja bergantung kepada keadaan.

Jika Facebook digunakan untuk melihat atau melakukan perkara-perkara yang munkar dan menyalahi syara’, jelas sekali hukumnya di sini adalah haram. Manakala jika penggunaannya sekadar untuk berhubung atau melihat perkembangan kenalan Facebook dan tidak sampai mengganggu proses serta operasi syarikat, maka ianya masih dibolehkan.

Tetapi jika penggunaan Facebook boleh membawa kepada kelalaian dan kecuaian dalam kerja bahkan mungkin melibatkan nyawa seperti kerja-kerja pemunggahan barang dan muatan kargo di pelabuhan, kerja-kerja menjaga keamanan dan menyelamatkan nyawa, maka ia sesuatu yang sudah pasti tidak boleh.

Dalam situasi yang lain, jika peraturan syarikat telah menetapkan bahawa tidak boleh sama sekali menggunakan Facebook atau apa jua aplikasi media sosial yang lain sepanjang waktu kerja, maka peraturan ini perlu dipatuhi oleh pekerja. Jika tiada peraturan sebegitu, kata beliau lagi, lihatlah kepada ‘urf atau adat.

“العادة محكمة”
“Adat diperakui sebagai nilai hukum”

Al-Zuhayli mendefinisikan ‘urf sebagai kebiasaan yang diterima umum dan berakar umbi dalam masyarakat. Manakala Abu Zahrah menghuraikan ‘urf sebagai perkara yang menjadi kebiasaan orang ramai dalam transaksi (mu’amalah) dan mereka bersikap konsisten dalam urusan mereka.

Justeru dapat difahami di sini bahawa sesuatu perbuatan yang telah menjadi kebiasaan dan diterima dalam masyarakat (dengan syarat tidak ada hukum syara’ yang melarangnya), maka ianya sesuatu yang digunapakai.

Kesimpulannya, penggunaan Facebook ditempat kerja dibolehkan namun perlulah menepati panduan-panduan seperti yang telah diterangkan diatas. Sebaiknya urusan tersebut dilakukan pada waktu rehat, tidak menggambil masa yang lama, tidak mengganggu kerja dan tidak mendatangkan masalah. Peliharalah setiap urusan kerja kita sebaiknya agar rezeki yang diperoleh ada keberkatannya.

BACA:  Tak payah lama-lama. Tidur 5 minit pun cukup. Doktor ini kongsi tips elak microsleep.

Rujukan:
1. Irsyad Usul Fiqh Siri Ke-20: “Kaedah Asal Bagi Sesuatu Perkara Adalah Harus”
2. Jurnal Instrumen ‘Urf dan Adat Melayu Sebagai Asas Penetapan Hukum Semasa Di Malaysia oleh Mohd Anuar Ramli

 

Sumber: tazkirah.net 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *