Ibadah, Isu Semasa

Belanda haram sembelih ikut cara Islam

THE HAGUE 23 Jun – Ahli-ahli Parlimen Belanda sudah bersiap sedia untuk meluluskan rang undang-undang bagi mengharamkan penyembelihan haiwan cara Islam dan Yahudi.

Bagaimanapun dalam kompromi saat-saat akhir semalam, anggota dewan bersetuju membuat pindaan bagi mengecualikan pertubuhan-pertubuhan agama daripada pengharaman itu, jika mereka dapat membuktikan kaedah penyembelihan mereka tanpa menggunakan kejutan elektrik, tidak menyebabkan kesakitan tambahan.

Ahli-ahli Parlimen berhaluan tengah daripada beberapa parti mencapai kompromi itu sejurus sebelum perbahasan terakhir mengenai rang undang-undang tersebut, kerana khuatir sokongan mereka terhadap pengharaman itu boleh menyebabkan mereka kehilangan sokongan daripada pengundi Islam dan Yahudi.

Seperti di kebanyakan negara Barat, undang-undang Belanda menetapkan penyembelih haiwan mesti menggunakan kejutan elektrik, bagi memastikannya tidak sedar, sebelum binatang itu boleh disembelih, untuk mengurangkan kesakitan dan rasa takut.

Namun pengecualian diberikan selama ini untuk haiwan yang disembelih cara Islam dan Yahudi yang menghendaki haiwan itu berada dalam keadaan sedar.

Pemimpin Parti bagi Haiwan, Marianne Thieme yang mengemukakan rang undang-undang itu yakin pengharaman itu akan diluluskan.

Beliau tidak fikir penyembelih Yahudi dan Islam akan dapat membuktikan kaedah penyembelihan mereka menyebabkan kurang kesakitan berbanding jika haiwan dikenakan kejutan elektrik terlebih dahulu.

“Menjadi andaian semata-mata bahawa penyembelihan tanpa kejutan elektrik boleh dibuktikan lebih mesra haiwan berbanding penyembelihan dengan kejutan elektrik, tetapi pindaan ini memberi peluang kepada pertubuhan-pertubuhan agama untuk mencari dan mengemukakan bukti itu,” kata Thieme.

Bagaimanapun kompromi itu tidak meredakan kemarahan kumpulan-kumpulan Islam dan Yahudi yang menyifatkan pengharaman yang diusulkan sebagai serangan ke atas kebebasan beragama.

“Ini cara gila untuk menggubal undang-undang, bahawa kami perlu membuktikan apa yang sudah lama kami yakini,” kata Ronnie Eisenmann daripada Komuniti Yahudi Amsterdam.

BACA:  Awas Jangan Tertipu!! Inilah Cara Membezakan Telur Tiruan Dan Telur Asli Di Pasaran

Wakil-wakil pertubuhan Islam pula berkata, jika penyembelihan cara Islam diharamkan oleh kerajaan Belanda, penduduk Islam akan terpaksa membeli daging halal dari negara jiran seperti Belgium dan Jerman. – Agensi

4 Comments

  1. anka keluarga muhammad ali

    mengikuti aturan rosull . .

  2. Sharif b. Sharifuddin

    inilah masanya masyarakat sana tunjukkan kebenaran Islam kepada mereka,
    Insya Allah moga dipermudahkan
    semoga berjaya masyarakat Islam di Belanda mendapat hak sembelih

  3. mcmana nak buktikan pulak, kena kejutan letrik tak sakit?? bagi ahli parlimen belanda cuba dulu kot??

  4. Jika membuktikan bahawa cara kejutan elektrik  dan dimana dagingnya tidak beracun bila dimakan kenapa tak cuba? Keadaan seperti orang Muslim mengharam makan babi. Jika babi racun pasti dunia ini tiada non-Muslim dan kelahiran mereka masih tinggi. Oleh itu manusia masih percaya agama kuno manusia tidak akan maju. Pada zaman dahulu manusia kurang kerja dan tanggungan perbelanjaan kehidupan tak tinggi. Jadi manusia lebih banyak masa sembahyang dan berpuasa. Tetapi pada zaman baru ini kita perlu rajin, agresif and bertenaga sepanjang masa. Jika tidak kita akan ketinggalan. Oleh itu agama yang menyekat kejayan, pergaulan kita perlu menghidari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!