Tazkirah

Bebas Dari Hutang Termasuk 3 Kriteria Ahli Syurga Daripada Hadis Sahih

Indahnya kehidupan seorang Muslim sebenar, dia sentiasa menjaga urusan kehidupannya dalam setiap sudut. Dia sentiasa menghisab diri serta meneliti sudut mana lagi yang boleh diperbaiki. Riwayat-riwayat dari Nabi SAW datang sebagai penerang dan penyuluh jalan lalu orang-orang beriman mengambilnya sebagai panduan untuk hidup dengan lebih baik di dunia dan di akhirat sana.

Kali ini, mari kita lihat tiga syarat atau kriteria yang membolehkan seseorang untuk masuk syurga, InsyaAllah.

عَنْ ثَوْبَانَ مَوْلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ مَنْ فَارَقَ الرُّوحُ الْجَسَدَ وَهُوَ بَرِيءٌ مِنْ ثَلَاثٍ دَخَلَ الْجَنَّةَ مِنْ الْكِبْرِ وَالْغُلُولِ وَالدَّيْنِ

Daripada Tsauban, bekas hamba Rasulullah SAW, dari Rasulullah SAW, bahawasanya baginda bersabda: “Barang siapa ketika ruhnya berpisah dengan jasad dan ia bebas dari tiga perkara maka ia akan masuk syurga, iaitu; sombong, ghulul (khianat) dan hutang.”
(HR Ibnu Majah, No: 2403) Hadis ini dinilai sahih

#1- Bebas Dari Sifat Sombong

وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا ۖ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ

“Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri”
(Surah Luqman, 13:18)

Sikap sombong adalah suatu sikap yang sangat halus dan kadang-kadang tidak terzahir pun pada riak wajah atau bahasa badan. Hanya tuan badan sendiri yang mengetahui.

Sayikh Salim al-Hilali berpandangan bahawa sikap sombong adalah memandang dirinya berada di atas kebenaran dan merasa lebih di atas orang lain. Orang yang sombong merasa dirinya sempurna dan memandang dirinya berada di atas orang lain. (Bahjatun Nadzirin, I/664) – Dipetik dari perkongsian di muslim.or.id

BACA:  Bacalah Ayat Daripada Surah Yassin Ini Untuk Menghilangkan Kesedihan Difitnah

Maka, sentiasalah ucapkan istighfar apabila ada lintasan-lintasan yang tidak baik seperti ini. Setiap dari kita sama sahaja dalam pandangan Allah dan yang membezakan kita adalah taqwa.

#2- Bebas Dari Ghulul (Khianat)

Lawan bagi perkataan khianat adalah amanah. Al Imam Ibnu al Atsir rahimahullah berkata, amanah boleh diertikan dengan ketaatan, ibadah, titipan, kepercayaan, dan jaminan keamanan. Manakala Asy Syaikh al Mubarakfuri rahimahullah berkata,

“(Amanah) adalah segala sesuatu yang mewajibkan engkau untuk menunaikannya”.

Menurut asy Syaikh Masyhur bin Hasan Alu Salman –hafizhahullah pula, amanah adalah, kepercayaan orang berupa barang-barang titipan, dan perintah Allah berupa solat, puasa, zakat dan seumpamanya, menjaga kemaluan dari hal-hal haram, dan menjaga seluruh anggota tubuh dari segala perbuatan dosa.

Besar sebenarnya makna yang terkandung dalam perkataan amanah ini. Seorang Mukmin sejati akan sentiasa menjaga dirinya daripada terdedah dengan perkara-perkara ghulul (khianat).

Amanah datang bersama dengan tanggungjawab dan rasa percaya, iaitu rasa percaya kepada pihak yang diberi tanggungjawab dan juga nilai diri orang yang perlu menyempurnakan amanah dan tanggungjawab tersebut.

#3- Bebas Dari Hutang

Perihal hutang adalah perihal yang sangat berat. Ia bukan semata-mata urusan dunia, namun berkait dengan urusan akhirat. Apabila seseorang itu berhutang, maka ia telah mengambil hak orang lain. Lebih teruk lagi jika si penghutang tidak ada niat pun untuk membayar semula hutang tersebut, mereka akan dikira sebagai pencuri di akhirat nanti.

Dari Shuhaib Al Khoir, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

أَيُّمَا رَجُلٍ يَدَيَّنُ دَيْنًا وَهُوَ مُجْمِعٌ أَنْ لاَ يُوَفِّيَهُ إِيَّاهُ لَقِىَ اللَّهَ سَارِقًا

“Siapa saja yang berhutang lalu berniat tidak mahu melunasinya, maka dia akan bertemu Allah (pada hari kiamat) dalam status sebagai pencuri.”
(HR. Ibnu Majah no. 2410. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadits ini hasan shohih)

BACA:  Bacalah 3 Surah Ini Jika Sering Diganggu Jin Atau Syaitan.Kesannya Amat Luar Biasa

Beratnya hal berhutang boleh kita lihat juga melalui hadis dibawah apabila ianya dibandingkan dengan dosa orang yang mati syahid.

Dari ‘Abdillah bin ‘Amr bin Al ‘Ash, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

يُغْفَرُ لِلشَّهِيدِ كُلُّ ذَنْبٍ إِلاَّ الدَّيْنَ

“Semua dosa orang yang mati syahid akan diampuni kecuali hutang.”
(HR. Muslim no. 1886) – Hadis Sahih

Tiga prasyarat ini adalah perkara yang senang disebut oleh bibir namun sukar sebenarnya untuk dijaga dan diuruskan. Berazamlah untuk memperbaikinya sedikit demi sedikit. Akhlak kadang-kadang perlu bermula dari latihan sebelum ianya menjadi tabiat dan amalan yang tertanam dalam diri.

 

Sumber: Tazkirah.net 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *