Kesihatan

Bayi Kuning: Ketahui Punca dan Cara Rawatan yang Betul

Bayi kuning atau dalam istilah perubatan dikenali sebagai jaundis adalah keadaan di mana kulit dan mata bayi kelihatan kuning serta menjadi kebimbangan kepada ibu bapa.

Penyakit kuning ini biasanya lebih mudah berlaku dalam kalangan bayi yang lahir pramatang iaitu sebanyak 80 peratus dan 60 peratus berlaku kepada bayi yang lahir matang.

Menurut Pensyarah dan Pakar Genetik, Jabatan Pediatrik, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Surini Yusoff, penyakit bayi kuning terbahagi kepada dua jenis iaitu ‘physiologic jaundice’ dan ‘pathologic jaundice’.

“Physiologic jaundice adalah keadaan bayi yang kelihatan kuning, biasanya berlaku ke atas bayi berumur tiga hari dan akan berakhir dalam hari yang ke tujuh selepas dilahirkan dan ia tidak membahayakan serta akan sembuh tanpa memerlukan rawatan.

“Pathologic jaundice pula adalah keadaan kuning pada kulit bayi yang dapat dilihat seawal hari pertama dilahirkan dan keadaan ini lebih merbahaya serta memerlukan rawatan segera”, ujarnya dalam sesi temubual bersama radio tempatan baru-baru ini.

Surini berkata, penyakit kuning biasanya berlaku apabila organ dalaman bayi seperti hati belum cukup matang dan tidak dapat berfungsi dengan sempurna selepas dilahirkan.

“Di dalam hati bayi terdapat sejenis bahan yang dinamakan bilirubin yang berwarna kuning, terbentuk daripada pemecahan sel-sel darah merah di dalam badan dan apabila semakin banyak sel darah merah pecah molekul bilirubin akan bertambah.

“Apabila paras bilirubin tinggi di dalam darah ia akan meninggalkan kesan seperti kerosakan kekal pada sel otak dan akan menyebabkan kerencatan serta perkembangan bayi akan menjadi tidak normal, bayi akan mengalami masalah pendengaran, kekejangan otot serta boleh membawa maut”, ujarnya lagi.

BACA:  Air Kencing Berbuih Petanda Anda Mengalami Sakit Buah Pinggang

Tambah Surini, antara faktor yang menyebabkan bayi kuning ialah bayi mengalami masalah kekurangan enzim G6PD, masalah darah merah yang mudah pecah, kurang menyusu dan jenis darah berlainan di antara ibu dan anak.

“Rawatan yang selalu dilakukan adalah dengan menggunakan fototerapi iaitu meletakkan bayi di bawah cahaya biru yang berfungsi untuk menukarkan bilirubin berwarna kuning ke dalam keadaan yang lebih mudah larut untuk memudahkannya dikeluarkan melalui air kencing dan najis.

“Susu ibu perlulah diberi secara kerap kepada bayi untuk mengelakkan kekurangan air dalam badan agar paras bilirubin dapat dikurangkan dengan lebih cepat”, jelas Surini.

Surini turut menasihati ibu bapa supaya cepat bertindak sekiranya melihat tanda-tanda membimbangkan berlaku pada bayi mereka yang mendapat jaundis.

“Rawatan awal boleh menyelamatkan anak daripada mendapat kesan jangka panjang penyakit ini.

“Kebanyakan ibu bapa menjemur bayi mereka di bawah sinaran matahari apabila bayi kelihatan kuning, namun sinaran matahari tidak boleh mengurangkan kuning pada anak sebaliknya boleh mengakibatkan bayi menjadi kering”, ujarnya lagi.

 

Sumber: www.kk.usm.my

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *