Ibadah, Tazkirah

Bagaimana Untuk Terus Bersahabat Dengan Al-Quran Selepas Ramadan?

Sedar tidak sedar, sudah hampir seminggu Ramadan berlalu. Saya kira anda masih dalam ‘mood’ beraya. Pasti masih ada deretan jemputan rumah terbuka yang menanti. Walau Ramadan telah meninggalkan kita, diharapkan kita masih bersemangat untuk meneruskan amalan-amalan yang telah dilakukan ketika Ramadan.

Dalam artikel kali ini, saya akan memilih satu amalan yang sangat disukai Rasulullah dan para sahabat ketika dalam bulan Ramadan iaitu membaca Al-Quran. Setiap kali Ramadan tiba maka Malaikat Jibril akan mendatangi nabi untuk bertadarus bersama. Justeru, bagaimana untuk kita mencontohi baginda dan terus mengamalkan bacaan Al-Quran walaupun setelah Ramadan? Berikut antaranya:

#1- Anggap Setiap Bulan Seperti Ramadan

Sekalipun Ramadan telah berlalu, kita perlu menganggap setiap bulan yang akan datang seolah-olah seperti bulan Ramadan. Dalam erti kata lain, semangat dan juga kesungguhan dalam menekuni Al-Quran dan juga ibadah yang lain perlu diteruskan.

Al-Quran akan datang kelak sebagai pembela kepada orang-orang yang selalu membaca dan mengamalkannya. Jika kita tidak memperuntukkan masa untuk Al-Quran ketika di dunia, maka kita tidak akan mendapat ‘talian hayat’ ketika di akhirat kelak. Al-Quran ‘tidak kenal’ kita kerana jarang sekali kita membuka dan membacanya.

“…Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam”
(Surah An-Nahl 16:89)

Apabila kehidupan harian kita diselubungi kesibukan, mudah sekali untuk kita rasa tidak ada masa untuk membaca Al-Quran. Tetapi Allah telah menegaskan bahawa Al-Quran bukanlah beban. Ubah cara fikir daripada menganggap bahawa Al-Quran sebagai beban tetapi suatu yang benar-benar kita perlukan.

Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan. (Surah Taha 20:2)

BACA:  Inilah 7 Surah Dalam Al-Quran Berupaya Mendatangkan 7 Jenis Kebaikan

#2- Sambung Target Yang Telah Diletakkan Pada Bulan Ramadan

Diharapkan anda semua masih ingat apakah target yang telah diletakkan semasa beramal dengan Al-Quran di bulan Ramadan. Adakah anda ingin memahami surah-surah tertentu? Adakah anda ingin menghabiskan bacaan satu mushaf Al-Quran?

Kenali target dan buat strategi secara sistematik. Jika anda hanya ingin memahami beberapa surah sahaja, anda boleh mencari penerangan tentang tafsir ayat demi ayat melalui penerangan ceramah dan video di Youtube, masuk ke kelas pengajian tafsir secara khusus dengan ustaz atau anda juga boleh membeli kitab tafsir yang banyak terdapat di pasaran.

Al-Quran adalah kitab yang penuh keberkatan dan kemuliaan sehingga setiap satu huruf diganjari sepuluh kebaikan, malah mengamalkan surah-surah tertentu juga mempunyai kelebihan-kelebihan yang tersendiri.

#3- Peruntukkan Masa Untuk Quran

Kita boleh buat sebanyak mana pun target yang kita mahu, tetapi jika tiada perancangan yang betul maka akhirnya target akan menjadi angan sahaja. Jika kita benar-benar mahu menjadi sahabat Al-Quran, maka kita perlu meluangkan masa untuk Al-Quran.

Pilih mana-mana waktu yang dirasakan mudah untuk anda membaca Al-Quran, contohnya sebelum atau selepas Subuh, atau boleh juga sebelum anda tidur. Jika kedua-dua masa ini tidak dapat anda peruntukkan secara konsisten setiap hari, usah risau atau rasa kecewa, gantikan semula waktu anda untuk membaca Al-Quran pada masa lain yang terluang.

#4- Usah Biarkan Syaitan Memperdaya Anda

“Tak ada masa la”

Usah terpedaya dengan perangkap ‘tak ada masa’. Jika anda ada masa untuk menatal telefon pintar, membuka Facebook, Twitter atau Instagram, bermakna anda masih ada masa terluang, cuma masa itu tidak digunakan sebaiknya.

BACA:  Kelebihan Amalan Zikir Fatimah Untuk Wanita Kurangkan Kepenatan Urus Rumah Tangga

Syaitan akan mula mendekati dan mencampakkan kata-kata hati yang negatif setiap kali anda ingin melakukan kebaikan untuk mendekati Allah. Lebih-lebih lagi apabila berlalunya Ramadan, usaha syaitan akan menjadi lebih mudah untuk mempengaruhi minda anda dengan perangkap ‘malas’, ‘nak berehat sebab Ramadan dah buat banyak amal’ dan sebagainya.

#5- Berikan ‘Reward’ Kepada Diri Anda

Pernahkah anda rasa seronok dan senang apabila berbuat baik kepada orang? Rasa itu sebenarnya adalah ganjaran atau ‘reward’ yang anda peroleh yang akan membuatkan anda ingin melakukannya lagi dan lagi.

Reward boleh jadi dalam bentuk material seperti hadiah, makanan, barang bahkan apa sahaja perkara yang akan membuatkan anda senang termasuklah perasaan.

Apabila anda membaca Al-Quran, anda sebenarnya sedang berbuat baik kepada diri sendiri. Reward pertama yang anda peroleh pastilah rasa tenang yang dihadiahkan oleh Allah. Selain itu, anda juga boleh menambah reward buat diri sendiri contohnya dengan mengajarkan pula apa yang anda tahu kepada orang lain, berjalan ke mana-mana atau belanja diri sendiri dengan barang yang anda suka.

#6- Ambil Masa Untuk Memahami Isi Al-Quran

Selain daripada membaca Al-Quran, apa kata luangkan juga masa untuk membaca maksud yang terkandung di sebalik ayat-ayat yang dibaca. Sebaiknya anda menggunakan Al-Quran yang mempunyai terjemahannya sekali agar mudah dirujuk.

Tidak dinafikan proses untuk menghabiskan satu mushaf Al-Quran akan menjadi sedikit lambat kerana kita turut menekuni maksud ayat-ayat yang ada, namun anda bakal mendapat pengalaman berharga kerana semakin memahami apa yang diperkatakan oleh Allah melalui firmanNya dengan lebih mendalam.

#7- Praktikkan Apa Yang Anda Tahu

Setelah membaca dan memahami Al-Quran dengan betul, lebih bagus jika kita dapat mempraktikkan apa yang diketahui. Terlalu banyak ilmu dan pedoman yang terkandung di dalam Al-Quran contohnya cara menghormati ibu bapa, cara berakhlak dengan orang di sekeliling tanpa mengira agama, cara mendidik anak-anak, cara menguruskan rezeki dan banyak lagi.

BACA:  3 Langkah Untuk Melepaskan Diri Daripada Ikatan Syaitan Ketika Tidur

Anda juga boleh menyebarkan apa yang anda tahu kepada orang lain, tidak perlu tunggu sehingga anda menjadi seorang ustaz atau orang yang alim. Al-Quran adalah untuk semua dan kebenarannya perlu disampaikan kepada sesiapa sahaja.

Mulakanlah usaha ini perlahan-lahan, satu demi satu sehingga akhirnya kita merasa hidup dalam cara hidup Islam yang sebenar serta dapat mengikut jejak Nabi SAW yang berakhlak dengan akhlak Al-Quran.

Semoga dengan tujuh langkah mudah ini dapat pembantu kita semua agar terus dapat beramal dengan Al-Quran. Kelak, ia akan menjadi sahabat, penyelamat dan pembela bagi sesiapa yang berusaha mendekatinya ketika di dunia.

 

Sumber: tzkrh.com 

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!