Ibadah, Solat

Bagaimana Untuk Solat Dalam Situasi Yang Mencabar

Baru-baru ini tular sebuah video di media sosial berkenaan seorang pekerja lelaki yang solat secara terhuyung-hayang di atas kapal. Perkara itu terjadi kerana keadaan kapal yang sedang berada di atas laut yang bergelora.

Apabila dibaca komen yang telah diutarakan oleh beberapa netizen, ada yang memberi komen yang positif namun ada juga yang mengecam tindakan tersebut. Tidak kurang juga ada yang menceritakan pengalaman mereka yang pernah solat dalam keadaan tersebut.

Jika diamati, realiti mereka yang bekerja dalam keadaan tersebut sebenarnya sangatlah mencabar. Walaupun rata-rata melihat ia dari sudut yang positif seperti kemasukan gaji yang agak lumayan, namun tiada siapa yang tahu hakikat sebenar cabaran dan ujian yang dihadapi.

Mereka yang berkhidmat dalam bidang seperti ini ibarat telur di hujung tanduk. Keadaan cuaca yang tidak menentu dan laut yang selalu bergelora memerlukan iman dan hati yang sangat kental.

Malah, syabas diucapkan buat mereka yang sentiasa berusaha untuk menjaga iman dan ibadah walau dalam keadaan sebegitu rupa.

Walaupun rakaman video yang tular itu mampu membuatkan penonton ketawa disebabkan sedikit kelakar, namun timbul juga perasaan sebak apabila mengenangkan mereka yang ditimpa ujian sebegitu rupa masih mampu untuk menunaikan kewajipan jika dibandingkan dengan keadaan kita yang berada di zon selesa, masih lagi sempat untuk memberikan berbagai alasan malah ramai di kalangan kita yang meninggalkan solat.

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

“Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”
(Surah An-Nisa, 4:103)

Solat merupakan ibadah wajib yang perlu dilaksanakan. Ia termasuk dalam rukun Islam dan tidak boleh ditinggalkan secara sewenang-wenangnya tanpa alasan yang munasabah.

Walau dalam apa jua keadaan, kita masih diwajibkan untuk solat. Namun, Islam tidak pernah menyusahkan umatnya. Jika dalam keadaan musafir, Islam memberi rukhsah untuk melakukan jamak solat atau jika sedang sakit, Islam memudahkan dengan solat dalam keadaan duduk, baring atau hanya dengan mata.

Mudah bukan? Dalam Islam, setiap aturan yang telah ditetapkan mempunyai rukhsahnya yang tersendiri. Yang penting, kita hanya perlu menuntut ilmu sahaja agar tidak mengamalkan sesuatu secara membabi buta.

Ibarat sebuah perumpamaan yang berbunyi, ilmu tanpa amal itu sia-sia, amal tanpa ilmu itu gila.

Bolehkah Jamak Solat Semasa Kerja

Penulis pernah membaca sebuah tweet yang pernah dikongsikan oleh Saudara Aiman Azlan berkenaan situasi isterinya yang bekerja sebagai seorang doktor dan juga beberapa perkongsian yang pernah ditulis oleh doktor-doktor – bagaimana mereka menjaga solat.

Sebenarnya, para ulama’ telah menggariskan beberapa panduan terhadap mereka yang berada dalam bidang ini seperti doktor yang terlalu sibuk dengan pembedahan, jururawat, Pegawai Perubatan atau mereka yang menjalani rawatan penyakit kronik sehingga mengambil masa yang lama – mereka dibolehkan untuk menjamakkan solat.

BACA:  5 Proses Menggenggam Taqwa Setelah Melalui Sebulan Universiti Ramadan

Ia juga pernah diceritakan dalam beberapa hadis, iaitu:

صَلَّى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا بِالْمَدِينَةِ، فِي غَيْرِ خَوْفٍ، وَلَا سَفَرٍ. قَالَ أَبُو الزُّبَيْرِ: فَسَأَلْتُ سَعِيدًا، لِمَ فَعَلَ ذَلِكَ؟ فَقَالَ: سَأَلْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ كَمَا سَأَلْتَنِي، فَقَالَ: أَرَادَ أَنْ لَا يُحْرِجَ أَحَدًا مِنْ أُمَّتِهِ.

Maksud: “Telah solat Rasulullah SAW Zohor dan Asar secara jamak di Madinah dalam keadaan tiada ketakutan dan juga musafir. Telah berkata Abu Zubair: Aku telah bertanyakan Sa’id: Mengapa dilakukan begitu? Maka Sa’id menjawab: Aku telah bertanyakan Ibn Abbas soalan seperti yang kamu tanyakan, maka jawab Ibn Abbas: Rasulullah SAW menghendaki untuk tidak menyusahkan umatnya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Jamak merupakan kemudahan yang diberikan kepada orang Islam jika terdapat keperluan dan ia boleh dilakukan secara takdim (awal waktu) atau ta’khir (akhir waktu), iaitu dengan menggabungkan (4 rakaat) Zohor + (4 rakaat) Asar atau 3 rakaat (Maghrib) + 4 rakaat (Isyak).

Menurut perkongsian oleh beberapa orang doktor lagi, mereka akan melihat kepada masa yang diambil untuk melakukan sesuatu pembedahan. Jika mengambil masa yang lama, mereka akan menjamakkan solat tersebut sama ada pada awal atau akhir waktu, bergantung pada masa.

Namun, jika telah dijamakkan solat dan pembedahan itu berakhir awal sebelum waktu kedua solat contohnya, maka tidak perlu solat semula dan boleh meneruskan kerja seperti biasa.

Berkenaan dengan solat Jumaat pula, jika waktu pembedahan bertembung dengan solat Jumaat, maka boleh menjamakkan ia dengan melakukan solat Zohor.

Walau bagaimanapun, keharusan jamak ini hanya boleh dilakukan waktu darurat atau dalam keadaan bertugas sahaja dan tidak boleh dilakukan secara suka-suka tanpa tugas yang ada.

Dalam situasi ini juga, kita tidak boleh qasar solat atau memendekkan ia kepada dua rakaat kerana solat qasar hanya khusus untuk mereka yang bermusafir sahaja.

Mafhum: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir.” (Surah An-Nisa, 4:101)

Oleh itu, selagi mempunyai masa dan rukhsah yang boleh diamalkan, maka kita boleh melakukan solat secara jamak dan tidak boleh meninggalkannya dengan alasan atas urusan kerja atau sebagainya dengan niat untuk mengqada’ semula.

Hal ini ada disebut melalui hadis bahawa hanya mereka yang tertidur atau terlupa, maka mereka boleh mengqada’ solat dan dosanya tidak dikira kerana mereka meninggalkan solat secara tidak sengaja.

مَنْ نَسِيَ صَلَاةً أَوْ نَامَ عَنْهَا، فَكَفَّارَتُهَا أَنْ يُصَلِّيَهَا إِذَا ذَكَرَهَا

BACA:  Tidur Malam Tiba-tiba Terbangun.Baca Doa Ini Dan Minta Apa Saja. Allah Akan Kabulkan

Maksud: “Sesiapa yang terlupa menunaikan solat atau tertidur daripada mengerjakan solat, maka kaffarahnya adalah dengan menggantikan solatnya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Solat Menghormati Waktu

Bagaimana pula jika kita berada dalam situasi yang sukar untuk solat seperti sukar untuk berwuduk atau tayammum, sukar mencari arah kiblat dan sebagainya?

Bedasarkan pendapat Imam Syafi’e, wajib solat kerana menghormati waktu dan wajib mengulanginya jika mampu melakukan salah satu daripadanya (wuduk atau tayammmum).

Hal ini kerana, solat merupakan sebuah ibadah yang wajib dilaksanakan, jika ditinggalkan wajib diqada’ semula. Ia merupakan amalan yang paling afdal dilakukan.

Berdasarkan sebuah hadis yang telah dinyatakan, datang seorang lelaki yang telah bertanya kepada Rasulullah SAW, apakah amalan yang paling afdal? Maka, Rasulullah menjawab:

“Solat”. Kemudian lelaki tersebut bertanya lagi, dan Rasulullah menjawab solat. Baginda ditanya lagi dan jawapan yang sama, iaitu solat. Baginda telah mengulangi jawapan solat sebanyak tiga kali.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)

Bagaimana cara untuk solat menghormati waktu? Jumhur ulama’ berpendapat bahawa tunaikanlah solat dalam keadaan yang termampu.

Maka, ada beberapa garis panduan yang telah ditetapkan oleh mereka. Sebagai contoh, kita melihat situasi solat di dalam pesawat.

#1 – Buka Kasut

Najis tidak boleh dibawa ke dalam solat. Oleh itu, kasut atau segala benda yang boleh membawa kepada najis perlulah dibuang.

#2 – Berada Di Tempat Duduk

Duduk dengan menegakkan badan dan tidak perlu mengubah ke arah kiblat. Memadai sahaja duduk di tempat asal.

#3 – Niat

Niat merupakan syarat sah sesuatu ibadah. Maka hendaklah berniat seperti berikut:

“Sahaja aku solat fardhu Zohor empat rakaat menghormati waktu kerana Allah ta’ala.”

Kemudian dilakukan takbiratul ihram dan membaca surah al-Fatihah serta surah lain seperti biasa.

#4 – Rukuk Dan Sujud

Untuk rukuk, perlu ditundukkan sedikit kepala sebagai tanda dan dibaca bacaan dalam rukuk. Tangan perlulah diletakkan di atas lutut.

Manakala, sujud pula perlu dilakukan dengan menundukkan kepala dan badan ke bawah sedikit (lebih daripada rukuk) dan kedua tangan juga berada di atas lutut.

Untuk rukun fi’li lain (perbuatan), iaitu duduk di antara dua sujud, duduk tahiyat awal dan tahiyat akhir, adalah memadai duduk menegak sahaja seperti awal solat dan disertai dengan rukun qauli, iaitu bacaannya sahaja.

Apabila telah sampai ke destinasi dan mempunyai air atau debu untuk bertayammum, maka wajib diganti semula solat tersebut.

Namun, jika tidak sempat untuk menggantikan solatnya, seperti terlibat dalam kemalangan atau telah ditarik nyawanya terlebih dahulu, maka tidak mengapa. Solat menghormati waktu tadi sudah memadai untuk menampung solat tadi.

BACA:  Hukum Jual Beli Hari Jumaat

Semoga Allah menerima amalan kita.

Curi Masa Untuk Solat

Solat menghormati waktu ini tidak boleh dilakukan dalam keadaan yang tiada darurat atau saja-saja. Jika mempunyai kesenangan dan kemudahan untuk solat, maka solatlah.

Sebagai contoh, pelajar yang mempunyai kelas sehingga bertembung waktu solat, mereka yang sedang musafir dan boleh mendapatkan kemudahan untuk berhenti solat dan sebagainya.

Hal ini kerana, solat itu merupakan ibadah wajib yang tidak boleh dilakukan atau ditinggalkan sewenang-wenangnya.

Menerusi firman Allah yang bermaksud:

“Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?” Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang.” (Surah Al-Muddathir, &4:42-43)

Oleh itu, perlulah mencuba sedaya upaya untuk melaksanakan solat walaupun ada situasi yang terpaksa memaksa diri. Sebagai contoh, jika kita bekerja di sesebuah tempat yang dilarang untuk bersolat, maka perlulah mencuba mencuri sedikit masa untuk bersolat.

Dalam hal ini, seseorang muslim itu perlu bijak untuk menguruskan masanya sendiri. Sebagai contoh, waktu solat zohor boleh dilakukan dalam waktu rehat, manakala solat Asar pula boleh dilakukan selepas tamat waktu bekerja.

Jika waktu bekerja habis lambat atau menyebabkan terpaksa kerja lebih masa, maka perlu juga melakukan solat walau dengan cara tersembunyi.

Jika bimbang akan dipecat disebabkan atas alasan solat, maka solatnya boleh dilakukan secara sembunyi-sembunyi.

Mungkin ada yang berpendapat bahawa menipu ke tandas untuk mencuri masa bagi menunaikan solat adalah bimbang jika rezekinya tidak berkat. Namun, adakah kita tidak takut jika kehidupan kita tidak berkat akibat meninggalkan solat?

Bahkan, berdasarkan kisah Nabi Ibrahim, beliau juga pernah berdusta tetapi untuk kebaikan beliau dan isterinya, Siti Sarah. Beliau berkata bahawa isterinya merupakan saudara perempuannya untuk mengelakkan daripada terjadi perkara buruk kepadanya sewaktu terjumpa dengan seorang raja semasa sedang berhijrah.

Para tafsir berpendapat bahawa beliau tidak menipu bahkan berkata yang benar sahaja. Maksud saudara perempuan di situ ialah saudara seislamnya.

Begitu juga dalam situasi kita menipu ke tandas, padahal untuk solat. Dalam situasi ini, kita juga tidak dikira menipu, kerana memang kita akan ke tandas untuk berwuduk, bukan?

Kesimpulan

Hukum asal solat adalah wajib dan meninggalkannya dikira dosa besar. Solat ialah kewajipan utama yang akan dihisab di padang mahsyar dan ia merupakan tiang kepada agama.

Masakan rumah boleh berdiri tanpa tiang? Begitu juga agama. Larilah sejenak dari dunia untuk menunaikan ibadah kepada Allah. Kerana Allah merupakan tuhan kepada semua.

Rujukan: Jamak Solat Tanpa Musafir & Solat Yang Bertembung Dengan Kelas

 

Sumber: tzkrh.com 

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!