Tazkirah

Bagaimana Rasulullah Mendidik Muaz?

1. Meneliti riwayat sirah, Saidina Muaz ibn Jabal adalah antara tokoh sahabat yg dilihat byk menerima sentuhan tarbiyah dan proses pendidikan secara langsung daripada Rasulullah.

2. Rasulullah mendidik Muaz melalui pelbagai situasi, santai maupun dalam keadaan serius. Dalam sebuah hadith, Rasulullah mengajar Muaz ketika Baginda menunggang bersama beliau. Rasulullah memanggil nama Muaz sebanyak tiga kali, dan tiga kali lah Muaz menyahut.

Setelah panggilan yg ketiga Rasulullah bersabda:

(مَا مِنْ أَحَدٍ يَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، صِدْقًا مِنْ قَلْبِهِ، إِلَّا حَرَّمَهُ اللَّهُ عَلَى النَّارِ)

“Tahukah engkau bahawa mereka yg mengucapkan syahadah ikhlas dari hatinya, dia akan masuk ke syurga?” (al-Bukhari)

Dialog ini tidak terhenti di sini sahaja, mendengar hadith ini Muaz memberikan reaksi spontan beliau kepada Nabi. Kata Muaz: Kalau begitu lebih baik aku maklumkan perkara ini kepada mereka! (sahabat lain). Rasulullah menjawab: Kalau begitu, (aku bimbang pula) mereka akan duduk diam sahaja (tidak berusaha beribadah kerana tahu setiap Muslim akan ke syurga).

Respon Rasulullah jelas menunjukkan bahawa Baginda mahu mendidik Muaz supaya bijak berinteraksi dengan manusia. Bukan semua perkara perlu kita sampaikan kepada semua orang. Da’i harus pandai membaca minda audien. Muaz kemudian mendiamkan hadith ini. Hadith ini hanyalah di sampaikan oleh Muaz sebelum beliau meninggal dunia.

3. Adakalanya Muaz diberikan teguran yang keras oleh Rasulullah. Perkara ini berlaku ketika Muaz menjadi Imam solat buat kaumnya. Muaz membaca surah yg panjang (surah al-baqarah) sehingga perkara ini diadukan kepada Rasulullah. Rasulullah menegur Muaz dengan berkata:

يَا مُعَاذُ، أَفَتَّانٌ أَنْتَ – ثَلاَثًا – اقْرَأْ: وَالشَّمْسِ وَضُحَاهَا وَسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى وَنَحْوَهَا

BACA:  5 Amalan Megubati Hati Yang Dukacita Dan Tidak Tenang

Apakah engkau ingin menimbulkan fitnah wahai Muaz?! Sebahagian riwayat menyebutkan bahawa kata-kata ini diulang Rasulullah sebanyak tiga kali. Seolah Baginda ingin memberikan kesan mendalam kepada pemahaman Muaz.

4. Ibn Majah meriwayatkan bahawa ketika Muaz pulang dari Syam, beliau terus berjumpa dengan Rasulullah lalu sujud (sembah hormat) kepada Rasulullah. Rasulullah lalu bertanya kepada Muaz:

مَا هَذَا يَا مُعَاذُ؟

Apa yang kau lakukan ini Muaz?! Muaz menjawab, ketika aku berada di Syam, aku melihat penduduk Syam sujud kepada pembesar agama mereka. Rasulullah memperbetulkan pemahaman Muaz dgn berkata: Jangan kamu lakukan sedemikian wahai Muaz! (Ibn Majah, Ahmad).

5. Rasulullah juga pernah menasihatkan Muaz dengan memberikan tunjuk ajar secara fizikal. Apabila ingin mendidik Muaz supaya memelihara lidah dan tutur kata, Baginda sendiri menunjukkan lidah Baginda lalu berkata:

فَأَخَذَ بِلِسَانِهِ قَالَ: “كُفَّ عَلَيْكَ هَذَا

Hendaklah engkau menjaga lidah ini wahai Muaz (al-Tirmizi)

6. Bukan sekadar memberi nasihat dan menergur sahaja, Rasulullah sendiri pernah meluahkan rasa kasih beliau, menyemai cintanya kepada Muaz. Dalam sebuah hadith Rasulullah pernah memegang tangan Muaz lalu berkata: Wahai Muaz, sesungguhnya aku menyayangi engkau, maka janganlah engkau lupa untuk membaca doa ini setiap kali selepas solat:

اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ، وَشُكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Dalam hadith ini seolah Nabi ingin mendidik Muaz bahawa sekiranya kita sayang seseorang, kita ajarkan kepada mereka perkara yang baik.

7. Riwayat Tirmizi ada menyebutkan bahawa Rasulullah menguji Muaz sebelum menghantar beliau sebagai pendakwah di Yaman. Setelah segala proses tarbiyyah yg dilalui oleh Muaz, Rasulullah menguji beliau lalu bertanya: Bagaimanakah engkau akan memberikan hukum sekiranya engkau ditanya nanti?

BACA:  5 Tips Meraih Kenikmatan Khusyuk Dalam Solat

Muaz lalu menjawab bahwa dia akan merujuk kepada al-Quran dan hadith dan sekirnya tiada, dia akan berijtihad. Rasulullah lalu menepuk (memegang) dada Muaz tanda berpuas hati dengan jawapan Muaz. Hadith ini walaubagaimanapun dinilai daif oleh sebahagian sarjana hadith.

8. Setelah segala proses pengkaderan dilakukan oleh Rasulullah melalui pelbagai wasilah tarbiyyah, Rasulullah sendiri mengiringi Muaz sebelum dihantar menjadi pendakwah. Ketika itu Muaz menunggang tunggangannya dan Rasulullah berjalan disamping tunggangan Muaz. Situasi ketika itu amat menyedihkan. Rasullullah berterus-terang kepada Muaz:

يَا مُعَاذُ إِنَّكَ عَسَى أَنْ لَا تَلْقَانِي بَعْدَ عَامِي هَذَا وَلَعَلَّكَ أنَ تَمُرَّ بِمَسْجِدِي هَذَا، وَقَبْرِي فَبَكَى مُعَاذٌ جَشَعًا لِفِرَاقِ رَسُولِ اللَّهِ

Wahai Muaz, barangkali engkau tidak akan dapat berjumpa dengan aku lagi selepas ini. Muaz lalu menangis dengan tangisan yang dahsyat. Baginda seolah sudah mengetahui akan ajalnya.

9. Begitulah konsistennya Rasulullah sebagai murabbi yang menjalankan proses pengkaderan da’i. Didikan yang melalui pelbagai wasilah tarbiyyah, secara santai maupun serius, teguran keras maupun lembut, melalui ucapan dan juga gerak tubuh fizikal, semuanya dilaksanakan bahkan diwujudkan pula proses ujian kefahaman. Setelah melepasi proses tersebut, Baginda Nabi sendiri memimpin kader dakwahnya berjuang ke medan dakwah.

Rasulullah Murabbi Agung

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *