Motivasi

Bagaimana Menjemput Kejayaan Dalam Kehidupan Seharian

Kejayaan sentiasa dikaitkan dengan usaha kuat, fokus serta kesabaran yang tinggi. Tidur yang tidak cukup, rehat yang sedikit serta usaha yang sangat luar biasa. Begitu biasanya kita digambarkan dengan proses untuk berjaya. Tidak dinafikan, kesemua elemen ini boleh dikawal oleh manusia dan akan membawa kepada produktiviti dan peningkatan dalam hidup.

Namun bagaimana pula dengan produktiviti dalaman kita iaitu jiwa. Bagaimana untuk meningkatkan produktiviti jiwa supaya dapat menyumbang juga kepada kejayaan. Dalam Islam, ada satu lagi elemen yang sangat penting iaitu barakah atau keberkatan.

Mohammed Faris, Pengasas ProductiveMuslim.com dalam ucapannya menerangkan dengan panjang lebar bagaimana konsep barakah ini mampu meningkatkan kejayaan berkali ganda lebih banyak daripada kejayaan yang biasa.

Apa Itu Keberkatan

Mari kita mulakan dengan makna berkat atau barakah itu sendiri.

Asal perkataan barakah bermaksud bertambah atau berkembang. Juga boleh membawa makna berkekalan. Al-Asfahani (meninggal 425H) menyatakan ia bermaksud kelangsungan kebaikan ilahi kepada sesuatu. (Al-Asfahani, Mufradat Alfaz al-Quran m.s 119, Damsyik: Dar al-Qalam) – Dipetik dari perkongsian Ustaz Asri di blognya.

Jika dilihat kepada pendapat Imam Al-Asfahani, keberkatan ialah suatu elemen ketuhanan (kebaikan Ilahi) yang terdapat pada setiap perkara. Ia boleh jadi ada pada rezeki, harta, masa, tempat tinggal malah apa sahaja. Jika keberkatan hadir, suatu yang sedikit akan terasa banyak, suatu yang sedia ada banyak pula akan terasa lebih banyak.

Jika ia hadir pada masa, masa yang sedikit akan terasa panjang dan lebih banyak perkara bermanfaat boleh dilakukan. Kerja boleh disiapkan dengan baik walaupun dalam masa yang singkat. Jika ia hadir pada harta atau tempat tinggal, rumah yang kecil pun akan terasa luas dan menenangkan.

BACA:  Penyakit Alasan Punca Kegagalan

Pendek kata nilai di sebalik perkara tersebut akan bertambah dan berkembang. Keberkatan memaksimumkan hasil yang akan kita peroleh. Mengapa tidak, ‘kebaikan Tuhan’ ada bersama perkara tersebut!

Jadi, bagaimana untuk menjemput keberkatan dalam setiap perkara yang kita lakukan?

Sebelum kita pergi lebih jauh, mari kita teliti dua cerita ini. Kisah yang pertama ini terkandung dalam sebuah hadis riwayat Muslim.

Kisah Pertama

Seorang lelaki yang berada di tempat sunyi telah mendengar suara dari awan; “Siramilah kebun si fulan”. Lalu awan itu bergerak ke arah yang diperintahkan lalu turun menyirami kebun si fulan tersebut. Lelaki yang berasa takjub ini menjejaki kebun itu lalu menceritakan apa yang telah didengari kepada pemilik kebun tersebut.

Dia juga bertanya tentang amalan yang telah dilakukan oleh pemuda tersebut sehingga mendapat layanan yang istimewa daripada Allah dan malaikat.

Pemuda tersebut memberitahu bahawa setiap kali dia mendapat keuntungan daripada hasil tanaman, satu pertiga akan digunakan untuk urusannya dan keluarga, satu pertiga disedekahkan dan satu pertiga lagi dikembalikan semula sebagai modal untuk menguruskan kebun.

Pemuda ini menguruskan urusan dunianya dengan tidak meninggalkan akhirat. Keberkatan Tuhan datang dalam bentuk hujan dan menggandakan lagi nikmat yang diperoleh.

Kisah Kedua

Cerita kedua berkenaan seorang lelaki yang bertanya Rasulullah SAW, apakah dia perlu melepaskan untanya dan bertawakkal kepada Allah. Rasulullah SAW menyuruhnya mengikat unta tersebut dan bertawakkal. Kisah ini ada diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dalam sahihnya.

Kata Mohammed Faris lagi, dalam kedua-dua cerita di atas, terdapat tiga perkara penting yang boleh diambil menjadi prinsip supaya kehidupan kita lebih berkat.

#1- Mindset: “Usaha Dan Percaya”

BACA:  4 Cara Untuk Anda Lebih Tenang Menjalani Hidup Yang Sibuk

Mindset atau ketetapan minda di sini adalah suatu sistem kepercayaan kepada Tuhan bahawa sesuatu itu memerlukan usaha dan juga tawakkal. Seperti dalam kisah pemuda yang mengikat untanya di atas. Rasulullah SAW menyuruhnya mengikat (usaha) dan bertawakkal (percaya), bukan hanya salah satu sahaja.

#2- Nilai Kecukupan (Values of contentment)

Nilai ini bermaksud kita berasa cukup dengan apa yang diperoleh. Ia tidak bermaksud kita perlu kekal statik dan tidak perlu membuat perubahan dalam hidup tetapi harus ada rasa syukur dan cukup dengan apa yang diberikan Tuhan dalam masa yang sama berusaha memperbaiki diri dari semasa ke semasa.

Ada satu kisah tentang seorang lelaki miskin yang menjumpai seguni emas di depan rumahnya. Pada guni itu tertulis 100 keping emas, padahal orang yang meletakkannya hanya mengisi guni tersebut dengan 99 keping sahaja. Lelaki tersebut mengira kepingan emas tersebut dan mendapati hanya ada 99 keping sahaja. Dia kembali mengira dan mengira dan bilangannya masih sama. Dia jadi tidak puas hati dan tidak tenang. Pemikirannya difokuskan kepada satu keping yang tiada berbanding 99 keping lagi yang ada di depan mata.

Dalam kisah pemuda dan kebunnya , ‘rasa cukup’ atau qanaah pasti telah tersemat di jiwanya apabila dia merasa cukup hanya dengan satu pertiga harta untuk kegunaan diri dan keluarga. Rasa cukup dan syukur ini lah yang telah menambah nikmat dari Tuhan.

#3- Ritual (Khidmat)

Ritual atau khidmat ini pula bermakna kita memberi dan berkongsi dengan orang lain sebahagian dari harta yang kita ada. Rezeki yang diberikan Tuhan tersebar lebih jauh, dan sampai ke tangan-tangan orang yang memerlukan- fakir miskin, gelandangan, dan sesiapa sahaja yang dalam kesusahan. Pemilik kebun dalam cerita di atas memperuntukkan sebahagian hartanya untuk tujuan sedekah.

BACA:  Bagaimana Tidak Mudah Down Apabila Ditimpa Musibah Atau Ujian Allah?

Ketiga –tiga prinsip di atas ialah prinsip teras dalam pengurusan harta dan kehidupan kita sebagai seorang manusia. Tetapi ada satu lagi syarat terakhir bagaimana ketiga-tiga prinsip tersebut mampu menjemput keberkatan dalam hidup.

Tidak lain tidak bukan pasti dengan ‘keihkhlasan’. Ikhlas ialah syarat utama dalam setiap perkara yang dilakukan. Keikhlasan umpama minyak yang melancarkan perjalanan. Hanya dengan niat yang ikhlas, kita mampu sampai ke penghujung destinasi dengan jayanya.

Kesimpulannya, kejayaan dalam hidup seorang Muslim itu merangkumi banyak perkara. Ia bukan sekadar kejayaan material tetapi juga kejayaan spiritual. Ia bermula dari proses yang paling awal iaitu pembentukan sistem kepercayaan (kepercayaan kepada Tuhan), sistem nilai (values of contentment), dan juga khidmat (service) kepada orang sekeliling. Dalam setiap proses inilah keberkatan Ilahi hadir dan membawa kita kepada kejayaan yang lebih menyeluruh, InsyaAllah.

 

Sumber: Tazkirah.net 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!