Isu Semasa

Bagaimana Kepercayaan ‘Flat-Earth’ Boleh Bermula?

Baru-baru ini, dunia media sosial di Malaysia dihangatkan dengan isu ‘flat-earth’ atau bumi rata. Isu ini menjadi serius apabila seorang bekas penyanyi tanah air membuat kenyataan yang tegas tentang pendiriannya bahawa bumi ini rata dan bukan bulat. Pandangan ini menimbulkan ketegangan di media sosial kerana ianya pastilah bertentangan dengan penemuan sains dan juga apa yang telah diketahui umum.

Bagaimana Kepercayaan Tentang Flat-Earth Bermula?

Kepercayaan tentang ‘flat earth’ atau bumi rata sebenarnya sudah ditinggalkan lebih kurang dua ribu tahun dahulu. Namun bagaimana ia boleh kembali menjadi satu konspirasi? Gerakan ‘flat earth’ dikatakan bermula semula pada pertengahan abad ke-18 dengan terhasilnya pandangan-pandangan kreatif berkenaan dunia kosmologi oleh Samuel Rowbotham.

Namun mengikut Viren Swami, seorang pakar psikologi sosial, di dunia moden ini, gerakan ini menjadi lebih aktif dengan pengaruh media sosial.

Malah wujud banyak group FB dengan nama The Flat Earth Society, Flat Earth Believers malah di Malaysia juga ada kumpulan FB yang dinamakan Flat Earth Society Malaysia. Mengikut kenyataan livescience.com, Tila Tequila, seorang personaliti TV telah mencetuskan galakan tentang konspirasi tersebut dengan menimbulkan persoalan-persoalan yang skeptik tentang fakta bahawa bumi ini bulat di Twitter.

Mengapa Orang Boleh Berfikir Bahawa Bumi Ini Rata?

Menurut Viren lagi, ada kelompok yang mempercayai bahawa bumi ini rata (sekalipun sudah terang lagi bersuluh fakta menunjukkan sebaliknya) kerana beberapa faktor:

Pertama, kerana manusia sendiri cenderung untuk mencari kebenaran – dan orang yang tidak yakin dengan kebenaran yang sudah ada lebih tinggi kemungkinannya untuk termasuk dalam perangkap teori konspirasi.

Kedua, orang yang menggap bahawa mereka sedang mencari kebenaran ini berasa lebih yakin dengan apa yang mereka percaya apabila mereka tahu bahawa mereka bukan berseorangan mempercayai hal tersebut. Logik yang mereka fikirkan; jika ianya tidak benar, bagaimana ia boleh bermula.

Ketiga, kajian mendapati bahawa manusia lebih percaya sesuatu teori konspirasi apabila berlakunya krisis sosial yang dahsyat contohnya ketika peristiwa 11 September 2001.

Keempat, kerana teori fizik dan sains yang ada tentang bumi ini bulat mungkin sukar difahami oleh sesetengah orang. Sekalipun fakta menyatakan bahawa bumi ini bulat, ada pertukaran malam dan siang dan sebagainya, namun kita tidak merasakan ‘bulatnya’ bumi apabila kita berjalan di atas muka bumi. Kita tetap merasa bahawa kita berjalan di atas hamparan yang rata.

BACA:  Isu Zakir Naik Dedahkan Kuasa Islam di Malaysia

Terakhirnya, manusia cenderung untuk mempercayai bahawa bumi ini rata kerana wujudnya perkataan-perkataan tertentu yang menggambarkan seperti bumi ini rata dalam kitab suci yang ada. Contohnya di dalam Al-Quran, ada perkataan yang membawa maksud ‘hamparan’ dan ‘bentang’ yang seolah-olah menunjukkan bahawa bumi ini rata.

Apa Kata Mufti?

Terkini, pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sendiri telah mengeluarkan penerangan bertulis di laman web Mufti Wilayah Persekutuan secara panjang lebar tentang pandangan para sarjana Islam tentang bentuk bumi. Berikut antara intisari penerangan tersebut:

وَالْأَرْضَ مَدَدْنَاهَا وَأَلْقَيْنَا فِيهَا رَوَاسِيَ وَأَنبَتْنَا فِيهَا مِن كُلِّ شَيْءٍ مَّوْزُونٍ

Maksudnya: Dan bumi ini Kami bentangkan, dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang kukuh terdiri, serta Kami tumbuhkan padanya tiap-tiap sesuatu yang tertentu timbangannya – (Surah al-Hijr 15:19)

Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa’di mentafsirkan (وَالْأَرْضَ مَدَدْنَاهَا) dengan maksud: Kami luaskan (lapangkan) bumi dengan seluas-luasnya agar manusia dan haiwan-haiwan seluruhnya dapat berjalan sampai ke segenap pelosok dan mencari rezeki-rezekinya, dan dapat tinggal di sudut-sudutnya.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, hlm. 1/347)

Perlu diingatkan bahawa apabila memahami ayat-ayat Al-Quran, ia perlu difahami secara menyeluruh dan bukan bergantung kepada sebahagian ayat sahaja. Kadang-kadang ayat daripada satu surah mempunyai keterangan lanjut dalam ayat yang lain pula.

Selain itu, kita perlu merujuk kepada keterangan daripada para pentafsir bagi memahami konteks ayat tersebut dengan lebih tepat. Contohnya dalam ayat di bawah, Allah ada menggunakan perkataan “يكور” yang apabila diterjemahkan membawa maksud ‘melingkar’.

خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ بِالْحَقِّ ۖ يُكَوِّرُ اللَّيْلَ عَلَى النَّهَارِ وَيُكَوِّرُ النَّهَارَ عَلَى اللَّيْلِ ۖ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ ۖ كُلٌّ يَجْرِي لِأَجَلٍ مُّسَمًّى ۗ أَلَا هُوَ الْعَزِيزُ الْغَفَّارُ

“Ia menciptakan langit dan bumi dengan ada faedah dan gunanya yang sebenar; Ia pula menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya), dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya); dan Ia menjadikan matahari dan bulan beredar menurut perintahnya, – tiap-tiap satu dari keduanya, beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Ingatlah! Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Yang sentiasa Mengampuni.”
(Surah Al-Zumar 39:5)

Syeikh Ibn ‘Asyur

Berkata Ibn ‘Asyur dalam mentafsirkan kalimah (يُكَوِّرُ) dalam Surah al-Zumar ayat 5 di atas:

Al-Takwir bermaksud menggulung dan melingkar. Dikatakan kawwara al-‘Imamah dengan maksud menggulung dan melilit serban. Diumpamakan takwir di sini dengan fenomena pertukaran siang ke malam pada satu bahagian di permukaan bumi, dan sebaliknya, secara bergilir seperti perbuatan melilit serban, iaitu pertukaran malam berlaku ke atas pertukaran malam yang sebelumnya.

BACA:  [VIDEO] Penjelasan Ustaz Azhar Idrus Tentang Isu Filem Hantu Bonceng

Ini merupakan satu analogi yang unik dan boleh diterima, bahawa bumi itu ibarat bentuk kepala. Dan dianalogikan pertukaran siang dan malam ke atas bumi itu, ibarat pergerakan lilitan serban ke atas kepala yang bulat. Ini juga merupakan sebahagian daripada mu‘jizat saintifik al-Qur’ān. Kalimat takwir merujuk juga kepada kurrah yang bermaksud sfera, iaitu objek yang berbentuk bulat yang sama tiap penghujungnya.

Justeru bumi ini adalah sfera. Fakta ini tidak diketahui oleh bangsa Arab dan manusia, sehinggalah al-Qur’ān memberikan isyarat dengan dua elemen, iaitu pertukaran secara giliran iaitu gelap kepada terang atau malam kepada siang.”
(Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir: 23/238)

Abu Hayyan al-Andalusi pula menukilkan kenyataan Abu Abdillah al-Darani yang berkata:

“Telah thabit dengan dalil bahawa bumi adalah bulat (sfera). Dan ini tidak bercanggah dengan firman Allah SWT: (مَدُّ الأَرْضِ) “bumi terbentang”. Ini kerana sesungguhnya bumi adalah suatu jisim yang besar. Dan (sememangnya) bentuk bulat (sfera) jika terlalu besar, maka suatu bahagian daripadanya akan kelihatan seperti rata terhampar”. (Lihat al-Bahr al-Muhit, 6/346)

Syeikh Muhammad al-Amin bin Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti

Semasa mentafsirkan Surah al-Nazi’at ayat 30-31, guru kami Syeikh Muhammad al-Amin bin Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti menekankan keperluan untuk merujuk kepada pakar astronomi dalam kalangan umat Islam, yang bersepakat menyatakan bahawa bentuk bumi ini adalah bulat atau sfera. (Lihat Adwa’ al-Bayan, 8/425)

Pendapat Ulama’ Lain Berkenaan Bentuk Bumi

Selain daripada ulama’ tafsir yang membicarakan isu ini, pihak Mufti Wilayah Persekutuan juga mengkaji tokoh-tokoh ulama’ terdahulu dengan pendapat mereka. Antaranya:

Ibnu Hazm al-Zahiri

“Mereka berkata: Sesungguhnya bukti-bukti telah mengesahkan bahawa bumi adalah bulat, sedangkan masyarakat awam mengatakan sebaliknya. Dan jawapan kami (taufiq hanya daripada Allah): Sesungguhnya seorang daripada imam-imam para muslimin yang berkelayakan untuk digelar imam dalam ilmu (semoga Allah meredai mereka) tidak mengingkari bulatnya bumi. Dan tidak dihafaz (tidak dijumpai suatu nas atau nukilan) satu kalimah pun daripada salah seorang daripada mereka dalam menolak perkara tersebut. Bahkan bukti-bukti daripada al-Quran dan Sunnah telah datang membuktikan bulatnya bumi.” (Lihat al-Fasl fi al-Milal wa al-Ahwa’ wa al-Nihal, 2/78)

BACA:  ”Bagi Bantuan Bot Dan Enjin Harga RM20,000, Tapi Mereka Jual RM8000,” Kisah Segelintir Asnaf Ini Buat Ramai Tersentak

Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah

Pendapat bumi bulat telah dinukilkan oleh Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah daripada Abi al-Husain al-Munadi yang berkata: “Ulama’ ijma’ bahawa bumi ini dengan semua pergerakannya sama ada di laut atau di darat seperti bulatan.” (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 25/195)

Kata beliau lagi dalam kitabnya (5/150): “Ketahuilah bahawasanya mereka (para ulama) telah bersepakat mengatakan bahawa sesungguhnya bumi berbentuk sfera.”

Ahmad bin Yahya bin Fadhl al-‘Umari Syihab al-Din

Beliau menukilkan daripada al-Syarif al-Idrisi dalam muqaddimah kitabnya, Masalik al-Absar fi Mamalik al-Amsar: “Kata al-Syarif (al-Idrisi): walaupun bumi adalah sfera, namun ia tidaklah benar-benar bulat (maksudnya bujur sedikit)”

Abu Bakr bin Yahya al-Suli

Ibn Khallikan menyebut di dalam kitabnya bahawa Abu Bakr bin Yahya al-Suli berkata: “Maka sesungguhnya, bulatnya bentuk bumi adalah perkara yang maklum mengikut kaedah geometri. Ia sejarak 8000 farsakh. Jika kita letakkan hujung tali di atas mana-mana tempat di bumi, dan kita lilitkannya di atas bumi, kita akan akhiri hujung tali yang kedua di tempat yang sama dan akan bertemulah kedua-dua hujung tali tersebut”. (Lihat Wafayat al-A’yan, 4/359)

Pendapat Mufti Wilayah Persekutuan

Berdasarkan hujah dan keterangan di atas, pihak Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan bahawa sifat bumi adalah bulat. Hal ini disahkan lagi oleh kenyataan angkasawan negara Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor yang menyatakan:

“Bumi berbentuk sfera atau lebih tepat, berbentuk geosfera. Tidak seperti bola tetapi seakan-akan bentuk telur.”

Justeru, kami nyatakan bahawa penafian sifat bulatnya bumi adalah pendapat yang tersilap sementelahan lagi ia bertentangan dengan ijma’ yang tidak boleh dibangkangnya.

Kesimpulan

Untuk mencari kebenaran itu tidak salah malah digalakkan dalam Islam, namun usahlah sampai kita menafikan kebenaran yang telah ada di hadapan mata. Tambahan pula, kebenaran tersebut bukan direka-reka malah dirujuk kepada pihak yang pakar seperti ahli astronomi.

Seorang Muslim yang berani dan bijaksana bukan sahaja perlu berani dalam mencari kebenaran malah akur kepada kebenaran dan berani pula mengubah pendirian jika salah. Semoga Allah menjadikan kita orang yang memiliki telinga yang dengannya kita mendengar dan mata yang dengannya kita mampu melihat kebenaran.

 

Sumber: tzkrh.com

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *