Nasihat

Bagaimana Kalau Guru Tak Halalkan Ilmu?

Musim graduasi ialah musim yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang telah menamatkan pengajian di universiti. Ibu ayah pastinya orang yang paling bangga apabila anak-anak mereka menaiki pentas menerima segulung ijazah. Terlerai segala penat lelah, pengorbanan masa serta wang apabila jubah disarungkan di badan.

Namun ada juga suara-suara netizen di media sosial yang mengingatkan mereka yang bergraduasi tentang realiti dunia yang akan menanti, kerja, hutang PTPTN yang perlu dibayar, termasuklah soal ilmu yang dihalalkan atau tidak oleh pensyarah.

Tentang perihal ilmu yang dihalalkan atau tidak, wajar juga sebenarnya persoalan ini timbul. Sesiapa yang pernah bergelar pelajar pasti mempunyai pengalaman berhadapan dengan situasi yang tidak menyenangkan dengan guru atau pensyarah.

Datang ke kelas lambat dan tidak dibenarkan masuk, lambat menghantar tugasan, tidak fokus di dalam kelas dan bermacam ragam lagi. Sehinggakan ada sesetengah pensyarah berang lalu mengeluarkan kata-kata yang berbaur ugutan seperti; “Saya tak halalkan ilmu ini untuk kamu!”

Adakah hal ini wajar? Bagaimana dengan ilmu yang telah dipelajari?
Mari kita lihat apa kata Mufti Wilayah Persekutuan.

Dalam Segmen Al-Kafi li al-Fatawi, isu 862, hal ini telah dibincang dengan panjang lebar:

Tidak diketemui perbincangan yang khusus dikalangan ulama’ yang membahaskan konsep “tidak menghalalkan ilmu atau meminta untuk menghalalkan ilmu”. Pihak mufti beranggapan guru yang mengucapkan “tidak menghalalkan ilmu kepada penuntut ilmu atas alasan melakukan kesalahan, ia merupakan satu terma ugutan bagi seorang guru terhadap anak muridnya supaya beradab dalam menuntut ilmu. Begitu juga perihal anak murid meminta untuk menghalalkan ilmu daripada guru.

Kata-kata tersebut dilihat membawa erti tersirat. Ia sebenarnya menunjukkan pentingnya menjaga adab dengan guru supaya keberkatan diperoleh. Pihak mufti juga berpendapat jika guru menyebut sedemikian di hadapan anak murid, maka hal tersebut tidaklah membawa kepada dosa jika diamalkan ilmu yang disampaikannya.

BACA:  7 Kesilapan Besar yang Lazim dilakukan Ibu Bapa dalam Mendidik Anak

Imam Nasai’ sendiri pernah berlaku perselisihan bersama gurunya dan dihalau dari bertalaqi. Tetapi beliau tetap hadir bertalaqi walaupun tidak dapat melihatnya. Kisah ini diceritakan oleh Imam Ibnu Athir di dalam kitabnya, beliau menceritakan tentang biografi Imam Nasai’ bersama gurunya Al-Haris bin Miskin.

Apabila Imam Nasai’ meriwayatkan hadis daripada Al-Haris bin Miskin, beliau akan mengunakan perkataan “telah berkata Al-Haris bin Miskin dan aku mendengar” berbanding beliau menggunakan “telah berkata kepada kami atau telah mengkhabarkan kepada kami” seperti mana beliau menggunakan pada guru-gurunya yang lain.

Hal ini kerana, dikatakan bahawasanya Al-Haris dan Imam Nasai’ pernah berselisih faham sehingga menyebabkan beliau tidak dapat hadir lagi ke majlis gurunya itu. Bahkan beliau hanya bersembunyi pada satu sudut dan mendengar apa yang dibacakan oleh gurunya tanpa melihat. (Rujuk Jamik al-Husul fi al-Hadith al-Rasul, 1/196).

Beradab di hadapan guru adalah prinsip yang amat penting bagi seorang penuntut ilmu. Lihat bagaimana ulama’ terdahulu ketika menuntut ilmu, mereka akan mempelajari adab sebelum mempelajari ilmu.

Seperti Imam Al-Ghazali yang amat mementingkan adab dalam menuntut ilmu. Beliau telah mengkhususkan satu bab di dalam kitabnya, Ihya’ Ulum al-Din khusus untuk mempelajari adab bersama guru. Bahkan Sheikh Abdullah bin Mubarak pernah menyatakan:

طلبت الأدب ثلاثين سنة، وطلبت العلم عشرين سنة؛ كانوا يطلبون الأدب ثم العلم

“Aku mempelajari adab menuntut ilmu selama 30 tahun, kemudian baru mempelajari ilmu”.
(Rujuk Ghoyatul Nihayah fi Tobaqat al-Qira’, 1/446)

Imam Al-Ghazali juga mencatatkan di dalam kitabnya, Ihya’ ‘Ulum al-Din yang menukilkan kisah adab dan akhlak Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah terhadap gurunya Imam Al-Syafi’e. Diriwayatkan bahawa Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah mengatakan:

BACA:  Sahabat jatuh sakit jika lama tak jumpa Rasulullah

“Tidaklah aku solat semenjak 40 tahun melainkan di dalam solatku, aku mendoakan untuk al-Imam Al-Syafi’e semoga Allah SWT merahmatinya”.

Syaikh Bakr Abu Zaid Rahimahullah pula di dalam kitabnya Hilyah Tolibil Ilm mengatakan, “Pakailah adab yang terbaik pada saat kau duduk bersama syaikhmu, pakailah cara yang baik dalam bertanya dan mendengarkannya.”

Kesimpulannya, guru perlulah bijak menguruskan masalah dan seharusnya berlapang dada dalam menghadapi kerenah pelajar yang melakukan kesalahan dan nakal.

Begitu juga bagi pelajar, sekalipun guru mendapat gaji bulanan atas pengajaran yang diberikan, guru tetaplah seorang yang perlu dimuliakan kerana mereka juga mengorbankan masa, tenaga dan juga fikiran untuk anak didiknya. Bahkan masa rehatnya juga kadang kala diperuntukkan untuk berjumpa dengan para pelajar yang memerlukan bantuan.

Beradab dalam menuntut ilmu merupakan perihal yang penting bagi mendapat keberkatan ilmu. Rendah dirilah terhadap orang yang mengajarkan ilmu kerana mereka diibaratkan sebagai pahlawan. Dr. Hamka pernah menyatakan;

Guru adalah pahlawan yang sejati. Bukankah pahlawan tanah air, negarawan, pengarang, ahli pidato, orang penting atau berjawatan tinggi, dulunya pernah belajar di bangku sekolah dari serendah-rendahnya hingga setinggi-tingginya? Maka hargai insan yang bernama guru, kerana dia kamu dimuliakan.

 

Sumber: Tazkirah.net

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *