Keluarga

Bagaimana Dengan Mencintai Diri Sendiri, Wanita Lebih Bahagia Dalam Rumah Tangga

Mencintai diri sendiri bukan bermaksud mementingkan diri sendiri. Ia bermaksud selain anda mencintai orang lain, anda juga menyayangi dan menghargai diri sendiri. Apabila diri sendiri gembira, anda juga dapat memberi kasih sayang sepenuh hati kepada orang lain.

Dalam dunia motivasi, frasa ‘self-love’ selalu disebut-sebut bagi menerangkan perihal mencintai diri sendiri.

Antara cara seseorang menghargai diri sendiri adalah seperti mendapatkan sokongan ketika ada masalah, menghormati kehendak diri, dan juga memperuntukkan masa buat diri sendiri untuk bertenang dengan melakukan aktiviti yang disukai.

Namun sayangnya ada segelintir wanita, apabila sudah berada di alam rumah tangga, semakin lama seperti semakin jauh daripada diri sendiri, dalam erti kata lain, mereka mengabaikan hak dan juga keperluan diri.

Jika sebelum berkahwin, mereka seorang yang sukakan kekemasan, suka terlibat dengan aktiviti bermanfaat seperti menjadi sukarelawan, membantu gelandangan dan mereka yang kurang berkemampuan, mengajar anak-anak kecil, aktif melakukan aktiviti lasak yang disukai seperti mendaki gunung – namun selepas berkahwin semua minat dan hobi tersebut dikuburkan.

Alasannya, suami tidak membenarkan lagi untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti tersebut. Atau alasan lain yang akan muncul adalah tidak ada masa atau komitmen dengan anak-anak.

Sekufu Sebelum Dan Selepas Berumahtangga

Apabila berbual bersama seorang penulis Tzkrh.com, Kak Azian Isa dalam sesi podcast kami, beliau ada menyebut tentang pentingnya aspek sekufu sebelum dan selepas berumahtangga. Katanya, kita kerap berbincang tentang sekufu dari segi pemikiran, cara hidup, keturunan dan sebagainya sebelum berkahwin.

Tetapi setelah berkahwin, aspek sekufu semakin lama semakin diabaikan. Perkara yang sebelumnya dipersetujui kini menjadi bahan untuk bertelagah. Perkara yang sebelumnya tidak menjadi isu, kini menjadi isu dalam perhubungan. Kemudian timbul pula masalah-masalah lain seperti pasangan tidak mahu memahami dan sebagainya.

BACA:  Adab dan Cara Pendidikan Kepada Anak Ketika Mereka Menangis

Dalam hal ini penting untuk memahami bahawa perbincangan diperlukan sepanjang masa. Banyak perkara yang perlu ‘disekufukan’ walaupun setelah berkahwin. Ini kerana, pandangan dan perspektif manusia boleh berubah mengikut keadaan dan masa.

Berbincanglah dengan matang, dan bukan dengan penuh emosi dan kemarahan.

Berbalik semula kepada soal mencintai diri sendiri tadi. Terdapat 3 perkara yang dapat menjadi panduan untuk seseorang itu bertindak menyayangi diri sendiri. Berikut antaranya:

1. Tetapkan Sempadan (Set The Boundaries)

Dalam perhubungan yang tidak sihat, seseorang cenderung merasakan bahawa pasangannya merasa hal yang sama seperti dirinya. Contohnya, jika dia sukakan suatu perkara, maka pasangannya mesti sukakan perkara tersebut juga. Maka meletakkan sempadan di sini dapat berfungsi sebagai garisan untuk menghormati keunikan dan pilihan pasangan yang tersendiri.

Dalam hubungan yang sihat, masing-masing akan menghormati pilihan pasangan selagi ia tidak mengganggu keharmonian rumah tangga.

Apabila sempadan yang sihat diletakkan, maka seseorang akan mengambil langkah bertanya dahulu, meminta kebenaran, meminta maaf jika melakukan perkara yang tidak disukai dan sebagainya.

2. Beritahu Dengan Jelas Apa Yang Diperlukan

Wanita cenderung untuk bercakap dengan penuh lapik, kias dan bahasa yang berbunga-bunga yang kadang-kadang langsung tidak difahami oleh makhluk bernama lelaki. Di dalam rumah tangga, sangat penting untuk menyampaikan hasrat hati dan apa yang diperlukan dengan jelas.

Contohnya jika anda memerlukan ‘me time’ atau masa bersendiri untuk melakukan hobi yang disukai, atau untuk berjumpa rakan yang sudah lama tidak berjumpa, maka nyatakan secara jelas apa yang dimahukan dan selama mana tempoh yang diperlukan. Nyatakan sebab dan justifikasi di sebalik perkara tersebut, lakukan negosiasi dengan bijak.

3. Tahu Prioriti Sebagai Seorang Isteri

BACA:  Tanggungjawab terhadap anak

Apabila anda ingin meminta supaya diberikan masa sendiri, usah lupa kepada tugas dan keutamaan sebagai seorang isteri. Usah lupa tugas hakiki.

Contohnya jika ingin keluar bertemu rakan, pastikan dahulu anda sudah menyelesaikan tugasan di rumah seperti memasak dan mengemas rumah. Selain itu, patuhi perjanjian yang telah dipersetujui contohnya tidak boleh pulang sebelum malam, tidak boleh berjumpa di tempat yang terlalu jauh dan sebagainya. Hormati kepercayaan yang telah diberikan oleh pasangan.

Seorang wanita dianugerahkan dengan emosi supaya mereka lebih sensitif dengan keperluan diri, serta sebagai persediaan menjadi seorang ibu, dalam memahami keperluan anak dan keluarga. Yang paling penting, mereka sendiri perlu sedar bahawa emosi yang stabil dapat menjemput rasa bahagia sekaligus membantu mereka untuk menguruskan keluarga secara optimum.

 

Sumber: tzkrh.com 

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *