Tazkirah

Ayuh Para Wanita Kita Meraih Pahala Ketika Haid

Tentu ada segelintir kaum wanita yang tertanya-tanya kenapa dia didatangi haid pada setiap bulan? Kenapa Allah SWT takdirkan dia didatangi haid? Kenapa kaum lelaki tidak mengalaminya?

Sabda Rasulullah SAW;

“Sesungguhnya haid adalah perkara yang Allah tetapkan ke atas wanita keturunan Adam.”
Riwayat Bukhari & Muslim

Jom kita fahami perkara yang berkaitan dengan kejadian wanita ini.

Perkataan haid berasal daripada perkataan ‘haadla’, ‘yahuudlu’ dan ‘haidlan’ yang bermaksud sesuatu yang mengalir. Darah haid terjadi bukan disebabkan oleh penyakit seperti luka, keguguran atau kerana melahirkan.

Menurut istilah syarak, haid adalah proses pendarahan yang terjadi pada kaum wanita secara semulajadi yang berlaku pada waktu-waktu tertentu sahaja.

Sains mengkelaskan darah haid sebagai darah yang dilepaskan oleh jaringan epitel endometrium akibat pengaruh kitaran hormon reproduksi. Dalam bahasa mudahnya, pelepasan dinding rahim.

“Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah, haid itu suatu kotoran. Oleh sebab itu, hendaklah kamu menjauhkan diri daripada wanita pada tempat keluarnya darah haid (faraj), dan janganlah kamu mendekati meraka sebelum mereka suci.”
Al-Baqarah: 222

Setiap wanita yang normal akan mengalami proses pelepasan dinding rahim setiap bulan. Proses ini disertai dengan pendarahan (haid) kecuali ketika mengandung.

Kebiasaannya proses ini bermula ketika seorang perempuan berumur dalam lingkungan sembilan ke 12 tahun dan akan berhenti sekitar usia 45 ke 55 tahun.

Jadi, berapa harikah kaum wanita akan didatangi haid?

Sesungguhnya untuk soalan itu, tidak ada yang dapat memberi jawapan yang tepat.
Waktu haid yang normal bagi seorang wanita adalah sekurang-kurangnya satu hari, kebiasaannya tujuh hari.

Maksima adalah 15 hari. Jika lebih daripada 15 hari, darah itu dikenali sebagai darah istihadhah. Dinamakan darah istihadhah kerana keluarnya melebihi daripada tempoh maksima haid yang normal.

BACA:  Larangan Wanita Mengenakan Wangian Kuat

Jika ini berlaku, hendaklah dapatkan nasihat dan rawatan daripada pakar kesihatan.

Sepanjang tempoh kaum wanita didatangi haid, mereka tidak perlu mengerjakan solat. Dalam istilah lain, ‘ABC’ bermaksud Allah Beri Cuti.

Jadi, adakah sepanjang waktu didatangi haid, wanita tidak berpeluang untuk meraih pahala? Allah SWT telah berfirman;

“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada-Ku.”
Az-Zariyat:56

Ini bermakna, haid itu bukanlah penghalang bagi wanita untuk melakukan ibadat; seterusnya meraih pahala buat bekalan di akhirat nanti. Berikut adalah antara ibadat-ibadat yang boleh dilakukan ketika haid:

#1 – Beristighfar
“Hai orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan sebenar-benar taubat, mudah-mudahan Tuhanmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai…”
At-Tahrim:8

Antara kelebihan beristighfar:

#1-Meluaskan rezeki
“Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. Nescaya Dia akan menurunkan hujan kepadamu dengan lebat. Dan memperbanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.” Nuh: 10 – 12

#2- Memberikan kesihatan dan kekuatan tubuh

“Hai kaumku, mintalah ampun kepada Tuhanmu lalu bertaubatlah kepada-Nya, nescaya Dia akan menurunkan hujan yang sangat lebat untukmu dan Dia menambahkan kekuatanmu dan janganlah kamu berpaling dengan berbuat dosa.”
Hud: 52

#2 – Memenuhi Hak-Hak Suami
Pada zaman Rasulullah SAW, ada segolongan wanita yang memprotes tentang pahala yang boleh diperolehi oleh kaum lelaki dibandingkan dengan kaum wanita.

Ini kerana kaum wanita lebih banyak menumpukan masa di rumah sedangkan pada zaman itu, kaum lelaki keluar bersama Rasulullah SAW ke medan perang dan mereka mendapat pahala syahid sekiranya gugur di medan perang.

BACA:  Kisah Nabi Ibrahim dan Seekor Katak

Mendengarkan keluhan mereka, Rasulullah SAW menasihatkan melalui seorang wakil;

“… sampaikanlah kepada sekalian wanita yang berada di belakangmu bahawa perlakuan yang baik salah seorang daripada kamu terhadap suaminya, meminta redanya dan memenuhi keinginannya dapat menyamai seluruh pahala yang kamu sebutkan untuk kaum lelaki.”
Riwayat Bazzar dan At-Tarmidzi

Aisyah RHA berkata;

“Wahai para wanita, jika kamu mengetahui kemuliaan memenuhi hak-hak suami yang menjadi kewajipanmu, nescaya para isteri rela menghilangkan debu daripada kaki suaminya dengan pipinya.”

Dengan itu, biarpun dengan hanya duduk di rumah, kaum wanita masih lagi boleh mendapat rahmat Allah SWT. Antara cara-caranya:

#1- Taat kepada suami selagi dia tidak mengajak kepada kemaksiatan.
#2- Menjaga rumah dan harta benda suami.
#3- Tidak mengizinkan sesiapa pun masuk ke dalam rumah tanpa izin suami dan tidak keluar rumah melainkan setelah diizinkan oleh suami.
#4- Menghiasi diri dengan qanaah (berasa cukup), tidak meminta-minta yang di luar kemampuan suami.

#3 – Berzikir
Berzikir adalah satu bentuk ibadat yang paling mudah, ringan dan boleh dilakukan pada bila-bila masa.

#1- Membaca tahlil ‘La ilahaillallah.’

“Tidak ada seorang hamba yang mengucapkan Laailahaillallah 100 kali, melainkan Allah membangkitkan dia pada hari kiamat dengan wajah bagaikan bulan pada malam purnama. Dan tidaklah ditinggikan bagi seseorang pada hari itu suatu amalan yang lebih baik daripada amalannya, kecuali orang yang mengatakan seperti perkataan tersebut, atau lebih daripada itu.”
Riwayat Al-Baihaqi

#2- Membaca tasbih ‘Subhanallah wabihamdih Subhanallah halazhim.’

“Ada dua kalimat yang ringan diucapkan tetapi berat dalam timbangan dan disukai oleh Tuhan yang Maha Pemurah iaitu Subhanallah wabihamdih Subhanallah halazhim (Maha Suci Allah dan segala pujian bagi-Nya, Maha Suci Allah yang Maha Agung).”
Riwayat Bukhari dan Muslim

BACA:  Dosa Orang Suka Maki Hamun

#3- Membaca tahmid ‘Alhamdulillahi Robbil Alamin’

“Sekiranya dunia dan sekalian isinya diletakkan di atas tangan seorang umatku, lalu orang itu berkata “Alhamdulillahi Robbil Alamin”, sungguh ucapan itu adalah lebih berat daripada dunia dan segala yang menjadi miliknya.”
Riwayat Al-Qurthubi

#4- Membaca selawat.

“Orang yang paling cepat mendekatiku pada hari Kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.”
Riwayat At-Tarmidzi

#4 – Bersedekah
Antara keutamaan-keutamaan sedekah buat kaum wanita adalah ia dapat memelihara kaum wanita daripada kepanasan di Padang Mahsyar dan melindungi daripada api neraka. Daripada Aisyah RHA, Rasulullah SAW bersabda;

“Wahai Aisyah, berlindunglah daripada siksa api neraka meskipun dengan sebutir kurma, sebagaimana kamu membuat orang lapar menjadi kenyang.”
Riwayat At-Tarmidzi

Hikmah Didatangi Haid
Hikmah kedatangan haid bagi wanita menunjukkan bahawa tubuh mereka berfungsi dengan baik dan normal.

Wanita yang mengalami haid menandakan kesuburannya, sebaliknya wanita yang ada masalah dengan haid hendaklah menemui doktor untuk diperiksa.

Menurut Ibnu Taimiyah dalam bukunya, Majmu’ Fatawa;

“Allah Maha Adil dalam penciptaan makhluk-Nya di dunia ini. Struktur tubuh wanita dari sudut biologi adalah berbeza dengan kaum lelaki. Wanita akan mengalami haid pada setiap bulan. Ini kerana haid itu adalah sejenis darah kotor dan perlu dikeluarkan oleh tubuh. Sekiranya tidak dikeluarkan, akan membahayakan kesihatan wanita. Setiap wanita haruslah bersyukur ke hadrat Ilahi yang telah mentakdirkan dirinya mengalami haid.”

Ketetapan itu bukanlah untuk menyusahkan kaum wanita atau untuk menghina, tetapi untuk menjaga kesihatan kaum wanita itu sendiri. Ini adalah merupakan salah satu tanda kebesaran Allah SWT dan keunikan penciptaan-Nya.

 

Sumber: Tazkirah.net 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!