Motivasi

Ayuh Kita Bangkit Dari Kegagalan Yang Sementara

Menjadi adat manusia, tiada siapa yang mahukan kesusahan dalam hidup ini. Ramai inginkan kejayaan tanpa ada kegagalan.

Semua menginginkan urusan hidup berjalan lancar tanpa ada sebarang masalah yang melanda. Tetapi ia berlaku tidak seperti yang diimpikan. Ujian menjelma tanpa petanda dan ia datang tidak diundang.

Namun kita harus sedar, kehidupan adalah satu medan ujian dan perjuangan. Jadi istilah gagal bukan satu penamat kehidupan! Ia menjadi sebahagian dalam diari hidup kita di dunia.

Tidak dapat tidak, kita mesti menghadapi ujian dalam kehidupan. Firman Allah S.W.T yang bermaksud;

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”
Surah al-Baqarah:155

Kegagalan adalah salah satu daripada ujian dalam kehidupan. Sebenarnya kegagalan bukan satu masalah besar yang perlu dirisaukan. Kegagalan itu ada hikmah yang Allah sedang kurniakan.

Jika tidak gagal kita tidak akan tahu kekurangan dan kesilapan yang telah kita lakukan. Jadi kegagalan itu harus dipandang sebagai kunci untuk menambah baik dan memperbaiki segala kelemahan sebelum ini.

Jika kita berfikiran positif dan teruskan melangkah, kegagalan yang dihadapi dirasa hanya kecil di pandangan mata sahaja.

“Kepayahan yang ditanggung juga dapat menjadi sumber inspirasi dan kecekalan dalam meneruskan hidup.”
Winston Churchill-Mantan Perdana Menteri United Kingdom

Sebenarnya kegagalan itu menjadi peringatan pada diri untuk lebih berhati-hati dalam segala tindakan. Misalnya, kita terjatuh dalam satu lubang di kawasan A. Dan setelah itu kita melalui tempat yang sama pada hari yang lain. Adakah kita akan lebih berjaga-jaga?

BACA:  7 Cara Ini Dapat Membantu Anda Melawan Sikap Bertangguh

Ya, kita tidak mahu jatuh untuk kali kedua. Kita akan beringat untuk menjaga setiap langkah supaya tidak mengulang kesalahan yang sama. Tegasnya, kegagalan ada baiknya apabila kita melihat dari sudut yang berbeza.

Selain itu, kegagalan mengajar kita erti kesabaran. Dalam mengapai kejayaan yang cemerlang, kita perlu mengharungi kesusahan dan kepayahan yang menyerang.

Ia datang bukan melemahkan kita tetapi ia datang agar ada sabar dalam perjuangan. Supaya langkah kita tidak rapuh dan tidak cepat mengalah.

Tanpa kegagalan juga kita tidak akan merasa kemanisan dalam kejayaan. Jika tidak merasa kegagalan apa gunanya kejayaan? Hakikat kegagalan ada inspirasi untuk teruskan berusaha dan berkorban. Dengan kegagalan, kita lebih menghargai erti sebuah kejayaan.

“Seseorang mengecap nikmat bahagia bukan kerana situasi yang dia alami, tetapi kerana sikapnya ketika menangani situasi itu.”
Hugh Downs-Wartawan

Jadi apa yang perlu kita lakukan sekarang, perbetulkan pemikiran kita yang suka memandang serong dengan kehadiran kegagalan.

Kegagalan bukan musuh tetapi petunjuk jalan agar tujuan kita menjadi tepat dan tidak tersasar. Ia memberi kita gambaran lebih luas supaya tidak terlepas pandang kesilapan yang telah kita lakukan.

Serta kegagalan memberi pengalaman hidup yang bermakna apabila kita mengambil pengajaran di sebalik kegagalan tersebut.

Orang Hebat Juga Pernah Gagal

Tahukah kita, ramai tokoh-tokoh yang dikenali dunia dan orang-orang hebat pun turut mengalami kegagalan sebelum menemui kejayaan.

Sungguh, kegagalan tidak pernah membuatkan mereka terus rebah malah mereka bangkit dan menuju ke puncak jaya. Siapakah mereka?

#1- Thomas Edison

Siapa yang tidak mengenali Thomas Edison, beliau adalah pencipta lampu mentol yang telah membantu ramai manusia di dunia. Beliau juga seorang usahawan yang berjaya.

BACA:  7 Langkah Terbaik Mengawal Emosi Anda Ketika Marah

Di sebalik kehebatan beliau, beliau turut menghadapi kesusahan. Di sekolah, beliau dianggap murid yang sering tertinggal dan dianggap murid yang tidak berbakat.

Disebabkan itu, ibunya pula mengajarnya dan beliau tidak bersekolah secara formal lagi. Ibunya tidak berpatah semangat mengajar beliau.

Selain itu, sebelum dapat menghasilkan lampu mentol yang menyala, beliau telah melakukan hampir beratus kali eksprimen. Sekali gagal, beliau teruskan lagi. Lagi dan lagi. Sehingga lampu mentol berjaya dihasilkan dengan lebih baik.

#2- Colonel Harland Sanders

Siapa yang tidak kenal dengan makanan segera iaitu KFC. KFC dikenali di seluruh dunia. Sedarkah kita yang pengasas KFC iaitu Colonel Harland Sanders pernah gagal lebih dari 1000 kali untuk mendapat platform untuk memperkenalkan ayam gorengnya.

Sering kali ditolak. Beliau tidak pernah berputus asa. Akhirnya, ayam gorengnya berjaya diperkenalkan dan dikenali sehingga sekarang.

Pada umur 88 tahun, baru beliau menjadi jutawan. Lihat! Bukan satu masa yang singkat beliau tempuhi kegagalan. Beliau tidak mengalah sehingga telah mencecah lanjut usia.

 

#3- Jack Ma

Beliau pengasas Alibaba.com iaitu sebuah syarikat e-dagang yang telah berjaya di dunia. Pada tahun 2014, Alibaba.com menerima transaksi atas talian berjumlah USD 248 billion dan jumlah itu telah mengatasi jumlah yang diperoleh oleh Ebay dan Amazon.

Sebelum beliau menjadi usahawan yang berpengaruh di Asia, beliau turut ditimpa kegagalan demi kegagalan. Beliau pernah memohon kerja di KFC bersama 23 orang yang lain. Dan keputusannya, ke-23 orang telah berjaya bekerja di KFC tetapi Jack Ma ditolak dan tidak diterima bekerja.

Beliau juga pernah meminta kerja sebagai polis. Sebanyak 5 orang termasuk beliau turut memohon. Dan tidak disangka, beliau turut gagal dan empat yang lain berjaya menjadi polis. Subhanaallah!

BACA:  Dadah : Setelah Rebah, Bangkit Kembali

Belajar Dari Kesilapan

Tokoh-tokoh dan orang berjaya turut gagal. Namun, mereka tidak mengalahkan takdir dan teruskan berjuang.

Usia kita di dunia hanya seketika, jadi gunakan dengan sebaiknya. Belajarlah dari kesilapan yang lalu dan perbaiki diri dari semasa ke semasa. Insyaallah, kejayaan akan menunggu kita!

“Sekiranya kita menyesal kerana gagal, tetapi tidak mengambil sebarang pengajaran daripada kegagalan itu, sesungguhnya kita akan sentiasa berada dalam penyesalan.
Jack Ma

Waallahualam.

Rujukan;
1.Never Give Up-Jack Ma In His Own Words (Suntingan Suk Lee dan Bob Song)
2.Chicken Soup for the Soul-Berfikir Positif (Jack Canfield, Mark Victor Hansen, Amy Newmark)
3.http://thepresident.my/tp/2017/07/07/kisah-pakcik-kfc/
4.http://www.imi.gov.my/akrab/index.php/koleksi-cerita/2-uncategorised/19-kisah-berani-gagal-para-tokoh-dunia
5.https://www.biografiku.com/biografi-thomas-alva-edison/

 

Sumber: Tazkirah.net 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!