Soal Jawab Agama

Aurat Perempuan Dalam Sukan Renang

Soalan :

Apakah hukumnya seorang perempuan yang menyertai acara renang dalam sukan yang dalam acara tersebut perserta memakai baju mandi yang ketat dan mendedahkan sebahagian besar aurat mereka?

Jawapan :

Setiap orang yang beragama Islam wajib menutup auratnya dari dilihat olih orang lain. Hukum menutup aurat adalah fardhu ain atas semua orang Islam yang telah aqil baligh samada lelaki atau perempuan. Mendedahkan aurat adalah haram samada dalam bersukan atau apa sahaja keadaan melainkan dalam keadaan darurah seperti berubat.

Dalam acara sukan seperti renang sememangnya peserta memakai pakaian yang mendedahkan aurat dan ketat hingga menampakkan bentuk tubuhnya. Yang melakukan perbuatan mendedahkan aurat seperti ini adalah berdosa kerana melakukan suatu yang diharamkan dengan ijmak ulamak. Menghalalkannya menyebabkan seseorang itu rosak aqidahnya.

Rasulullah saw bersabda :

إِ فَإِذَا اغْتَسَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْتَتِرْ

artinya : “Maka apabila mandi seorang kamu maka hendaklah ia menutup dirinya.” (Hadith Abu Daud)

Mandi adalah satu keperluan manusia dan Rasulullah saw memerintahkan supaya kita mandi di tempat yang tertutup supaya aurat kita tidak dilihat olih orang lain. Ada pun bersukan bukanlah satu keperluan hidup, ia hanyalah semata-mata permainan maka membuka aurat pada bersukan lebih lagi tidak dibenarkan olih agama.

Samada sukan itu bertaraf antarabangsa atau sebaliknya haram hukumnya masuk serta samada sukan renang, terjun, gimnastik atau lain-lain jika ketika menyertai acara dalam keadaan mendedahkan aurat. Tiada seorang pun yang berhak mengatakan sebagai harus samada ia pemimpin negara, raja, kementerian atau siapa sahaja.

Bukan setakat peserta yang mendedahkan aurat itu sahaja yang berdosa bahkan semua yang terlibat samada pengurus pasukan, menteri yang terlibat, pegawai-pegawai jabatan sukan, jurufoto, penyiar, ibu bapa perserta dan suaminya juga turut menanggung dosa.

BACA:  Ciri-ciri Isteri Tidak Solehah

Siapa sahaja yang mendedahkan aurat bila masa pun dan di mana jua pun maka dia termasuk golongan yang tidak mahu taat dengan perintah Allah dan diancam dengan masuk neraka di akhirat nanti.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah saw bersabda :

صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا: قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُوْنَ بِهَا النَّاسَ، وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيْلَاتٌ مَائِلَاتٌ، رُؤُوْسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ، لَا يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلَا يَجِدْنَ رِيْحَهَا، وَإِنَّ رِيْحَهَا لَيُوْجَدُ مِنْ مَسِيْرَةِ كَذَا وَكَذَا

Artinya : “Dua golongan dari ahli neraka yang tidak ada dizaman aku.

Pertama : Penguasa yang memerintah dengan zalim bertindak sesuka hati ke atas rakyatnya.

Kedua : Perempuan yang memakai baju tapi seperti telanjang yang menunjuk dirinya pada orang dan menarik perhatian orang. Kepala mereka tidak bertudung seperti seekor unta. Tidak masuk akan syurga dan tidak menicum bau syurga. Sedangkan harum syurga itu dapat dicium dari jarak yang sangat jauh.”

(Hadith Muslim, Baihaqi, Ibnu Hibban dan Ahmad)

Maka jelas sekali peserta sukan renang, terjun, gimnastik dan seumpamanya lelaki dan perempuan mereka berpakaian tetapi sebahgian besar auratnya terdedah dan pakaian yang ketat yang menampakkan kepada semua mata yang melihat akan bentuk tubuhnya sebagaimana tersebut dalam hadith di atas adalah golongan ahli neraka yang tidak masuk ke dalam syurga. Semuga kita semua bertaubat kepada Allah atas segala dosa yang telah kita lakukan. Sungguhnya pintu keampunan Allah amatlah luas.

Wallahua’lam

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *