Isu Semasa

Arak Musuh Global

Arak turut dimusuhi oleh agama lain termasuk sami Buddha di Thailand yang membantah penyenaraian syarikat arak di bursa saham negara itu, beberapa tahun lalu.

ISLAM memang mengharamkan arak sejak sekian lama. Sebabnya, ia lebih mendatangkan mudarat kepada manusia berbanding sedikit kebaikan yang diperolehi daripadanya.

Pengharaman arak atau minuman alkohol itu bukan sahaja oleh agama Islam, malah turut disokong oleh agama lain. Ia termasuk laporan oleh organisasi kesihatan di pelbagai negara.

Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan alkohol adalah punca kepada 60 jenis penyakit dan kecederaan serta komponen utama bagi 200 kecederaan yang lain.

Sejumlah empat peratus kematian seluruh dunia pula adalah disumbangkan oleh alkohol. Jumlah ini adalah lebih besar daripada kematian yang disebabkan oleh HIV atau AIDS, aktiviti keganasan atau batuk kering.

Statistik rasmi di United Kingdom pula mendapati, alkohol menyebabkan hampir 45-46 peratus kejadian jenayah.

Ia juga melibatkan 39 peratus keganasan dalam rumah tangga dan kajian juga menunjukkan hampir sejuta serangan ganas yang berlaku dalam tahun 2007-2008, dipercayai dilakukan oleh mereka yang sedang mabuk atau separa mabuk.

Di sebalik pelbagai kemudaratan akibat pengambilan alkohol atau arak ini, ramai yang masih tidak ambil peduli akan bahayanya. Orang Islam pun, ada yang tanpa segan silu dan bangga minum arak di tempat terbuka atau premis-premis eksklusif.

WHO juga melaporkan jumlah pengambilan minuman beralkohol pada tahun 2005 adalah 6.13 liter untuk setiap orang yang berumur 15 tahun dan ke atas.

Pengambilan paling besar iaitu 28.6 peratus atau 1.76 liter adalah alkohol atau arak buatan sendiri, arak tiruan atau yang dijual di luar kawalan oleh kerajaan.

Kebimbangan ini seterusnya membawa kepada pelaksanaan ‘Strategi Global ke arah mengurangkan bahaya penggunaan alkohol’ pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia di Geneva, Mei 2010.

BACA:  Jangan Dicemari Proses Pilihanraya

Antara strategi itu adalah memupuk kesedaran, komitmen dan kepemimpinan dalam mengurangkan penggunaan alkohol, polisi harga, tindakan komuniti dan mengurangkan kesan negatif akibat mabuk dan nyahtoksik alkohol.

Demikian dijelaskan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Penyalahgunaan Alkohol Kementerian Kesihatan, Dr. Rozanim Kamarudin, semasa membentangkan kertas kerja Arak dan Pencegahannya: Pengalaman Kementerian Kesihatan Malaysia.

Ia dibentangkan pada Persidangan Meja Bulat Arak dan Pencegahannya: Pengalaman Agensi-agensi Berkaitan anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Khamis lalu.

Sebanyak lapan kertas kerja daripada pelbagai agensi dibentangkan dalam persidangan sehari itu. Ia dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Prof. Datuk Dr. Zaleha Kamaruddin.

Menurut Dr. Rozanim, data bagi tahun 2008 menunjukkan 48 peratus daripada keseluruhan kes kecelaruan mental dan tingkah laku adalah berpunca daripada pengambilan bahan psiko aktif.

Laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tahun 2008 pula menunjukkan 5.3 peratus daripada keseluruhan kes baru keganasan rumah tangga adalah disebabkan alkohol,” katanya.

“Laporan yang sama menunjukkan 4.5 peratus daripada keseluruhan kes baru penderaan kanak-kanak adalah akibat alkohol,” katanya.

Dr. Rozanim menjelaskan, ketagihan alkohol boleh dirawat melalui pemantauan berterusan di hospital dan klinik yang ditetapkan.

Katanya, ketagihan alkohol tidak boleh berhenti serta-merta kerana tindakan sedemikian boleh membawa maut.

“Kementerian mempunyai identifikasi dan intervensi awal ke atas peminum arak yang diletakkan di bawah skor 0-7 (risiko rendah); 8-15 (pengambilan hazad), 16-19 (pengambilan mudarat) dan melebihi 20 (risiko kebergantungan),” jelasnya.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut merangka pelbagai strategi dan tindakan untuk membanteras gejala minum arak di kalangan umat Islam.

Penolong Pengarah (Syariah), Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Jakim, Mohamad Zarifi Mohamad Daud berkata, Jakim melalui peruntukan bidang kuasa yang ada telah berusaha menyelaras dan menyeragamkan peruntukan undang-undang berkaitan arak di seluruh negara.

BACA:  Mereka bukan umat yang membaca

Katanya, negara telah mempunyai peruntukan mengenai kesalahan minum minuman memabukkan di bawah Akta atau Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri masing-masing.

Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, Bahagian III, Seksyen 9 memperuntukkan:

i) Mana-mana orang yang di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

ii) Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan atau mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Kata Zarifi, dalam tempoh 2004 hingga 2009, sebanyak 1,673 orang dikenakan tindakan di bawah penguatkuasaan minum minuman memabukkan di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, Negeri Sembilan mencatat angka paling tinggi iaitu 367 kes, Sarawak (309 kes) dan Johor (216 kes),” jelasnya.

Menurut Zarifi, pihaknya menyedari pelbagai cabaran yang dihadapi dalam menguatkuasakan undang-undang tersebut. Antaranya, menilai sejauh mana tahap keberkesanan program-program dakwah yang telah dilaksanakan supaya Jakim boleh menyusun strategi lebih tepat dan objektif.

“Cabaran kedua adalah aspek penguatkuasaan terutama berkaitan kapasiti pegawai penguat kuasa di Jabatan-jabatan Agama Islam Negeri.

“Oleh yang demikian, Jakim sentiasa mengalu-alukan kerjasama rakan-rakan strategik untuk sama-sama membanteras penggunaan arak di kalangan umat Islam di negara ini,” tambahnya.

1 Comments

  1. Betul arak memang memburukan kita jika terlampau minum. Sepatut arak ada kebaikan jika minum tidak terlampau kerana ia boleh menggalak hadamman, pengaliran darah, memanaskan badan dan  boleh jadi perubatan untuk campuran ubat. Bukan arak sahaja jika kita terlampau minum minuman ringan yang manis boleh menyebab kencing manis. Terlampau makan makanan laut dapat penyakit hepatitis.  Itu sebab jika terlampau makan dan minum boleh merosakkan badan. Kenapa rokok langsung tidak membawa manfaat terhadap kesihatan dimana ia boleh menyebab penyakit paru-paru tetapi tidak diharam oleh ajaran Islam?Adakahah  ia tidak tercatit di Quran jadi tak haram ? Jelas sekali ajaran agama perlu mengikut zaman. Jika ia tak dapak mengikut zaman bermakna ajaran ini sudah tidak sesuai dizaman ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!