Lifestyle

Apakah Hukum Berjaga Sehingga Lewat Malam?

Berjaga sehingga lewat malam bukanlah suatu perkara yang pelik bahkan menjadi rutin bagi sesetengah orang. Biasanya mereka hanya memperuntukkan hanya sedikit masa untuk tidur sekitar tiga hingga empat jam.

Contohnya bagi seorang pelajar, situasi ini tidak dapat dielakkan setiap kali tiba musim peperiksaan atau ketika perlu menyiapkan tugasan dengan kadar segera. Ada orang yang berjaga malam kerana tuntutan kerja yang perlu diselesaikan. Ada pula yang bersengkang mata untuk menonton cerita atau bermain permainan video.

Walau apa pun sebabnya, apabila melibatkan hukum, isu ini perlu dilihat dari sudut faktor dan aktiviti. Apakah sebab yang membuatkan seseorang berjaga malam dan apakah aktiviti yang dilakukan ketika itu.

Dalam membincangkan isu ini, pendapat daripada Mufti Wilayah Persekutuan , Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri telah dirujuk:

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Mas’ud R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:

لاَ سَمَرَ إِلاَّ لِمُصَلٍّ أَوْ مُسَافِرٍ

Maksudnya: Tidak ada perbualan pada waktu malam melainkan untuk orang yang menunaikan solat atau bermusafir.
Riwayat Al-Tirmizi (2730)

Syeikh Muhammad bin Abd al-Rahman Al-Mubarakfuri Rahimahullah dalam mensyarahkan maksud perkataan سَمَرَ beliau berkata- Ia adalah perbuatan berbual-bual pada waktu malam. Lihat Tuhfah Al-Ahwazi, Al-Mubarakfuri (1/433).

Berdasarkan hadis ini, perbuatan berjaga malam untuk berbual-bual selepas solat Isya’ adalah tidak dibolehkan kecuali bagi orang yang solat ataupun sedang bermusafir.

Larangan ini juga secara lebih jelas dapat dilihat berdasarkan hadis yang diriwayatkan turut diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

جَدَبَ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ السَّمَرَ بَعْدَ الْعِشَاءِ

Maksudnya: Rasulullah S.A.W melarang kami dari perbuatan berjaga malam (berbual-bual) selepas dari solat Isya’
Riwayat Ibn Majah (703)

BACA:  6 Rahsia Untuk Menemui Kegembiraan Dalam Kehidupan Seharian

Imam Ibn Majah dalam komentar ringkasnya terhadap maksud perkataan جَدَبَ beliau berkata: “Iaitu memberi amaran dan melarang kami”

Larangan Bukan Dalam Bentuk Mutlak

Namun larangan di dalam beberapa riwayat di atas ini tidaklah datang dalam bentuk yang mutlak. Ini kerana terdapatnya beberapa riwayat yang menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W dan para sahabat sendiri melakukan hal ini (berjaga malam) iaitu dengan adanya hajat keperluan dan juga manfaat.

Antaranya adalah seperti yang ditunjukkan oleh sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Umar bin Al-Khattab R.A beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَسْمُرُ مَعَ أَبِي بَكْرٍ فِي الأَمْرِ مِنْ أَمْرِ الْمُسْلِمِينَ وَأَنَا مَعَهُمَا

Maksudnya: Rasulullah S.A.W pernah berbual-bual pada waktu malam bersama dengan Abu Bakar bagi membincangkan urusan-urusan umat Islam dan aku turut serta bersama mereka berdua.
Riwayat Al-Tirmizi (169)

Imam Al-Syaukani Rahimahullah menukilkan sebuah pandangan yang amat baik dari Imam Al-Tirmizi dalam mengulas isu ini dengan katanya: Para ahli ilmu dari kalangan sahabat-sahabat Nabi, para tabiin, dan golongan selepas mereka telah berbeza pendapat berkenaan perbuatan al-samar (berjaga malam untuk berbual-bual) selepas dari solat Isya’.

Sebahagian mereka menghukum makruh perbuatan tersebut, manakala sebahagian lainnya memberikan keringanan sekiranya pada perkara membincangkan ilmu, dan perkara-perkara lain yang ada keperluan padanya. Kebanyakan hadis menunjukkan kepada rukhsah (keringanan terhadap perbuatan tersebut).

Dan hadis ini menunjukkan kepada tidak makruhnya perbuatan berbual-bual pada waktu malam selepas Isya’ sekiranya ia untuk keperluan agama sama ada bersifat umum atau khusus. Manakala hadis daripada Abi Barzakh dan Ibnu Mas’ud menunjukkan kepada kemakruhan.

Secara mudahnya, kedua-dua hadis tersebut boleh diguna pakai. Hadis yang melarang adalah apabila perbualan yang berlaku mengandungi perkara yang tiada faedahnya, manakala hadis-hadis yang membenarkan adalah apabila perbualan tersebut mempunyai faedah.

BACA:  9 Rutin Harian Untuk Gaya Hidup Lebih Sihat

Untuk akhirnya, pihak mufti berpandangan bahawa berjaga malam dengan tujuan untuk kebaikan seperti berbincang tentang sesuatu yang boleh mendatangkan maslahah (kebaikan) untuk ummah, menuntut ilmu, menunaikan tanggungjawab kerja, dan selainnya adalah diharuskan.

Sebaliknya, berjaga malam untuk mencuri, melakukan maksiat, dan pelbagai kejahatan lain adalah haram hukumnya. Manakala berjaga sehingga lewat malam untuk berbual-bual kosong, menonton wayang gambar (movie), melihat perlawanan bola sepak, dan seumpamanya sekiranya ia membawa kepada pengabaian terhadap solat subuh, maka ia membawa hukum makruh.

 

Sumber: Tazkirah.net 

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *