Ibadah, Solat, Tazkirah

Apa Yang Berlaku Kepada Otak Anda Apabila Menunaikan Solat Tahajjud

Tahajjud adalah solat sunat tambahan yang sangat digalakkan. Malah dalam satu riwayat, ia adalah solat sunat yang berada di tempat pertama selepas solat fardu. Nabi SAW bersabda:

أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ. وَأَفْضَلُ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلاَةُ اللَّيْلِ.

Maksudnya: Puasa yang paling utama setelah puasa Ramadan adalah puasa (sunat) pada bulan Allah iaitu bulan Muharram. Sedangkan solat yang paling utama setelah solat wajib adalah solat malam (Tahajjud)
(Hadis riwayat Imam Muslim dalam Sahihnya, Kitab al-Shiyam, no. 1163)

Daripada Al-Quran dan hadis, kita dapat mengetahui tentang fadilat atau kelebihan yang diperoleh oleh orang yang selalu bangun solat malam. Antaranya ialah diampunkan dosa, dianggap sebagai seorang yang banyak berzikir oleh Allah malah mendapat tempat istimewa di sisi Allah.

Namun kali ini penulis ingin membawa para pembaca mengetahui pula apa yang sebenarnya berlaku kepada otak kita apabila menunaikan solat tahajud dan bagaimana ia boleh memberi kesan kepada tubuh badan.

Gelombang Fikiran Waktu Tahajud

Otak kita sebenarnya tidak ‘tidur’ walaupun kita sedang tidur. Ia masih aktif dan berlaku banyak proses di dalamnya contohnya aktiviti neuron yang berlaku tanpa henti. Jika anda masih ingat iklan susu bayi di kaca televisyen, yang diselangi dengan paparan video menunjukkan aktiviti otak dan penekanan ayat ‘sel-sel otak yang bersambung’, maka itulah yang dinamakan ‘firing neurons’. Aktiviti ini berlaku setiap masa tanpa kita sedar.

Aktiviti neuron yang menghasilkan gelombang otak ini boleh dikesan dan dibaca menggunakan satu alat bernama electroencephalograph (EEG). Hasilnya, anda dapat melihat beberapa jenis garisan dengan corak turun naik yang pelbagai.

BACA:  Keistimewaan Surah Al-Fatihah, Al-Baqarah dan Al-Ikhlas

Salah satu jenis gelombang tersebut dinamakan gelombang Alfa. Gelombang Alfa ini biasa terjadi apabila anda bangun daripada tidur, atau baru ingin terlelap atau ketika melakukan meditasi. Kerana solat tahajjud biasanya dilakukan setelah bangun daripada tidur, maka minda ketika itu juga sedang berada dalam fasa gelombang Alfa.

Memperoleh Ketenangan Yang Maksimum

Ketika dalam fasa gelombang Alfa, minda berada dalam keadaan tenang dan tenteram . Ditambah lagi, amalan solat tahajjud adalah salah satu medium meditasi yang sangat efektif untuk mencapai ketenangan yang maksimum.

Menurut kajian, minda dalam fasa gelombang Alfa mempunyai lebih keupayaan untuk fokus berbanding dalam gelombang Delta. Maka, tahajjud adalah masa yang sesuai untuk berdoa dan berkomunikasi dengan Allah kerana kita dapat memusatkan sepenuh perhatian dan fokus kepada apa yang ingin didoakan.

Otak Merembeskan Hormon Kegembiraan

Di dalam badan kita, terdapat hormon kegembiraan yang dipanggil Serotonin. Ia berfungi membuatkan seseorang itu berasa tenang, nyaman dan bahagia. Di dalam fasa gelombang Alfa, rembesan hormon serotonin dan endorfin yang berlaku juga berupaya membuatkan imunisasi tubuh badan meningkat, pembuluh darah lebar dan jantung menjadi stabil.

Ketenangan Meningkatkan Sistem Ketahanan Tubuh Badan

Dalam kehidupan yang serba laju ini, kita lebih cepat terdedah dengan tekanan. Ia boleh berpunca daripada beban kerja yang melebihi kebolehan dan kemampuan diri, masalah dalam perhubungan atau apa jua masalah yang tidak dapat diuruskan dengan baik.

Kadar ketahanan serta cara setiap orang menguruskan masalah juga berbeza. Kadang-kadang hal yang dilihat kecil pada pandangan orang lain boleh jadi besar dan mampu menyumbang kepada tekanan bagi mereka yang menghadapinya sendiri.

Banyak kajian yang telah dilakukan berkaitan kesan tekanan atau stres kepada tubuh badan contohnya mendedahkan seseorang kepada penyakit, mengganggu sistem pencernaan dan juga mempercepatkan perkembangan sel kanser.

BACA:  Inilah Checklist Persiapan Menjelang Ramadan Yang Boleh Kita Lakukan

Menurut kajian yang dilakukan oleh Prof Dr Muhammad Sholeh, solat tahajud yang dilakukan secara rutin, ikhlas dan khusyuk dapat menurunkan kadar hormon kortisol (yang boleh menyebabkan tekanan) dalam darah. Justeru, dengan mengamalkan solat tahajud yang mampu menghadirkan ketenangan ini, sistem ketahanan tubuh badan juga dapat ditingkatkan.

Demikian maklumat berdasarkan kajian yang telah dilakukan secara saintifik tentang keadaan otak dan fikiran ketika Solat Tahajud. Maka benarlah kata-kata Allah bahawa, dengan mengingati Allah, hati manusia itu akan menjadi tenang.

“Ketahuilah dengan mengingati Allah, tenang tenteramlah hati manusia”
(Surah Ar-Ra’d 13:28)

 

Sumber: tzkrh.com 

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!