Tazkirah

Apa Itu Kekayaan?

Apa itu kekayaan? Barangkali apabila soalan ini bermain dalam pemikiran kita, perkara yang terbayang adalah kaya dengan kita memiliki kenderaan yang mewah, rumah yang luas, simpanan wang yang banyak dan lain-lain lagi.

Tetapi jika seseorang itu tidak mempunyai perkara tersebut, adakah dia miskin? Setelah sekian lama ahli hukama menilai persoalan tersebut, mereka telah membuat kesimpulan, iaitu:

“Orang kaya ialah orang yang sedikit keperluannya”

Hajat dan keperluan merupakan aras pengukur bagi menentukan orang itu kaya ataupun miskin. Orang yang paling banyak keperluan merupakan orang yang miskin manakala orang yang sikit keperluannya adalah orang yang kaya.

Cukup sebagai hujah bahawasanya Allah S.W.T yang paling kaya kerana Dia tidak berkehendak dan tidak berhajat kepada sesuatu pun.

Kita seringkali berharap menjadi orang yang kaya-raya. sedangkan kebanyakan masa jiwa mereka sentiasa merasa sempit dan kecewa.

Tetapi jadilah manusia yang besar jiwanya, luas pertimbangannya, dan baik akal fikirannya. Lihat nabi kita, Nabi Muhammad S.A.W yang telah mengubah dunia keseluruhannya.

Sebelum dilahirkan lagi, Baginda telah kehilangan orang yang tersayang. Pada umur 6 tahun telah kematian ibu. Hidup penuh dengan segala kepayahan dan jerit payah perjuangan.

Tetapi akhirnya Baginda berjaya menempa nama sebagai manusia yang paling berjaya dalam sejarah dunia. Adakah Baginda seorang yang kaya pada zahirnya? Tidak, oleh itu amatlah penting untuk kita mendalami hakikat kekayaan itu sendiri.

Qana’ah

Manusia itu sifatnya lemah dan serba kekurangan. Bilamana kita tahu hakikat itu maka akan timbulnya satu sifat iaitu sentiasa berasa cukup dengan apa yang ada.

Bukankah bilamana kita dalam keadaan yang sangat lemah dan sangat memerlukan sesuatu dan an ketika itu jika dikurniakan nikmat yang sikit sahaja cukup untuk kita bersyukur.

BACA:  Inilah Dosa Fitnah yang Lebih Besar dari Dosa Membunuh..Moga Dijauhkan

Itu pun sudah bahagia! dan itulah sifat qana’an. Pada sifat lemah kita itu, kita tidak akan meminta sesuatu yang berlebih-lebihan tetapi cukup untuk memenuhi keperluan hidup sahaja. Qana’ah itu di dalamnya ada lima perkara:

#1- Menerima dengan rela akan apa yang ada

#2- Memohonkan kepada Allah dikurniakan nikmat dan berusaha

#3- Menerima dengan sabar akan ketentuan Allah

#4- Bertawakal dengan sepenuh hati

#5- Tidak tertarik oleh tipu daya dunia

Kesemua ini berkait dengan jiwa. Tidaklah qana’ah itu dipandang dengan rumah yang besar atau kenderaan yang mewah tetapi dengan jiwa yang sentiasa tenang dengan apa yang ada.

Jiwa seperti itulah merupakan kekayaan yang sebenar. Benarlah apa yang nukilkan oleh Abu Hurairah, disabdakan oleh Rasulullah S.A.W:

“Bukanlah kekayaan itu lantaran banyaknya harta, kekayaan itu adalah kekayaan jiwa”
Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

Insan yang mempunyai sifat qana’ah tidaklah dia sentiasa berfikir untuk memenuhi kantungnya dengan kekayaan. Tidak la juga berfikir untuk meminta-minta dengan manusia lain agar dikuniakan pelbagai rezeki yang banyak.

Tetapi qana’ah itu adalah insan yang kenyang dengan apa yang ada, tidak terlalu haloba dan cemburu dengan kurniaan manusia di sekelilingnya.

 

Sumber: tzkrh.com 

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!